Thursday, September 27, 2012

Emilia

JURUTERBANG JET PEJUANG WANITA PERTAMA TUDM
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Bekas Panglima Tentera Udara, Lt Jeneral Tan Sri Mohammed Yunus Tasi (Bersara) menyifatkan Emilia Kamaruddin adalah seorang wanita sejarah kerana Emilia merupakan wanita pertama di Malaysia yang menjadi juruterbang pejuang yang sekaligus menaikkan imej wanita dalam bidang ketenteraan.

Emilia memulakan kerjaya di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pegawai berpangkat Leftenan Udara dan bersara sebagai Lt Kolonel pada Disember 2011 setelah menghabiskan masanya selama 25 tahun untuk berkhidmat demi mempertahankan negara yang tercinta.

Bagi juruterbang pejuang lelaki yang pernah menjadi anak didik Emilia tentu akan memahami sikap juruterbang yang tidak menyohorkan ketegasan tetapi menterjemahkan kepimpinannya secara diplomasi dan senyumannya sentiasa terukir walaupun dia menyarungkan uniform juruterbang dan G-suit untuk misi penerbangan.

Emilia pernah menunjukkan kebolehannya untuk memimpin sebuah formasi pesawat Skyhawk yang dianggotai oleh juruterbang pejuang lelaki dalam upacara hari merdeka dan saat tersebut adalah satu pencapaian bagi seorang juruterbang wanita.

Emilia yang dilahirkan di Sungai Choh, Rawang, Selangor persis wanita lain sentiasa bersopan santun mengenakan tudung walaupun lengkap memakai pakaian seragam, berbudi bahasa, orangnya peramah dan mudah didekati.

Rutin kerjaya juruterbang tidak banyak bezanya dengan kerjaya lain dan sebagai seorang ibu kepada emam orang anak Emilia akan bangun pagi menyiapkan sarapan, menghantar anak-anak ke sekolah jika berkesempatan sebelum ke tempat kerja.

Emilia mempunyi hubungan dengan anak-anak yang cukup akrab tetapi anak-anaknya tidak terdedah dengan kerjayanya sebagai seorang juruterbang yang mahir mengendalikan pesawat pejuang seperti pesawat Skyhawk dan juga Hawk.
Nama Emilia sememangnya sentiasa disebut-sebut sebagi wanita sejarah dan dijadikan rujukan kepada generasi muda terutama wanita yang ingin mencapai kejayaan dalam kerjaya juruterbang, malah pencapaiannya itu juga diabadikan dalam buku Malaysian Book of Records.

Sebenarnya kerjaya juruterbang pejuang tidak pernah terlintas di dalam kamus cita-citanya hatta semasa belajar Kolej Teknologi Llandrillo, North Wales, United Kingdom peringkat A Levels sebelum menyambung peringkat ijazah di Universiti Loughborough, England, United Kingdom.

“Malangnya sekembali ke tanah air, saya tidak berpeluang bekerja
sebagai jurutera sebab tidak ada kekosongan jawatan walaupun puas memohon, bosan menjadi penganggur, Emilia tertarik dengan tawaran iklan yang menawarkan kerjaya dalam TUDM dan terus mencuba nasib’’ katanya.

Emilia bersama dengan dua orang calon juruterbang wanita lain iaitu Fadzillah Abdullah dan Zainab Sharil telah dipilih untuk menjalani latihan ketenteraan di TUDM Kinrara dan ditauliah kan sebagai pegawai TUDM berpangkat Leftenan pada 3 November 1986.

Emilia kemudiannya mengikuti kursus latihan penerbangan asas di Pusat Latihan Penerbangan Satu di TUDM Alor Setar iaitu melalui fasa kajian bawah dan fasa penerbangan dan setelah lulus menerima sayap penerbangan.

“Pertama kali menjalani latihan di dalam kokpit, saya sedar besar tanggungjawab yang dipikul nanti tetapi saya tabahkan hati dan bersyukur, segala-galanya berlalu dengan baik,’’ kata Emilia nya.

Setelah upacara penganugerahan sayap penerbangan pada April 1988 selepas melakukan penerbangan sebanyak 170 jam, bermulalah episod kerjaya Emilia sebagai juruterbang wanita pertama di TUDM dan beliau meneruskan penerbangan lanjutan untuk menerbangkan pesawat pejuang.
Pengalaman menerbangkan pelbagai jenis pesawat termasuk Pilatus PC-7, Aermacchi MB339, Skyhawk, Hawk dan Aerotiga MD3, mematangkan Emilia dalam menjalani kehidupan dunia penerbangan ketenteraan.

Ada peristiwa semasa mengendalikan pesawat yang tidak akan dilupakan iaitu semasa mengadakan pertunjukan lintas lalu empat pesawat sempena Hari Kemerdekaan negara, pesawat yang dibawanya mengalami masalah teknikal dan menjunam namun beliau sempat mengendalinya dan naik semula.

Skuadron jet pejuang yang menjadi lokasi pertama Emilia bertugas ialah TUDM Kuantan iaitu menerbangkan pesawat Skyhawk iaitu daripada 1989-1992 dan sebagai juruterbang pejuang wanita yang pertama setiap gerak gerinya menjadi keprihatinan semua pihak kerana Emilia adalah wanita yang pertama membuat kerja yang selalunya dilakukan oleh orang lelaki.

Emilia juga merupakan Jurulatih Penerbangan Wanita yang pertama apabila dipilih untuk menjadi guru melatih pelatih juruterbang yang hampir seratus peratus adalah lelaki kerana TUDM tidak mengambil ramai juruterbang wanita maka anak didik Emilia kebanyakannya adalah lelaki daripada 1992-1995.

Emilia kemudiannya menjadi Ketua Operasi Pusat Simulator Pesawat Pejuang di TUDM Butterworth daripada 1995-1997 dan seterusnya menjadi Pegawai Memerintah Pusat Simulator Pesawat Pejuang daripada 1999-2001.

Muali 2007 sehingga persaraannya pada 2011 Emilia telah ditugaskan sebagai juruarah (Directing Staff) di Maktab Turus Angkatan Tentera Haigate Kuala Lumpur untuk mengendalikan modul Tentera Udara bagi pegawai TUDM dan pegawai tentera udara asing yang berkurusus di maktab tersebut.

Emilia telah mencipta sejarah untuk negara dan dirinya dan kejayaannya dikongsi oleh suaminya Abdul Aziz Ali yang pernah bersama TUDM dan anak-anaknya Afiq Farhan, Amar Fikri, Nur Ain Shahirah, Nur Zihan Shuhada, Muhamad Harith Fahmi dan Siti Aisyah Saffiyah yang menjadikan di dalam keluarga.

Walaupun Emilia kini tidak lagi di dalam TUDM namanya akan tetap segar terutama oleh rakan-rakan seperjuangannya yang telah sama meredah awan demi awan dan terlibat dalam pelbagai misi latihan perang di udara.

Kini segala pengalaman pahit manis dalam TUDM dimanfaatkan dalam kerjaya sesudah menjadi wanita pertama menjadi juruterbang pejuang iaitu menjadi timbalan pengarah di dalam satu bahagian di Jabatan Penerbangan Awam di Putrajaya.

Emilia sering menjadi tetamu di dalam majlis-majlis wanita dan persis slebriti dia akan dikerumuni wartawan dengan pelbagai soalan dan Emilia akan terus menjadi duta wanita dari dunia tentera dengan senyumannya

No comments:

Post a Comment