Sunday, September 23, 2012

SANDHURST MILITARY ACADEMY


AKADEMI TENTERA SANDHURST KEBANGGAAN PEGAWAI KADET MALAYSIA

Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim

Akademi Tentera Sandhurst (Royal Military Academy Sandhusrt) yang terletak di Surrey terkenal  seluruh dunia sebagai institusi latihan tentera yang tertua di dunia  dan banyak adat dan tradisi tentera di negara-negara Commonwealth berakar umbi daripada Sandhurst.

Sandhurst telah terserlah lebih dua abad yang lampau dan sejarahnya bermula pada 1741 apabila Royal Military Academy ditubuhkan di Woolwich untuk melatih Pegawai Kadet (Officer Cadet) yang akan ditauliahkan di dalam Royal Artillery, Royal Engineers dan Royal Signals.

Keterlibatan warga negara Malaysia bermula pada tahun 1950 apabila Pegawai Kadet  Abdul Manan Abas diterima menjadi pelatih pertama Sandhurst untuk mengikuti kursus Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai pegawai dan beliau berkhidmat dalam Tentera Darat (TD) sehingga berpangkat Mejar.

Jeneral Tan Sri Dato Sany bin Abdul Ghaffar  merupakan Panglima Angkatan Tentera yang pertama mendapat latihan di Sandhurst daripada Intake 9 iaitu daripada 7 September 1950 sehingga 7 Ogos 1951 dan seterusnya ditauliahkan sebagai pegawat TD.

Sejarah gemilang Akademi Tentera seterusnya melakar sejarah apabila pada penghujung abad ke-18, Colonel Le Marchant menggariskan pelan untuk melatih pegawai daripada cawangan lain di dalam Tentera Darat British dan atas cadangan Duke of York sebuah sekolah staf untuk pegawai muda telah ditubuhkan di High Wycombe pada 1799.

Pada 1801 sekolah tersebut menjadi departmen yang tertua dalam Royal Military College dan pada tahun berikutnya sebuah departmen ditubuhkan untuk melatih Pegawai Kadet daripada Cavalary dan Infantry ditubuhkan di Marlow.

Pada 1947 Royal Military Academy  dan Royal Military College telah digabungkan dan dikenali sebagai Royal Military Academy Sandhurst dan pegawai yang menjadi Komandan yang pertama ialah Major General F R G Mathews yang aktif dan terlibat dalam Perang Dunia Kedua di Eropah.

Sehingga ini Sandhurst telah melatih 30,000 Pegawai Kadet termasuk peserta kursus daripada luar negara terutamanya daripada negara-negara Commonwealth yang merupakan bekas tanah jajahan British dari seluruh pelusuk alam.

Di antara keluarga diraja dan pembesar negara yang pernah mendapat latihan di Sandhhurst ialah Sultan Brunei, King Husin Jordan, King Abdullah Jordan, Sultan Qabus Oman, Tuanku Sirajudin Tuanku Syed Putra Jamalulail Sultan Perlis, Sultan Mizan Zainal Abidin Trengganu dan Tengku Abdullah Pahang.

Sandhurst telah melatih Pegawai Kadet daripada luar negeri lebih daripada 100 tahun iaitu daripada New Zealand, China, India, Afrika dan negara-negara daripada Timur Tengah dan PK Prince Ibrahim Hilmy daripada Mesir merupakan peserta kursus pertama luar negeri iaitu pada tahun 1880 di Woolwich.

 

Dengan penubuhan Askar Melayu pada 1933 yang didokong oleh Tentera British di Tanah Melayu banyak latihan ketenteraan yang disador daripada latihan yang berasaskan doktrin ketenteraan Tentera British dan setelah tamat Perang Dunia Kedua pegawai Tentera Darat sebahagian besar mendapat latihan di Sandhurst.

Pegawai Kadet Abdul Manan Yusof dan Sukor bin Chik yang menjadi perintis warga Sandhurst dari Tanah Melayu pada 1950 adalah anggota NCO Rejimen Askar Melayu yang dipilih untuk dilatih sebagai pegawai di Sandhurst tetapi Kapten Sukor telah terkorban semasa darurat diserang hendap oleh pengganas komunis pada 26 Disember 1950 di Manchis Pahang.

Sejarah mencatatkan seramai 40 orang bakal Pegawai Kadet dan NCO daripada Rejimen Askar Melayu telah belayar di atas kapal HMS Empire Orwell daripada Singapura pada 19 Mac 1953 dan tiba di England pada 3 April 1953 untuk mengikuti kursus Pegawai Kadet di Eaton Hall di Chester.

Oleh kerana kerajaan British hanya memberi 24 tempat untuk Akademi Sandhurst pada masa itu maka 16 anggota telah pulang ke Tanah Melayu untuk membentuk battalion pertama Pasukan Persekutuan yang terdiri daripada pelbagai kaum pada penghujung 1954.

Latihan yang diikuti oleh Pegawai Kadet daripada Tanah Melayu sama sebagaimana yang diikuti oleh warga  Tentera British dan mereka bercampur dengan peserta kursus yang lain tanpa membezakan asal usul mereka termasuk daripada peserta negara lain.

Oleh kerana penubuhan Federation Military College (FMC) menjadi realiti pada 1952, maka jumlah  Pegawai Kadet yang dihantar ke Sandhurst  bertambah iaitu sebelum kita mempunyai kolej yang tersendiri untuk melatih Pegawai Kadet dan kita terus menghantar anggoat ke Sandhurst walaupun FMC telah tertubuh di Port Dickson.

Sehingga 1957 semua Pegawai Kadet yang akan menghadiri kursus di Sandhurst mesti menjalani latihan Pre-OCTU di FMC Port Dickson dan kemudiannya ke Eaton Hall di Chester atau Mons di Aldershot, England sebagai persiapan untuk mengikuti kursus sepenuhnya di Sandhurst.

Moto Sandhurst “ Serve To Lead” juga digunakan oleh FMC dalam tahun 1952 di Port Dickson dan apabila ia bertukar menjadi RMC (Royal Military College) iaitu Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi moto berkenaan masih dikekalkan dan “Serve To Lead” adalah lambang kepimpinan yang dicerna oleh Sandhurst.

Akademi Sandhurst membuat perubahan dalam struktur latihan Pegawai Kadet pada 1972 yang melibatkan latihan ketenteraan yang intensif selama enam bulan sebagai kriteria Standard Military Course sebelum mereka ditauliahkan sebagai pegawai dan dikehendaki membuat latihan lanjutan Regular Career Course (RCC).

Selepas perubahan 1972 Pegawai Kadet mencatatkan sejarah iaitu OC Mohd Daud bin Zakaria menjadi Pegawai Kadet Malaysia mengikuti program SMC 1 dan OC Cadet Soheimi bin Abas menjadi penerima pertama Cane Of Honour untuk pelajar luar negara daripada SMC 3 dan warga Malaysia pertama menerima anugerah berkenaan.

Sejak 1947 kurikulum kursus tidak berubah sehingga 1955 apabila jumlah kursus selama lapan bulan bulan telah diubah kepada dua tahun untuk memberi ruang kepada kursus akademik dan Sandhurst itu dicerna untuk menjadi persis sebuah universiti.

Meski banyak perubahan yang telah berlaku sejak Sandhurst ditubuhkan, ia akan terus menjadi pusat latihan tentera yang berpristej dan ia dikenali di seluruh dunia sebagai wadah untuk mewujudkan kepimpinan ketenteraan yang berwibawa.

Kepada alumni Sandhurst di Malaysia mereka cukup berbangga kerana menjadi anak didik sebuah institusi yang memantapkan syahsiah dan ilmu ketenteraan yang boleh diaplikasikan di negara sendiri walaupun setting latihan adalah berdasarkan teori ketenteraan yang telah teruji di mana-mana medan perang.

Sandhurst adalah kebanggaan Tentera Darat British dan Pegawai Kadet Malaysia yang pernah merasa sentuhan latihan di sana.

No comments:

Post a Comment