Friday, July 6, 2012

PESAWAT PENGANGKUT TUDM

EVOLUSI PESAWAT PENGANGKUT TUDM DARI TWIN PIONEER KE C-130
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Sejarah pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula dengan ketibaan pesawat Twin Pioneer yang dibeli oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 17 April 1958 yang mendarat di lapangan terbang Royal Air Force (Tentera Udara Diraja British –RAF ) Sungai Besi yang disambut oleh Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman Putra Al –Haj.

Pembelian pesawat tersebut adalah persediaan bagi menubuhkan pasukan Tentera Udara Diraja Persekutuan sebaik sahaja Ordina Tentera Udara 1958 diluluskan oleh Parlimen Persekutuan pada hari Isnin 2 Jun 1958 setelah draf undang-undang untuk menubuhkan angkatan udara bagi sebuah Negara yang baru merdeka dibentangkan dan diluluskan.

Kehadiran pesawat Twin Pioneer yang kemudiannya diberi nama lang Raja Wali adalah mukadimah kepada operasi pesawat tentera untuk digunakan sebagai pesawat pengangkut tentera dan penerbangan komunikasi dan juga untuk Orang-orang Kenamaan (VIP) Negara. Negara masih di dalam era Darurat dan kehadiran Raja Wali turut menyumbangkan khidmat dalam menangai ancaman komunis justeru sejak 1948 setelah Darurat diisytiharkan, operasi udara sebahagian besar telah dilaksanakan oleh pesawat RAF yang berpangkalan di Singapura.

Raja Wali telah digunakan untuk membawa pasukan keselamatan ke daerah operasi dan pendalaman dan juga ia terlibat dalam operasi menggugurkan risalah ke atas kawasan pengganas komunis di samping tugas “Air Broadcasting” bagi memujuk pengganas komunis meninggalkan perjuangan mereka. Selama 17 tahun pesawat Twin Pioneer dikendalikan oleh No 1 Skuadron dan juga No 8 Skuadron yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966 , jumlah pesawat telah ditambah bilangannya untuk dikendalikan oleh kedua-dua skuadron mengangkut anggota tentera, kargo, MAEVAC, CASEVAC dan juga BODEVAC .

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 dan Indonesia melancarkan KONFRANTASI, pesawat Twin Pioneer turut terlibat dalam pelbagai operasi ketenteraan bagi menangani ancaman ke atas kedaulatan Negara untuk menggerakkan trup di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Dalam proses perkembangan sistem pengangkutan udara, peswat Cessna 310F (Terok) dan Dove dibeli untuk dikendalikan oleh No 2 Skuadron pada Januari 1962 dan pesawat Heron digunakan oleh skuadron berkenaan sehingga 1971.

 Bagi menampung keperluan pengangkutan jarak sederhana di antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, No 4 Skuadron telah ditubuhkan dan skuadron berkenaan dilengkapi dengan pesawat Dart Herald Page 401 dan pesawat berkenaan telah terlibat dengan banyak operasi seperti pengguguran daripada udara dan juga semasa operasi banjir.

Pesawat Dart Herald turut terlibat dalam operasi semasa zaman Konfrantasi dan juga penerbangan khas seperti membawa pulang kaki tangan kedutaan Malaysia di Saigon apabila Amerika kalah perang di Vietnam pada 1975.


Bagi kepentingan pengangkutan di kawasan pendalaman yang mempunyai landasan rumput dan kawasan yang terhad terutamanya di Sabah dan Sarawak, pesawat Caribou DHC (STOL) diperlukan dan sebanyak empat buah jenis tersebut telah dihadiahkan oleh kerajaan Canada sementara jumlah yang lain dibeli untuk kegunaan No 8 Skuadron di Labuan. Pesawat Caribou tiba di Malaysia pada 15 Mei 1966 dan fleet berkenaan beroperasi selama 22 tahun dan merupakan pesawat yang tahan lasak dan banyak digunakan untuk membantu Tentera Darat melaksanakan operasi mereka baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.

Dalam proses pemodenan TUDM turut menerima pesawat eksekutif jet yang dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri iaitu HS 125 pada penghujung 1973 dan pada tahun 1975 pesawat F28 pula memasuki inventori TUDM untuk dikendalikan sebagai pesawat VIP iaitu bagi membawa orang-orang kenamaan.

Pada 17 Julai 1976 pesawat C-130 memulakan perkhidmatannya dengan No 14 Skuadron yang beroperasi daripada pangkalan TUDM Kuala Lumpur sebelum ia dipindahkan ke TUDM Subang untuk melaksanakan operasi pengangkutan jarak jauh.

Pesawat C-130 telah merekodkannya yang cemerlang dan menjadi platform penubuhan Pasukan 10 Briged Para dan sering melakukan latihan penerbangan bagi menggugurkan anggota Tentera Darat di kawasan latihan dan operasi. Pesawat C-130 telah beroperasi di teater global seperti di Bosnia-Hezergobina, Somalia, Kemboja, Timur Timor, Afghanistan dan mana-mana daerah yang berkonflilk bagi mengangkut keperluan dan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dengan tugas pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

TUDM juga terlibat dengan latihan di luar Negara yang melibatkan pesawat pengangkut C-130 seperti di Alaska yang melibatkan tentera Amerika dan juga penerbangan ke Negara bekas Kesatuan Soviet.

TUDM turut terlibat untuk melaksanakan tugas kemanusian untuk membawa sumbangkan rakyat Malaysia seperti makanan dan pakaian kepada Negara-nagara yang ditimpa bencana seperti ribut dan gempa bumi seperti di Iran, Indonesia, Pakistan dan Afghanistan dan tugasan tersebut dikendalikan oleh krew pesawat C-130.

Pesawat C-130 pernah diterbangkan mengelilingi dunia untuk membawa tiang layar bagi pelayar Negara Dato Azhar yang mendapat musibah berhampiran Falklands dan ia merupakan penerbangan yang bersejarah pada April 1996.

Khidmat pesawat Caribou telah digantikan oleh pesawat CN 235 buatan syarikat Industri Pesawat Terbang Nusantara Bandung Indonesia pada 1999 untuk dikendalikan oleh No 21 Skuadron Subang dan kemudiannya berpindah ke Kuching pada Julai 2007 dan dikendalikan oleh No 1 Skuadron.

Tiga buah pesawat PC-130 yang pernah digunakan sebagai pesawat peninjau maritim telah bertukar peranan untuk di jadikan pesawat Tanker untuk membawa minyak bagi pengisian minyak di udara untuk pesawat pejuang. TUDM akan terus dipertingkatkan dan pesawat baru yang lebih canggih akan berada di dalam inventori TUDM menjelang 2015 sebagai salah satu komitmen dan khidmat TUDM sebagai benteng pertahanan Negara.

Kehadiran pesawat TUDM di persada antarabangsa bukan sahaja telah menaikkan nama TUDM tetapi juga nama ATM dan seterusnya menjadi kebanggaan Negara.

No comments:

Post a Comment