Sunday, September 23, 2012

OPERASI NURI


OPERASI NURI  ZAMAN AMAN DAN DARURAT KEDUA

Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

 

Kehadiran pesawat Nuri (Sikorsky S61A-4) sejak 1968 dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memainkan peranan yang penting dalam operasi helikopter yang dilaksanakan oleh skuadron yang bertanggungjawab menerbangkan mesin berkenaan iaitu No 3 Skuadron, No 5 Skuadron, No 7 Skuadron  dan No 10 Skuadron.

Ketibaan helikopter Nuri di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) pada 1968 merupakan detik yang bersejarah dalam operasi helikopter TUDM kerana ia menandakan peningkatan kerupayaan pesawat daripada yang sedia ada iaitu daripada jenis helikopter Alouette yang memasuki inventori TUDM pada 1963.

Oleh kerana keperluan yang mendesak pada awal 60an, pegawai Tentera Darat  (TD) telah diberi tawaran untuk mengikuti kursus mengendalikan helikopter Nuri  di Amerika Syarikat dan seterusnya diserapkan ke dalam TUDM.

Sebelum tertubuhnya ‘Skauadron Komposit’ pada awal 1977, skuadron yang mengendalikan pesawat Nuri adalah No 7 Skaudron di TUDM Kuching yang bertanggungjawab memberi sebarang keperluan udara  di Sabah dan Sarawak sementara bagi keperluan Semenanjung disediakan oleh No 10 Skuadron TUDM Kuantan.

Apabila wujud Skaudron Komposit maka Alouette dan Nuri diagihkan kepada semua skuadron helikopter iaitu No 3, No 5, No 7 dan No 10 Skuadron untuk digunakan dalam setiap misi yang melibatkan helikopter TUDM.

Di antara 1970 sehingga 1976 No 3 Skuadron telah  menjadi Skuadron Komposit yang mengendalikan helikopter Alouette dan Nuri apabila terlibat dengan operasi melawan pengganas komunis di perbatasan Malaysia-Thai iaitu semasa era insurgensi atau darurat kedua sebelum Chin Peng menamatkan perjuangan bersenjata.

Helikopter Nuri yang digabungkan daripada No 10 Skuadron menambah keupayaan skuadron yang ditugaskan untuk membuat penerbangan trup TD dan menerbangkan kelengkapan senjata seperti  meriam ke kawasan operasi seperti Operasi Daoyai-Musnah, Cahaya Bena dan Selamat Sawadi.

Sepanjang era insurgensi kedua cerita Nuri dan Alouette menjadi sasaran tembakan senajata pengganas komunis adalah senario biasa dan setiap penerbangan ke daerah operasi adalah penerbangan yang berisiko dan ia merupakan operasi hidup atau mati.

 

Anak-anak kapal yang telah biasa dengan desingan peluru musuh sentiasa berwaspada dan mencari jalan untuk menyelamatkan pesawat untuk kesinambungan  dan kejayaan operasi melawan musuh negara.

Juruterbang TUDM telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang era operasi melawan komunis dan keberanian mereka seperti yang ditunjukan oleh Mej (U) Chong Keng Ley yang menjadi sasaran komunis dan salah seorang anggota TD telah terkorban di dalam pesawat Nuri yang dipandunya.

Chong telah berjaya keluar daripada kawasan komunis yang menyerang pesawatnya dan di atas keberanian itu beliau telah dianugerahkan Pingat Panglima Tentera Udara.

Juruterbang Nuri yang lain yang turut mendapat anugerah pingat keberanian ialah Mej(U) Nor Ibrahim Sulaiman, Lt (U) Zainal Piee dan Lt (U) Mohd Som di atas khidmat mereka menangani ancaman serangan komunis yang tidak mengenal kasihan terhadapan pasukan keselamatan.

Untuk menambah keupayaan skuadron komposit sehingga 1979 sebanyak 12 buah helikopter Nuri dan 7 buah helikopter Alouette yang dipersenjatai dengan misin gan telah dioperasikan oleh No 3 Skuadron bagi menampung operasi bersama TD di kawasan perbatasan Malaysia-Thai.

Pada 1980 Ipoh telah dijadikan pangkalan hadapan dan dengan kekuatan 2 buah pesawat Nuri dan 2 buah pesawat Alouette dan detasmen ini pada mulanya diketuai oleh Mej(U) Senin Jantan untuk melaksanakan operasi luar daripada pangkalan asal di TUDM Butterworth.

Pada 1978 No 5 Skuadron yang beroperasi dari Pangkalan TUDM Labuan yang mengendalikan helikopter Alouette telah menerima pesawat Nuri yang pertama untuk dioperasikan skuadron berkenaan untuk meneruskan baktinya bagi operasi helikopter di negeri Sabah secara menyeluruh.

No 7 Skuadron yang berpangkalan di Kuching mula berfungsi pada 29 Februari 1968 yang diperlengkapkan dengan helikopter Nuri dan Ketua Skuadronya yang pertama ialah Squadron Leader Mohamad Ngah Said yang kemudiannya memegang jawatan Panglima Tentera Udara dan bersara berpangkat Lt Jeneral Udara.

Dengan kewujudan No 7 Skuadron di TUDM Kuching banyak perkhidmatan penerbangan ke kawasan pendalaman untuk operasi TD, Polis dan bantuan untuk jabatan awam telah dilakukan oleh helikopter Nuri.

Skuadron juga terlibat untuk membawa orang-orang kenamaan ke kawasan pendalaman yang susah untuk dihubungi dengan jalan darat di negeri Sarawak dan ia juga juga terlibat dengan penerbangan kecemasan untuk pesakit seperti MEDIVAC dan CASEVAC juga penerbangan mencari dan menyelamat.

Nuri juga turut digunakan untuk kerja kemanusiaan menolong rakyat ketika Sarawak mengalami kemarau dan juga banjir dan pada 1975 skuadron ini menjadi komposit dengan kehadiran helikopter Alouette untuk melaksanakan operasi dengan dua jenis pesawat.

Skuadron juga mempunyai penerbangan rutin yang dilakukan oleh Nuri ke Pontianak di Indonesia yang menempatkan kakitangan konsulat di Pontianak sebagai penyambung persahabatan diplomatik dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

TUDM terlibat membantu usaha Jabatan Kastam dan Eksais Diraja membanteras aktiviti negatif bagi menangani penyeludupan di kawasan perairan Malaysia yang bersempadankan Kalimantan Utara.

Manakala No 10 Skuadron yang mengendalikan pesawat Nuri menjadi tulang belakang untuk menjayakan operasi tentera di Semenjung ditubuhkan pada 1968 dengan kekuatan asal 33 orang kakitangan yang diketuai oleh Squadron Leader Benjamin Lee.

Selain daripada tugas operasi skuadron terlibat dengan penerbangan untuk latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penerbangan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), penerbangan ihsan, latihan payung terjun dan penerbangan untuk jabatan awam.

Rekod khidmat Nuri yang memberi bantuan kemanusiaan termasuklah semasa banji di Pantau Timur pada 1975 dan 1980, serta pemindahan penduduk yang terpaksa dipindahkan kerana pembinaan Empangan Temenggor pada 1976 ke kawasan penempatan Air Ganda di Perak.

Khidmat Nuri semasa aman dan juga zaman insurgensi menghadapi ancaman komunis telah mencatat sejarah suka dan duka namun meski komunis bukan lagi menjadi ancaman, sejarah yang dilakarkan untuk kedua era akan terus bermain di minda bekas juruterabang yang pernah menggadai nyawa demi cinta kepada negara.

No comments:

Post a Comment