Saturday, December 17, 2011

RAJA WALI FM1001

Mingguan Siasah 16-22 Dis 2011
Ura-ura untuk membeli pesawat yang pertama bagi kegunaan tentera telah dibincangkan sebelum Negara mencapai kemerdekaan seawal 1956 dengan nasihat pegawai Tentera Udara British (Royal Air Force (RAF) untuk mendapatkan pesawat yang berfungsi sebagai pesawat pengangkut.

Fleet pesawat itu nantinya akan berkepupayaan membuat tugasan pengangkutan udara jarak sederaha, pembawa trup, VIP, ambulan udara, tugas gerak saraf zaman darurat, tugas pengeboman terhad, kawalan pantai dan tinjauan fotografi. Pesawat Scottish Aviation Twin Pioneer pengangkut Short Take Off and Landing (STOL) British yang dibina oleh Scottish Aviation Limited di Prestwick Airport, Scotland yang dibina sejak tahun 1950-an telah dipilih untuk memenuhi keperluan aset pertama bagi penubuhan sebuah skuadron penerbangan tentera di negara ini.

Pesawat yang telah direka untuk dikendalikan baik oleh awam dan tentera menjadi keutaamaan justeru ia dianggap sebagai versi enjin berkembar pengangkutan yang terbaik pada ketika itu. Pesawat penerbangan yang pertama dibeli oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tersebut adalah dengan tujuan untuk menubukan Tentera Udara Diraja Persekutuan (Royal Malayan Air Force) dan ia telah dibeli pada awal tahun 1958 dengan harga 420,000 Ringgit Malaya.

Pesawat yang berlepas daripada syarikat Scottish Aviation di Lapangan Terbang Prestwick, Ayshire, Scotland itu tiba di Malaya pada 17 April 1958 dan telah disambut Tun Abdul Razak selaku Menteri Pertahanan di stesen RAF Sungai Besi yang diringi oleh orang kenamaan Negara dan pegawai RAF. Satu lagi upacara bersejarah telah dilakukan pada 24 April 1958 Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri telah dengan rasminya menamakan pesawat tersebut sebagai “RAJA WALI” iaitu mengambil sempena nama sejenis burung helang yang terkenal.

Pesawat pertama yang akan digunakan untuk tujuan ketenteraan bagi sebuah negara yang baru merdeka itu telah diserahkan kepada Tengku Yaacob, Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di London, pada satu majlis yang bersejarah di Lapangan Prestwick pada musim bunga awal 1958.

Pesawat itu telah diterbangkan dari Scotland ke Tanah Melayu oleh anak-anak kapal yang dipinjamkan daripada RAF iaitu Flight Lieutenant G. H. Charles sebagai kapten pesawat dan dibantu oleh co-pilot dan anak-anak kapal yang lain. Dengan keadaan krisis Suez pada ketika itu penerbangan melalui ruang udara di kawasan Timur Tengah mungkin tidak memberi keselesaan kepada anak-anak kapal yang diberi tugas untuk menerbangkan pesawat melalui perjalanan yang lama ke Timur Jauh maka persiapan yang rapi dibuat agar misi itu selamat.

Untuk menentukan segalanya berjalan dengan lancar, penasihat RAF kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu Air Commodore A.V.R . Johnstone telah mengarahkan agar tanda kebangsaan (National Marking) pada badan dan sayap dilindungi dengan jalur kanvas dan kapal terbang itu didaftarkan sebagai pesawat awam untuk penerbangan lama ke Jauh Timur.

Semua berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah anak-anak kapal berdepan dengan cuaca yang sangat buruk semasa berada di ruang udara Turki dan mereka terpaksa mendaratkan pesawat mereka di lapangan terbang tentera terpencil yang terletak di antara gunung ganang yang memerlukan kecekapan juruterbang untuk mendarat dengan selamat.

Malangnya salah satu jalur kanvas yang memaparkan tanda pesawat awam telah tertanggal semasa dilanda ribut dan ia membuatkan Flight Lieutenant Charles mempunyai tugas yang sukar untuk cuba menjelaskan kepada pegawai rendah Turki yang tidak boleh berbahasa Inggeris tentang situasi yang sebenar.

Pegawai Turki itu merasa kehairanan dengan kahadiran juruterbang RAF yang menerbangkan pesawat daripada United Kingdom yang dia pernah dengar tetapi apabila disebut destinasi pesawat Twin Pioneer dia menggelengkan kepala kerana dia tidak pernah mendengar nama Malaya.

Akhirnya dengan kebijaksanaan Charles, pegawai Turki tersebut telah membenarkan pesawat untuk diisi dengan bahan bakar untuk ia meneruskan destinasi penerbangannya ke lapangan terbang RAF di Sungai Besi, Kuala Lumpur setelah cuaca kembali baik di ruang udara Turki.

Dengan ketibaan pesawat Raja Wali bermulalah sejarah operasi No 1 Skuadron sesuai dengan kelulusan Ordinan Tentera Udara oleh Parlimen Persekutuan pada hari Isnin 2 Jun 1958 yang menandakan tertubuhnya Tentera Udara Diraja Persekutuan (Royal Malayan Air Force).

Sebagai sebuah angkatan yang baru sebahagian kakitangan yang menganggotai pasukan tersebut terdiri daripada pegawai dan kakitangan RAF yang dipinjamkan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan anak-anak watan yang ditukarkan daripada RAF Malaya. No 1 Skuadron telah diamanahkan kepada Flight Lieutenant G A Charles sebagai Squadron Commander yang pertama dan hampir seluruh juruterbang skuadron dan krew serta juruteknik adalah daripada RAF dan mereka bertukar uniform untuk menjadi perintis angkatan udara Malaya yang merdeka.


No 1 Skuadron di tempatkan di pangkalan udara Kuala Lumpur bersebelahan dengan lokasi RAF yang juga menempatkan pesawat RAF yang beroperasi daripada lokasi yang sama sebelum RAF meninggalkan Tanah Melayu.

Bermula hanya dengan sebuah pesawat Raja Wali, No 1 Skuadron telah dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas perhubungan, mengangkut anggota tentera darat ke kawasan operasi, tugas membawa pesakit dan anggota yang cedera CASEVAC dan MADEVAC dan tugas menggugurkan risalah gerak saraf menentang komunis.

Semasa penubuhan Tentera Udara pada 1958 negara masih di dalam era darurat yang diisytiharkan pada 1948, dan secara auomatik pesawat Raja Wali terlibat dengan misi bantuan untuk menangani ancaman darurat yang diisytiharkan tamat pada 1960.

Operasi Raja Wali pada 29 Februari 1960 adalah operasi menggugurkan makanan di kawasan operasi di Betis untuk pasukan keselamatan yang terlibat dengan operasi melawan pengganas komunis dan ia menjadi mercu tanda penglibatan ankatan udara kita dalam misi semasa darurat.

Lima bulan selepas operasi tersebut pesawat Raja Wali yang mempunyai nombor pengenalan FM 1001 itu terlibat dalam tugas keselamatan di sempadan Thai dan ia menjadikan Lapangan Terbang Taiping sebagai pangkalan bertolak untuk operasi di perbatasan Negara. Di samping tugas-tugas rutin, pesawat Raja Wali turut terlibat dengan tugas menggugurkan risalah perang saraf di pangkalan hadapan Indonesia semasa zaman Konfrantasi Indonesia- Malaysia 1963-1965.

Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 sekali gus menukarkan nama Tentera Udara Diraja Persekutuan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan sebagai angkatan udara yang muda TUDM tidak mempunyai sebarang pesawat pejuang untuk pertahanan Negara. Pertahanan udara Malaysia dan Singapura masih menjadi tanggungjawab RAF yang menempatkan pesawat pejuang di Singapura dan pesawat Royal Australian Air Force (RAAF) menempatkan pesawat pejuang mereka di pangkalan udara Butterworth.

Sepanjang perkhidmtannya dengan TUDM 1958-1968 , pesawat Rajawali telah merekodkan 2,500 jam penerbangan dan 5,300 pendaratan dan ia telah diterbangkan buat kali terakhir oleh Air Vice Marshal Dato’ Sulaiaman Sujak, Ketua Turus Tentera Udara pada April 1968.

Khidmat dan jasa pesawat Raja Wali FM 1001 yang dikenali sebagai “The Old Faithful” oleh kakitangan No 1 Skuadron TUDM akan terus dikenang.

2 comments: