Saturday, October 6, 2012

AIROD


AIROD ENTITI TUDM MENJADI PEMANGKIN INDUSTRI KEJURUTERAAN PENERBANGAN Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B) Penubuhan Depot Baik Pulih Kapal Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (DEBKAT TUDM) atau Aircraft Inspection, Repair and Overhaul Depot (AIROD) mula dirancang pada bulan April 1971 dan diluluskan pada bulan Mac 1972.

Tim projek untuk menubuhkan DEBKAT TUDM telah dipantau oleh Pengarah Kejuruteraan iaitu Group Captain Muslim Ayub (bersara Mejar Jeneral) dengan pengambilan tanah seluas 55 ekar di Lapangan Terbang Subang. Operasi Airod bermula setelah penubuhannya diluluskan dan ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Hussein Onn pada 6 Jun 1981 dan ia merupakan satu-satunya depot baik pulih kapal terbang pada ketika itu.

Sebagai entiti TUDM yang merupakan orgnisasi pertama dalam bidang pengendalian pemeriksaan dan baik pulih pesawat di Malaysia, ia melaksanakan operasinya berperingkat-peringkat dengan kehadiran bahagian mekanik, elektrik, kawalan mutu serta pentadbiran sahaja. Pada 1 September 1977 Airod mempunyai satu bahagian kejuruteraan di peringkat kedua pelaksanaannya dan pada 1 Februari 1981 beberapa bahagian baik pulih telah diwujudkan bagi menambah keupayaan depot berkenaan.

Bahagian pengeluaran adalah meliputi enjin pesawat kapal terbang, elektronik dan bahagian kereta serta perkakas bantuan manakala bahagian perkhidmatan pula meliputi kawalan mutu, khidmat kejuruteraan, bahan dan kewangan serta bahagian pentadbiran.

Secara keseluruhannya operasi bahagian-bahagian berkenaan telah berjalan dengan lancar sejak 1980 manakala bahagian jentera pesawat berjalan lebih awal iaitu pada bulan Mei 1976. Dari segi keanggotaan Airod pada asalnya dipelopori oleh tiga orang pegawai yang diketuai oleh Lt Kol (U) J Ponnodurai yang merupakan Pegawai Memerintah yang pertama dan dibantu oleh 45 orang anggota lain-lain pangkat dan 9 orang kaki tangan awam.

Setelah kajian perjawatan dilakukan pada tahun 1981, anggota Airod telah bertambah dengan kehadiran 84 orang pegawai, 1,224 orang anggota lain-lain pangkat dan 93 orang penjawat awam. Apabila kerajaan Malaysia memperkenalkan program penswatsaan kepada perkhidmatan yang sebelumnya dikendalikan oleh organisasi kerajaan,

Airod Sdn Berhad telah diwujudkan pada bulan Januari 1985. Semasa awal usianya Airod Sdn Bhd merupakan syarikat gabungan antara Aeropsace Industries (AIM) dan Lockheed Aircraft Services International (LASI) dan ia telah mendapat kontrak untuk memberi khidmat penyelenggaraan teknologi sederhana dan tinggi untuk pesawat, enjin, komponen, peralatan dan avionik.

Operasi Airod seterusnya dilakukan dengan kehadiran 10 orang pengurus daripada Lockheed dan 242 orang anggota TUDM yang diserapkan daripada jawatan tentera kepada jawatan awam sebagai mukadimah industri penerbangan di Malaysia.

Pelanggan awal yang mendapat perkhidmatan AIROD ialah Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara, Papua New Guinea dan pelanggan utama iaitu TUDM. AIROD kini menjadi milik subsidiari National Aersopace and Defence Industry Sdn Bhd (NADI) yang diwujudkan bagi memenuhi strategi pengembangan industri aeroangkasa di Malaysia dengan moto “BERDIKARI”.

Pada 11 Oktober 2011 TUDM telah melancarkan program SMART PARTNERSHIP bersama AIROD yang akan membolehkan kedua pihak berkongsi menolong antara satu sama lain bagi menyediakan bantuan kejuruteraan kapal terbang dan penyelenggaraan pesawat TUDM yang dilakukan oleh AIROD.

Program SMART PARTNERSHIP telah dilancarkan oleh Jeneral Tan Sri Rodzali Daud TUDM, Panglima Tentera Udara dan disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Ahmad Johan, Pengerusi Eksekutif National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI) syarikat induk yang mengendalikan AIROD. Menurut Tan Sri Rodzali RMAF/AIROD SMART PARTNERHIP adalah program yang berdasarkan formula win-win (menang-menang) yang akan menyaksikan perkhdimatan AIROD kepada TUDM yang boleh dimanfaatkan bersama.

Ia juga bagi memberi peluang kepada TUDM untuk meningkatkan kecekapan sumber manusia melalui latihan yang dilakukan oleh AIROD dan bagi AIROD ia akan menterjemahkan proses membuat keputusan tanpa pembaziran waktu untuk tindakan yang sewajarnya.

Kerajaan Malaysia melalui program transformasi ekonomi telah mengenalpasti industri yang mempunyai “Entry Point Projek (EPP)” yang utama untuk memberi ruang kepada perniagaan penyelengaraan, pembaikan dan baik pulih. Pelancaran EPP1 seterusnya melahirkan termetrainya “General Terms Agreement (GTA) di antara Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dan AIROD pada 20 Julai 2011 yang memberikan ruang untuk MAS memberi tumpuan kepada pesawat “wide body” (berbadan lebar) manakala AIROD untuk pesawat “narrow boday” (berbadan kurus).

Ternyata program “Smart Partnership” di antara TUDM dan AIROD akan mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan pencarian daerah sinergi yang baru untuk tahap seterusnya untuk faedah negara secara keseluruhannya.

Apa yang dilakukan oleh TUDM dan AIROD adalah satu kesinambungan polisi yang telah diukir oleh kepimpinan sebelum ini untuk mencapai tahap BERDIKARI dalam perkara yang bersangkutan dengan pertahanan negara. Dalam rangka kerjasama AIROD yang pernah menjadi entiti TUDM ialah dengan kehadiran 15 anggota TUDM yang ditumpangkan di AIROD untuk “tear down inspection (TDI)” helikopter Nuri M23-03 dan mereka dilatih secara teratur dengan hubungan yang sistematik untuk menambah kecekapan dan pengetahuan mereka.

Dengan pengetahuan dan pengalaman dalam pesawat tentera, AIROD akan berjaya meneruskan memberi perkhidmatan peneyelenggaran cemerlang kepada TUDM di samping menjalin hubungan strategik dengan TUDM ia memberikan tumpuan perniagaan dengan pelanggan awam lain dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

No comments:

Post a Comment