Saturday, January 14, 2012

Tebuan - pesawat perjuang pertama TUDM

13-19 Januari 2012


Pesawat pejuang tentera  direka terutamanya untuk pertempuran udara-ke-udara dengan pesawat lain, dengan kelajuan dan  gerakan yang licik untuk berhadapan dengan musuh merupakan ciri utama sebuah angkata udara.
Apabila Tentera Udara Diraja Malaysia  (TUDM) ditubuhkan pada 1958 semasa negara baru mencapai kemerdekaan, ia tidak dikengkapkan dengan pesawat pejuang dan konsep tentera udara kita pada masa itu adalah sebagai “Non-Fighting Force” dan ia hanya mempunyai pesawat pengangkut dan helikopter sahaja. 
Pengenalan pesawat jet pejuang CL-41G Tebuan  menandakan berakhirnya konsep "Non-Fighting Force" TUDM  dan ketibaan pesawat berkenaan pada bulan Ogos 1967 di pangkalan TUDM Kuala Lumur merupakan mukadimah kepada operasi pesawat pejuang dalam TUDM. 
Tebuan adalah  versi taktik Canadair CL-41 jenis pelatih jet Tutor yang digunakan oleh Royal Canadian Air Force (RCAF) dan  TUDM adalah satu-satunya pengendali versi 'G' di dunia  dengan 20 pesawat yang  diubahsuai lebih berkuasa dengan enjin General Electric J85-J4  turbojet  dan TUDM berjaya mengekalkan pesawat terbang selama lebih daripada 20 tahun.
Juruterbang yang diamanahkan untuk memimpin skuadron perintis jet pejuang TUDM ialah Squadron Leader Lawrence Phong dan operasi awal bermula di TUDM Kuala Lumpur dengan latihan peralihan jurulatih dan eksekutif skuadron dan pesawat Tebuan telah menunjukkan aksinya semasa sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1967.
Skuadron Keenam yang dilengkapkan dengan pesawat Tebuan ini kemudiannya di pindahkan ke TUDM Kuantan pada bulan Mac 1968 dan pada 2 September 1969 sebuah lagi skuadron Tebuan diwujudkan  iaitu Skuadron Kesembilan di TUDM Kuantan untuk melatih juruterbang jet pejuang TUDM.
Latihan bersama yang pertama melibatkan pesawat Tebuan Skuadron Kenam berlangsung di ruang udara Lapangsasar Asahan Melaka iaitu bersama pesawat pejuang Tentera Udara Diraja British (Royal Air Force), Tentera Udara Diraja Australia (Royal Australian Air Force) dan Tentera Udara Diraja New Zealand( Royal New Zealand Air Force). 
Pada September 1969, Kursus Asas Peralihan dilakukan oleh Skuadron Kesembilan tetapi pada 1974 Skuadon Keenam telah menerima kembali tanggungjawab untuk melatih juruterbang  dalam bidang taktikal dan skuadron pada masa yang sama terlibat dalam operasi udara.
Pada 16 April 1976 Skuadron Keenam  telah terlibat dengan operasi iaitu OPS KOTA GUBIR untuk membuat serangan udara ke atas sasaran pengganas komunis yang telah dikenalpasti oleh pasukan Tentera Darat di sekitar sempadan Malaysia-Thailand dan ia merupakan operasi terbesar yang melibatkan pesawat Tebuan.
Semua pesawat telah dilengkapkan dengan mini-gun dan roket manakala sebahagian daripada fleet dilengkapkan dengan bom 500 Ib untuk digugurkan di kawasan musuh  dan dalam misi berkenaan helikopter Alouette di terbangkan ke kawasan musuh yang bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk memberi panduan kepada pesawat pejuang untuk membuat serangan.
Serangan bersepadu itu melibatkan pesawat pejuang F5-E, helikopter Nuri untuk mengangkut pasukan Tentera Darat ke barisan hadapan dan semua pergerakan dibuat begitu rapi mengikut jadual dan dengan cuaca yang baik sepanjang masa operasi pesawat Tebuan yang kecil dapat menyelinap dengan pantas ke kawasan musuh dan memulakan serangan dan pengeboman.
Serangan pertama pesawat Tebuan didapati tidak memberi banyak kesan untuk memberi tamparan kepada musuh kerana keadaan hutan yang tebal memberi masalah untuk memuntahkan semua senjata yang dibawa oleh pesawat pejuang Tebuan dan serangan tersebut merupakan pengalaman operasi terbesar pesawat Tebuan.
Serangan bertubi-tubi terus dilakukan  dengan pertolongan helikopter Alouette yang terbang rendah memberi panduan arah serangan yang patut dilaksanakan  dan laporan yang diterima pada keesokan harinya menunjukkan terdapat kesan darah tetapi pengganas komunis telah lari meninggalkan Malaysia. 
Operasi pengeboman ke atas kawasan yang disyaki menjadi persembunyian pengganas komunis diteruskan oleh pesawat Tebuan pada 17 April 1976 dan hasil daripada serangan daripada udara telah memberi semangat kepada pasukan Tentera Darat untuk bergerak ke lokasi musuh dan menawan kawasan perkhemahan yang telah ditinggalkan.
Banyak lagi operasi yang dilaksanakan oleh skuadron Tebuan semasa era insurgensi komunis kali kedua iaitu setelah darurat pertama 1948-1960 berakhir itu dengan penglibatan dalam OPS INDRA, OPS CABUT, OPS NESAN, OPS BANTU SEGERA, OPS DOAYAI MUSNAH, OPS CAHAYA BENA dan OSP SELAMAT SAWADEE.
Apabila melayari sejarah Skuadron Kesembilan pula, kewujudannya di TUDM Kuantan diwarnai dengan juruterbang pinjaman iaitu Squadron Leader Hall sebagai ketua sakudaron dengan  dua orang jurulatih skuadron iaitu Flight Lieutenant Ahmad Nazri dan Flight Lieutenant Winstantly.
Pada 1970 Skuadron Kesembilan memulakan kursus taktikal sebagai kesinambungan kursus asas menerbangkan pesawat pejuang  termasuk kursus ‘Fighter Weapon Instruction”  yang diadakan pada 8 Jun 1970  bagi menambah ketrampilan juruterbang jet pejuang Tebuan.
Lapang Sasar Penor telah dibuka pada 23 Jun 1970 untuk digunakan oleh pesawat Tebuan melakukan latihan menembak roket daripada udara dan infrastruktur tersebut kemudiannya turut digunakan oleh pesawat pejuang yang lain sesudah Tebuan bagi memberi kemahiran juruterbang pejuang mengasah kemahiaran mereka mengendalikan senjata.
Skuadron Kesembilan juga mengadakan kursus peralihan staf, kursus ulangan (refresher course), dan kursus peninjauan foto (photo recce) bagi menambahkan pengetahuan operasi pesawat pejuang yang dilaksanakan agar juruterbang pejuang mendapat pengetahuan yang cukup untuk mengoperasikan pesawat di dalam inventori TUDM.
Di antara  latihan yang disertai oleh Skuadron Kesembilan ialah latihan “Bersedia Lima’ (22 Novemver 1972), Latihan Agong Pertama (9 Mei 1974), Latihan Helang Malindo 1 (Oktober 1975), Latiahan Helang Malindo III (Oktober 1977) dan siri-siri Latihan Pertahanan Udara yang dilakukan setiap tahun sebanyak tiga kali iaitu ADEX.
Pesawat Tebuan adalah pesawat tempur pertama digunakan oleh TUDM, kerana sebelum itu TUDM hanya mempunyai pesawat-pesawat bukan tempur dan peranan TUDM ditumpukan kepada perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan sahaja dan TUDM menggunakan Tebuan sehingga tahun 1986 apabila perkhidmatan Tebuan diambil alih pesawat Aermacchi MB-339A.
Pesawat Tebuan menggunakan enjin  2,950-pound thrust General Electric J85-J4 turbojet  dengan berat kosong 5,296 lbs, berat maksimum semasa berlepas : 11,288 lbs. dengan kederasan maksiumum 480 batu/jam, ketinggianmaksimum 42,200 kaki dan jarak operasi  1,240 batu.

Sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM pesawat Tebuan telah menjadi platform pertama perang untuk melawan kegiatan komunis sepanjang era insurgensi komunis kedua sebelum Chin Peng mengakhiri perjuangan senjata ekoran persidangan dengan kerajaan Malaysia di Thailand.

Beberapa buah pesawat telah terlibat dalam kemalangan udara dan mengorbankan juruterbang semasa pesawat Tebuan menjalani latihan namun ia tidak mematahkan semangat para juruterbang yang telah menerbangkan pesawat Tebuan yang menjadi mukadimah kepada operasi pesawat pejuang TUDM.


No comments:

Post a Comment