Thursday, December 29, 2011

Malayan Special Forces di Congo

30 Dis 2011- 05 Jan 2012
Krisis Congo (1960-1966) merupakan tempoh kemelut di Republik Pertama Congo yang bermula dengan kemerdekaan negara tersebut daripada penjajah Belgium dan berakhir dengan rampasan kuasa yang dipimpin oleh Yusuf Mobutu.

Di pelbagai lokasi terdapat gerakan yang mempunyai pelbagai ciri-ciri perjuangan anti-penjajah, perang puak pemisah dengan wilayah Katanga, operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertempuran proksi Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet dan sepanjang krisis menyebabkan kematian kira-kira 100,000 orang awam dan tentera.

Peristiwa hitam tercetus dengan pembunuhan Perdana Menteri Patrice Lumumba yangmemebri tamparan hebat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan kematian Setiausaha Agung PBB Dag Hammarskjöld dalam nahas kapal terbang semasa dia cuba untuk menjadi pengantara.

Congo merupakan konflik global yang pertama yang menjadi keprihatinan Negara kita yang baru merdeka untuk terlibat dalam misi pengaman yang didokong oleh PBB dengan menghantar kontinjennya yang dikenali sebagai Malayan Special Forces di Congo pada 1960.

Negara kita merupakan negara yang ke -16 menyumbangkan pasukan tentera kepada PBB di Congo dan sumbangan tersebut telah mengharumkan nama Malaya ketika itu dalam arena antarabangsa meskipun ia sebuah negara yang kecil namun masih berkemampuan menyambut seruan demi mengekalkan keamanan dan kemakmuran sejagat.

Mandat yang diberikan kepada tentera kita di Congo adalah untuk menentukan pengunduran pasukan tentera Belgium dan untuk membantu kerajaan yangbaru ditubuhkan dalam menguatkuasakan undang-undang dan bantuan teknikal.

Tetapi United Nations Operation in Congo (ONUC) yang melibatkan Malayan Special Forces kemudiannya terlibat dengan penentuan kedaulatan wilayah dan kemerdekaan Congo, pencegahan perang saudara dan menentukan tentera upahan yang bukan di bawah PBB meninggalkan Congo. Negara dengan sebulat suara telah meluluskan pemergian Angkatan Khas Malaya ke Congo dan Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pada ketika itu berkata berhubung campur tangan Rusia di Congo, “campur tangan Rusia ini merupakan perang dingin dan boleh menimbulkan angkara yang tidak diingini”.

Dalam usia yang begitu muda, negara ini telah menghantar batalion kedua, keempat, keenam dan ketujuh secara bergilir-gilir untuk tugas tersebut dan Pasukan Khas yang pertama terdiri dari tiga buah kompeni infantri dari Batalion Ke-4 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan Pegawai Memerintanya Lt Kol Ungku Nazaruddin Ungku Mohamed. Pada 5 Oktober 1960 tercatatlah dalam sejarah tanah air buat kali pertamanya anak watan diberi tugas besar dan Perdana Menteri telah memberikan pesanan kepada perjurit Negara dengan kata-kata semangat “Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata” .

Dalam amanahnya, beliau berkata “Orang-orang di Tanah Melayu merasa bangga kerana askar-askar kita dikenali sebagai satu angkatan tentera yang gagah dan berani dan pemergian mereka adalah satu penghormatan besar kepada negara ini dan mengharumkan lagi nama Angkatan Tentera Persekutuan.

Batalion Ke-4 kembali dari Congo pada pertengahan bulan Julai 1961 dan digantikan oleh Batalion Ke-6, dan Batalion ini menduduki di tempat-tempat yang sama iaitu Markas Teknikal di Bakavu, satu kompeni di Kindu, satu kompeni di Goma dan satu kompeni lagi di Albertville. Satu kompeni kemudiannya telah diterbangkan ke Nyuzu sebuah pekan di utara Katanggu untuk menghancurkan pemberontak-pemberontak puak Buluba dan pemberontak-pemberontak berkenaan telah melarikan diri apabila kompeni itu sampai di Nyuzu.

Dua orang tentera kita telah terkorban semasa batalion ini sedang berkhidmat di Congo iaitu LKpl Yusof Yaakob terkoban apabila sebuah gudang peluru meletup di Indu pada malam 27 Julai 1961 dan Prebet Sional Jantan telah mati lemas di Tasek Kivu pada 31 Disember 1961.

Pada 7 Februari 1963, Batalion Ke-2 diarahkan meronda serta membersih beberapa kawasan gerakan di Wilayah Katonga dengan menawan sebilangan kecil askar-askar uphan dan merampas beberapa pucuk senjata api. Satu daripada kompeni batalion ini telah dengan bangganya dipilih untuk menyertai satu istiadat perbarisan raksaksa menyambut hari ulangtahun Bangsa-Bangsa Bersatu di LEOPOLVILLE dan perkhidmatan anggota-anggota Batalion Ke-2 di Congo berakhir pada 28 April 1963.

Selepas itu perkhidmatan tentera kita di Congo terpaksa dihentikan akibat konfrantasi yang diisytiharkan oleh Indonesia ekoran penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan anggota tentera telah pulang ke tanah air sebagai misi damai pertama Negara di peringkat global.

RAMD telah membuktikan sekali lagi akan kebolehannya di samping menaikkan nama dan imej negara dengan mutu tatatertib dan kecekapan yang tinggi dan semasa sejumlah anggota-anggota RAMD sedang berkhidmat di Congo pada 23 Mac 1961, Yang Di-Pertuan Agong telah berkenaan mengurniakan Panji-Panji Diraja kepada seluruh RAMD sebagai lambang kesetiaan dan kehormatan kepada Raja dan Negara. Selain daripada penglibatan RAMD, Rejimen Persekutuan dan Rejimen Peninjau Persekutuan yang digabungkan pada 1 Januari 1960 dan pasukan baru yang dibentuk ini kemudian dikenali sebagai Kor Peninjau Persekutuan (Federation Reconnaissance Corps) turut terlibat dengan misi pengaman di Congo.

Kontijen Pertama 4 RAMD dan C Squadron 2nd Reconnaissance Regiment berada di Congo dari Oktober 1960-Julai 1961, Kontijen kedua 6 RAMD dan B Squadron 1st Reconaissance Regiment berada di Congo dari Julai 1961-April 1962.

Kontinjen ketiga 7 RAMD dan 1st Reconnaisance Regiment berada di Congo Februari 1962-Disember 1962 manakala Kontinjen keempat 2 RAMD dan C Squadron 2nd Reconnaissance Regiment berada di Congo dari Jun 1962-April 1963. Tiga orang pegawai yang turut mendapat penghormatan kerana khidmat mereka yang cemerlang semasa berkhidmat di Congo telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani ialah Captain Maurice S.C., Lam (5 Jun 1963), Lt Muda Neville Siebel (5 Jun 1963) dan Leftenan Lee Ah Pow (3 Januari 1964).

Congo adalah mukadimah kepada misi pengaman PBB yang melibatkan Negara kita kerana sesudah itu banyak lagi misi pengaman PBB yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pelbagai kawasan konflik sebagai komitmen Negara sebagai anggota PBB di arena antarabangsa yang turut mengharumkan nama Negara dan ATM.

2 comments:

  1. Alhamdulillah, terima kasih atas artikel ni.

    Ayah saya salah seorang tentera yang menyertai misi pertama ni, tapi tak pasti pula batalion keberapa. Beliau pernah menceritakan pengalaman peribadi beliau dikepung pemberontak menyebabkan saya ingin tahu tentang sejarah ni.

    Syukur negara kita dirahmati dengan keamanan...Alhamdulillah. Terima kasih ATM.

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://renjervalour.blogspot.com/2006/03/2lt-nh-siebel-pgb-and-captain-maurice.html maybe you should read this article.. if this article a true story, it will be a dark history in our armed force.

      Delete