Monday, December 5, 2011

Askar Melayu Benteng Pertahanan Negara

PUSAT Latihan Rekrut di Port Dickson menyaksikan kewujudan sejarah kewujudan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang pertama dan menjadi pemangkin kepada dunia ketenteraan yang dipelopori oleh anak tempatan di negara ini.

Sejarah RAMD bermula pada 1 Mac 1933 dengan 25 orang anggota perintis percubaan. Mereka ialah Osman Enggok, Jantan Abd Rahman, Ismail Tahar, Ibrahim Sidik, Buyong Muhd Yasin, Ahmad Abdullah, Ahmad Nordin C Ngah Abdullah, Abdul Ghafar Abdullah, Ismail Ahmad,Abd Manap Abdullah, Hj Kadir Hh Hassan, LKPl Khamen, Raja lope Nor Rashid Raja Abd Rahman, LKPL Kiffin Ariffin hj Sulaiman, Ahmad Dong Jaafar, Ahmad Ismail Manaf, Naini (Tukang Masak), Abd Rahman Mohd Yasin, Mohamad Kenit,Awang Abdullah, Mosa Ismail, Osman Yunus, Ahmad Samad Abdullah, Md Taib Jais dan Ismail Mahmood Buyong (Tukang Masak).

Penubuhan rejimen itu adalah titik permulaan orang Melayu yang menjadi peribumi Tanah Melayu terbabit dengan pertahanan negara yang sedang dijajah Inggeris ketika itu yang dianggap belum bersedia untuk mempertahankan negara.

Pusat Latihan Rekrut Port Dickson ditubuh pada 1933 hasil desakan pembesar raja-raja Melayu yang menyarankan kepada penjajah Inggeris agar ditubuhkan pasukan askar yang khusus terdiri daripada anak watan untuk mempertahankan tanah air.

Sebelum itu, pasukan Burma Rifles dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara. Pada 21 Movember 1932 Jabatan Perang di London bersetuju dengan idea penubuhan askar Melayu. Majlis Mesyuarat Persekutuan meluluskan RM70,000 untuk membeli ladang getah milik syarikat Kong Sang di Port Dickson bagi dijadikan kem latihan di bawah penyeliaan tentera British.

Rejimen yang dikenali sebagai Kompeni Percubaan ini mendapat keanggotaannya lebih daripada seribu permohonan yang dipanggil temuduga oleh pegawai daerah dan iklan dalam akhbar serta bantuan penghulu.

Rejimen itu terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali sebagai batalion Pertama RAMD pada 1 Januari 1938. batalion kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 iaitu enam bulan sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment