Friday, July 20, 2012

LATIHAN REKRUT TUDM

LATIHAN REKRUT TUDM BERMULA DI RAF SELETAR
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)




Sejarah latihan untuk rekrut Tentera Udara Diraja Persekutuan bermula di Singapura iaitu di pangkalan udara British (RAF) Seletar selama enam minggu untuk kakitangan kejuruteraan dan mereka berjaya menamatkan latihan mereka pada 13 Februari 1959.


 Mereka adalah rekrut panggilan pertama yang dilatih untuk menjadi juruteknik kapal terbang yang dilatih oleh RAF yang merupakan tenaga penggerak bagi kesinambungan sebuah angkatan udara yang baru merdeka.

Anggota asal tentera udara kita adalah anggota RAF yang ditukarkan justeru sebahagian besar anggota pada masa itu adalah pegawai dan anggota RAF yang dipinjamkan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. 

 Perkembangan Tentera Udara kita semakin pesat sebaik ditubuhkan dan seterusnya anggota kejuruteraan telah mendapat latihan di Sekolah Kejuruteraan Kapal Terbang yang ditubuhkan di Kinrara pada September 1963 yang diketuai oleh Flight Lieutenant Darneal AR seorang pegawai RAF.


 Rekrut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pernah dilatih di Pusat Latihan Rekrut Tentera Darat di Port Dickson Garisen pada 1971 dan pegawai latihan yang bertanggungjawab pada masa itu ialah Pilot Officer Ghazali Mohamad Taib yang ditumpangkan di pusat tersebut.


 Rekrut TUDM dilatih oleh jurulatih Tentera Darat dan mereka didedahkan dengan latihan ketenteraan untuk menjadikan mereka anggota yang berilmu dan berdisiplin sebelum mereka melanjutkan kursus kerjaya mereka dalam TUDM.


 Sejerah latihan rekrut mencatatkan sejarah apabila TUDM Ipoh ditubuhkan bagi menjalankan tugas melatih rekrut TUDM yang sebelum itu dilatih di pelabagai lokasi seperti di Singapura, Pusat Latihan Rekrut Tentera Darat, TUDM Kuala Lumpur dan TUDM Kinrara.

 Dengan rancangan yang telah dikaji oleh TUDM, pada 17 Januari 1978, satu majlis mengadap ke bawah DYMM Sultan Perak untuk memohon sekeping tanah bagi tujuan menubuhkan Pusat Latihan Rekrut TUDM dan membina kawasan latihan di lokasi yang ditetapkan.


 Pada 28 Januari 1978 majlis Panglima Angkatan Tentera telah meluluskan permohonan Panglima Tentera Udara untuk membina sebuah Pusat Latihan Rekrut dan Latihan Medan Ketenteraan bagi TUDM secara sementara dan kemudian akan dibina pangkalan operasi di tempat yang sama.

 Dengan kekuatan anggota dan peralatan projek pembinaan pangkalan tersebut diteruskan dan ia menjadi tanggungjawab komandan pertama pusat latihan berkenaan iaitu Lt Kol (U) Mohamad Ali Bin Rejab untuk merealisasikan wawasan TUDM untuk mempunyai pusat latihan sendiri bagi melatih anggotanya.


 Pada 24 Mac 1980 kumpulan besar tiba di unit ini untuk menyediakan semua keperluan bagi melaksanakan operasi TUDM Ipoh sebagai pangkalan latihan dan pada 23 Jun 1981 Pusat Latihan Rekrut (PLR) TUDM Ipoh telah dengan rasminya dibuka oleh Sultan Perak.


 Sebagai sebuah institusi latihan ketenteraan, PLR bertanggungjawab untuk menukarkan manusia awam kepada dunia tentera dengan menukarkan minda mereka untuk berfikir sebagai anggota tentera dengan ditanamkan disiplin dan budaya tentera.


 Latihan ketenteraan yang ditanamkan kepada orang awam yang telah diterima menjadi anggota tentera sebagai rekrut adalah untuk melatih, membina dan membangunkan keupayaan rohani dan jasmani bagi menjalani kehidupan sebagai anggota tentera.


 Matlamat utama latihan yang dijalankan adalah untuk melahirkan ahli udara yang bersemangat cergas, berdedikasi, patuh dan setia kepada pasukan, berakhlak tinggi dan tahan lasak di samping mempunyai disiplin yang tinggi sebagai pra-syarat kejayaan anggota dalam organisasi.


 Apa yang dicerna di pusat latihan asas ini adalah mukadimah kepada kehidupan tentera yang sentiasa siap siaga untuk menjalankan segala tugasan dan ia menukarkan sikap dan persepsi organisasi tentera sebagai pasukan elit yang bertanggungjawab untuk menjadi benteng pertahanan negara.

 Rekrut didedahkan kepada latihan kawad yang menjadi asam garam kepada profesyen ketenteraan kerana ia melambangkan keseragaman dan setiap gerakan dan manifestasi kepatuhan kepada disiplin dan bersedia untuk menerima sebarang arahan bagi melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada mereka.
Untuk latihan fizikal adalah menjadi kebiasaan sebelum sahaja matahari terbit, anggota rekrut akan memulakan latihan mereka sebelum sarapan pagi untuk menjalani latihan jasmani dengan penuh semangat wira sesuai dengan ungkapan otak yang sihat datangnya daripada badan yang sihat.
Sebagai anggota tentera yang menjadi aset kepada organisasi pertahanan negara, rekrut didedahkan dengan latihan untuk menggunakan senjata dan ilmu medan perang dan latihan-latihan mereka melibatkan ilmu muslihat medan perang, membaca peta, pertahanan pangkalan, sivik, pengetahuan am tentang perkhidmatan tentera dan Bahasa Inggeris.


 Sergahan dan ketegasan jurulatih semasa latihan adalah fenomena biasa yang harus diterima oleh rekrut dan ia merupakan kejutan bagi manusia awam yang baru sahaja menyalinkan uniform tentera dan ia harus dihadapi dengan tabah sebagai asam garam untuk membuatkan rekrut belajar menerima sebarang cabaran sepanjang perkhidmatan di dalam TUDM

 Jatidiri yang ditanamkan di PLR adalah untuk membina insan yang tabah dan mereka diingatkan bahawa latihan yang dilalui digembeling untuk masa aman dan masa perang dan mereka juga didedahkan dengan latihan menggunakan peluru hidup dan menggunakan senjata dan bom tangan.

 Latihan yang dijalankan sebagai rekrut adalah permulaan kepada latihan lanjutan untuk ketukangan yang akan dipegang apabila menjadi ahli udara sama ada dalam bidang kejuruteraan, tugas pentadbiran, ahli trafik udara, ahli bomba, ahli pertahanan udara, logistik atau PASKAU.

 Setelah tamat latihan mereka akan disalurkan kepada ketukangan masing-masing ditukarkan kepada unit di selurug Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dan di unit mereka yang baru mereka akan terus menjalani latihan penyesuaian untuk berkerja di pangkalan operasi.

 Untuk bahagian kejuruteraan rekrut yang sudah tamat akan dihantar untuk menjalani latihan di Institut Teknologi Udara begitu juga dengan ahli udara ketukangan lain akan meneruskan kursus lanjutan dalam ketukangan masing-masing.

 PLR Ipoh adalah mukadimah sebagai ahli udara dan sesudah itu mereka akan meneruskan kerjaya mereka sebagai penggerak organisasi yang akan menjadi sebahagian daripada cabaran hidup mereka sebagai benteng pertahanan udara negara.

No comments:

Post a Comment