Sunday, July 29, 2012

INDIAN MILITARY ACADEMY

LEGASI PRODUK INDIAN MILITARY ACADEMY

Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Sejarah kewujudan Indian Military Academy (IMA) di Dehradun India bermula pada tahun 1932 sebagai institusi untuk melatih pegawai tentera India yang merupakan sebahagian daripada Tentera Darat Diraja British (Royal British Army) justeru India adalah tanah jajahan British pada ketika itu.

IMA telah melahirkan ramai pegawai tentera sesuai dengan motonya “Valor and Wisdom” dan ia turut melakarkan sejarah apabila dua orang tokoh pemimpin tentera dan awam negara ini pernah mendapat latihan di akademi berkenaan.

Perdana Menteri yang ketiga Allahyarham Tun Hussein Onn adalah produk IMA yang mendapat pendidikan awal di Telok Kurau Primary School Singapura dan English College Johor yang kemudiannya memasuki Johor Military Force pada 1940 dan kemudiannya dihantar ke IMA.

Selepas menamatkan latihan sebagai Pegawai Kadet (PK) di IMA, Hussein Onn telah diserapkan ke dalam Tentera Darat India dan dihantar bertugas di Timur Tengah semasa era Perang Dunia Kedua membara.

Selepas perang tamat berdasarkan pengalaman yang luas pihak British telah melantiknya sebagai jurulatih di Malayan Police Recruiting and Training Centre di Rawalpindi dan apabila beliau pulang ke Tanah Melayu pada 1945 beliau dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru.

Seorang tokoh tentera yang juga mendapat lathan di IMA ialah Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail yang menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera dari 1970 hingga 1977 dan beliau telah mencatatkan sejarah sebagai wira Melayu semasa Perang Dunia Kedua.

Seperti Allahyarham Tun Hussien Onn beliau juga memasuki Johor Military Force sebelum dihantar ke IMA pada 1941 untuk mengikuti latihan ketenteraan dan setersunya ditauliahkan sebagai pegawai tentera.

Semasa Jepun menduduki Tanah Melayu beliau dan beberapa anak Melayu di India telah memasuki Pasukan Force 136 yang ditaja oleh Tentera British di India untuk menyusup ke Tanah Melayu dan melawan pihak Jepun.

Kehadiran empat orang rakyat Malaysia pada 1972 untuk menjalani latihan ketenteraan di IMA adalah kumpulan kedua setelah kehadiran dua tokoh negara semasa zaman Perang Dunia Kedua dahulu.

Mereka yang dipilih untuk menjalani latihan di IMA ialah Pegawai Kadet Sabir Ahmad Badaruddin, PK Ibrahim Mahmud, PK Abu Kassim Jadi dan PK Hashim Hussein yang sebelum itu menjalani latihan di Pre-Officer Cadet Training Unit (PRE-OCTU) di Kem Sebatang Karah Port Dickson.

Kursus berlangsung selama dua tahun untuk Intake 54 Regular dari Disember 1972 hingga Disember 1974 untuk empat semester iaitu penggal pertama untuk Semester Musim Panas, penggal kedua untuk Musim Sejuk, penggal ketiga untuk Musim Panas dan penggal keempat untuk Musim Sejuk.

PK Abu Kassim Jadi ditempatkan di Cassino Company No 1 Battalion di Blok Collins, Hashim di Alamein Company manakala Ibrahim dan Sabir di cabang utama IMA dan mereka tidak mempunyai masalah untuk berinteraksi dengan PK yang majoriti terdiri daripada warga India.

Abu Kassim Jadi menceritakan kenangan manisnya di IMA adalah hadiah extra-drill di padang kawad yang diberi oleh Sahib (guru) kawad pada satu pagi yang sejuk dalam musim sejuk sebagai mukadimah latihan ketenteraan di seberang laut.

Kawad adalah prasyarat untuk mendisiplinkan tentera dan latihan tersebut diharungi sebagai rutin di mana-mana institusi latihan ketenteraan dan Abu Kassim bersama rakan seperjuangan Malaysia yang lain dengan cepat belajar asam garam dan karenah jurulatih IMA.

Latihan kawad itu dilalui dengan penuh semangat walaupun bayangan extra-drill menghantui mereka dan Sahib kawad itu memang sengaja mencari alasan bukan sahaja kepada tetamu dari Malaysia tetapi di kalangan warga India itu sendiri dan Abu Kassim bangga kerana menjadi PK yang pertama lulus ujian kawad mendahului PK India yang lain.

Makanan yang disediakan untuk PK di IMA adalah seimbang dengan pelbagai kategori menu seperti untuk vegiterian, telor-vegi, bukan Muslim dan Muslim dan di samping sarapan western, capati adalah menjadi makanan wajib dan tairu disediakan untuk setiap waktu makan.

Sejak 1948 Pegawai Kadet daripada negara-negara Afro-Asia telah dihantar menjalani latihan pegawai di IMA dan sehingga 1987 seramai 560 pelatih dari luar negara telah dilatih iaitu daripada Angola, Afghanistan, Bhutan, Burma, Sri lanka, Ghana, Iraq, Jamaica, Malaysia, Nepal. Nigeria, Filipina, Singapura, Tonga, Tanzania, Uganda, Yaman dan Zambia.

Aktiviti yang mencabar rutin latihan yang dijalankan di IMA dan ia menanamkan kesedaran matalamat arah tujuan dalam sesuatu misi, azam, semangat setia kawan untuk menjadikan pelatih individu yang beraspirasi sebagai pahlawan.

Pegawai Kadet IMA yang diberi jolokan Gentlemen Cadets ditanamkan semangat sikap untuk “adventure” melalui pelbagai aktiviti termasuk sukan yang diberi tumpuan yang penuh oleh IMA dengan kelengkapan sukan yang cukup dan jurulatih yang mantap.

Jika dibandungkan dengan latihan yang dilaksanakan di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi penekanan untuk latihan ketenteraan adalah menjurus kepada latihan Peperangan Gerila dan sedikit Peperangan Konvensional, apa yang diajarkan di IMA ia merangkumi Peperangan Padang Pasir dan Peperangan Daerah Pergunungan.

Di samping dua bentuk latihan peperangan aktiviti ekuestrian dan renang adalah wajib untuk semua pelatih dan setiap penggal mereka terlibat dengan eksesais yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental untuk mengharungi rupa muka bumi India Utara yang bergunung ganang dengan penuh cabaran.

Saat yang menggembirakan adalah perbarisan tamat latihan pada 12 Disember 1974 yang turut dihadiri oleh Kolonel Cyril Jospeh Marsh iaitu Attache Tentera Malaysia di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Walaupun kini menjalani hidup sebagai orang awam pengalaman oleh rakyat Malaysia untuk dilatih di IMA adalah satu pengalaman pegawai tentera Malaysia untuk dilatih di bumi asing dan ia mengingatkan kembali kepada tokoh negara yang pernah dilatih di tempat yang sama semasa Perang Dunia Kedua.

No comments:

Post a Comment