Friday, January 6, 2012

TUDM - Sentiasa di angkasa raya

06-12 Januari 2012

Perancangan dan persiapan untuk Persekutuan Tanah Melayu mempunyai tentera udaranya sendiri telah digerakkan sebelum negera mencapai kemerdekaan daripada kerajaan British pada 1956 dengan inisiatif Tengku Abdul Rahman menjemput Air Commodore A V R Johnstone sebagai penasihat udara di Kementerian Pertahanan.

Kerajaan British yang memerintah Tanah Melayu pada masa itu bersetuju untuk membiayai menubuhkan Tentera Udara Diraja Persekutuan dengan peruntukan sebanyak 15 juta ringgit pada awal penubuhannya tidak termasuk pembelian pesawat pertamanya iaitu daripada jenis Twin Pioneer.

Rang undang-undang yang dikenali sebagai The Air Force Ordince 1958 telah diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang menandakan kewujudan sebuah angkatan udara bagi sebuah negara yang merdeka pada hari Isnin 2 Jun 1958.

Anggota yang pertama seramai 12 orang telah diserapkan daripada Tentera Udara Diraja British (Royal Air Force -RAF) pada hari Jumaat 21 November 1958 iaitu Cpl Razi Osman, M Ismail, Cpl Wan Said Wan Ahmad, SAC Surindran, Cpl J.P.Pasley, SAC Zainal Abidin Md Hashim, SAC Muhammad Hussain, JT Ismail Ariffin, SAC Mohd Noor, SAC Mohd Desa, Sjn Subramaniam dan Cpl Shahadevan.

Apabila Tentera Udara kita memulakan operasinya pada 1958, ia hanya mempunyai sebuah pesawat yang dikendalikan oleh kakitangan yang dipinjamkan daripada RAF dan paradigma operasinya adalah untuk memberi bantuan taktikal pasukan keselamatan menjalankan Counter Insurgency Operations (COIN) iaitu untuk menangani ancaman pengganas komunis.

Tugas utama yang sepatutnya menjadi banteng pertahanan ruang angkasa tidak dapat dilaksanakan kerana ia tidak mempunyai aset pertahanan udara seperti unit radar untuk pertahanan atau skuadron jet pejuang dan pertahanan Tanah Melayu dan Singapura pada masa itu adalah di tangan RAF yang berpangkalan di Singapura.

Apabila Indonesia melancarkan Konfrantasi ekoran penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, krisis kedua buah negara itu menjadi tanggungjawab tentera Commonwealth dan pertahanan negara didokong oleh tentera British, Gurkha dan Tentera Udara Diraja Australia (Royal Australian Air Force –RAAF) dan tentera Udara Diraja New Zealand- RNZAF) menempatkan pesawat mereka di Butterworth dan Labuan. Tentera Udara Malaysia yang masih muda pada zaman negara menghadapi cabaran dan tidak tamat dengan era darurat yang pertama 1948-1960, tetapi terus mengalami perubahan dan perkembangan dengan penambahan aset dan anggota iaitu melalui pembelian pesawat baru.

Juruterbang mula dilatih sendiri di dalam negeri dan sejarah Sekolah Latihan Penerbangan telah melahirkan graduan yang pertama dengan penyampaian sayap penerbangan oleh Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak kepada Pilot Officer Arthur Cheah, Pilot Officer Gopal Ramdas, Pilot Officer Ahmad Idris dan Pilot Officer Cheah Nee Wah pada 14 November 1961 di pangkalan TUDM Kuala Lumpur. Operasi helikopter pula bermula dengan pembelian Alouette Mark III daripada Perancis dan sebanyak 8 buah helikopter berkenaan tiba di TUDM Kuala Lumpur pada bulan September 1963 untuk di gunakan oleh No. 3 Skuadron.

Di antara pegawai RAF yang telah dipinjamkam untuk menerbangkan helikopter TUDM ialah Flight Lieutenant Brawley, Flight Lieutenant Moffat dan Flight Lieutenant Tony Raley dan ketua skuodron helikopter tersebut diamanahkan kepada Flight Lieutenant Tony Raley.

Anak-anak tempatan yang menjadi perintis juruterbang Alouette ialah Pilot Officer Mohd Ngah Said dan Pilot Officer Jim Lim Theam dan jumlahnya bertambah dengan juruterbang yang dilatih di Perancis seperti Pilot Officer Chuah Ban Hin, Pilot Officer Benjamin Lee Kiong, Pilot Officer Abdul Kadir, Pilot Officer Abdul Ghani Aziz, Pilot Officer Terry Loh dan Pilot Officer Derek Martin. Ketibaan pesawat sebuah pesawat Twin Pioneer dan dua buah Single Pioneer pada 8 Februari 1959 menambah lagi aset TUDM dan pesawat Chipmunk yang digunakan untuk melatih juruterbang semasa awal usianya telah digantikan dengan pesawat Piston Provost pada awal 1961.

Keupayaan TUDM dipertingkatkan dengan penambahan pesawat dalam inventori iaitu dua buah pesawat Heron dan sebuah pesawat Cessna 310F yang diberi nama Serindit pada 12 Oktober 1963 dan seterusnya ketibaan pesawat pengangkutan jarak sederhana Dart Herald pada penghukung 1963.

Keperluan kepada juruteknik yang terlatih untuk menyelenggarakan pesawat yang dimiliki oleh TUDM memerlukan proses latihan yang berterusan dan latihan juruteknik pesawat yang dimulakan di TUDM Kuala Lumpur telah dipindahkan ke Sekolah Latihan Kejuruteraan Kapal Terbang di TUDM Kinrara pada Ogos 1963.

Bermula dengan beroperasi di pangkalan udara British di Sungai Besi yang diserahkan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1960, TUDM mula mengembangkan sayap operasi di pangkalan keduanya di pangkalan TUDM Alor Setar yang setersunya menjadi pusat melatih juruterbang TUDM sehingga hari ini. Operasi TUDM bermula di Labuan, Sabah dengan No 5 Skuadron 1965 dengan kekuatan awal seramai 14 orang pegawai, 7 orang Pegawai Tak Bertauliah (PTB) dan 48 orang anggota lain-lain pangkat bagi mengoperasikan 10 buah helikopter Nuri detasmen Alouette.

TUDM yang pada mulanya dianggap sebagai ‘Non-Fighting Force’ kerana tugasnnya menjadi pasukan yang member bantuan kepada Tentera Darat telah bertukar dalam paradigm operasinya apabila ia dilengkapan denga pesawat pejuang yang pertama iaitu pada 1967 dengan pembelian pesawat CL-41 G yang diberi nama Tebuan daripada Canada.

TUDM juga telah dilengkapkan dengan pesawat Caribou di samping pesawat Dart Herald dan juruterbang perintis Caribou telah dihantar ke Canada untuk menjalani latihan mengendalikan pesawat berkenaan iaitu Squadron Leader Omar Saman, Flight Lieutenant Arthur Cheah, Flight Lieutenant Gopal Ramdas dan Flying Officer Peter Lai pada 1966.

Pada 1969 kerajaan Australia telah menghadiahkan pesawat pejuang pemintas Sabre yang telah digunakan oleh RAAF untuk dioperasikan oleh No 11 Skuadron di TUDM Butterworth sebagai langkah awal operasi pertahanan udara yang memerlukan pesawat pemintas (interceptor aircraft).

Pertahanan udara memerlukan radar kerana ia menjadi mata kepada pesawat pejuang untuk kawalan daripada bawah ( Ground-controlled interception (GCI), maka TUDM telah diperlengkapkan dengan system pertahananan udara pembelian alat radar daripada jenis Marconi S-600 pada 1971 dan beroperasi daripada Butterworth, Bukit Jugra Banting dan Kuantan.

Pada 1975 TUDM menjadi Negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai persawat pejuang supersonik yang pertama dengan dengan pembelian pesawat F-5E daripada Amerika Syarikat dan pesawat berkenaan digunakan untuk peranan pesawat pertahanan udara menggantikan pesawat Sabre dan ia merupakan pesawat yang tercanggih pada tahun 70-an.

TUDM terus berkembang dan mengoperasikan angkatan udara yang bebas, dengan sokongan kendiri dan bersedia untuk menyerlahkan kuasa udara demi mempertahankan kepentingan nasional dengan objektif kekuatan pertahanan udara bagi mempertahankan kedaulatan ruang angkasa, mengembangkan kekuatan defensif dan ofensif serta keupayaan mempertahankan sumber maritim.

Wawasannya merangkumi operasi pertahanan defensive, operasi tinjauan maritim, bantuan serangan udara, tinjauan udara merangkumi fotografi, elektronik, armed reconnaissance, pengangkutan strategic dan taktikal, peperangan elektronik, Combat Search and Rescue dan operasi khas.

TUDM akan sentiasa di angkasa raya sebagai benteng pertahanan dan kedaulatan Negara dan kini ia mempunyai sejumlah besar aset yang canggih untuk dioperasikan sebilang waktu dalam keadaan siap siaga.

No comments:

Post a Comment