Sunday, July 15, 2012

LATIHAN PENERBANGAN DALAM TUDM

LATIHAN PENERBANGAN DALAM TUDM
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Tarikh 14 Disember 1961 adalah hari yang bersejarah bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana pada hari tersebut Menteri Pertahanan pada ketika itu Dato’ Abdul Razak Hussien telah menyampaikan sayap kepada juruterbang pertama yang dilatih oleh Sekolah Latihan Penerbangan di pangkalan udara Sungai Besi.

Mereka yang telah menerima sayap penerbangan ialah Pilot Officer Arthur Cheah, Pilot Officer Ahmad Idris, Pilot Officer Chuah Nee Wah dan Pilot Officer Gopal Ramdas yang merupakan juruterbang perintis yang dilatih di dalam negeri iaitu sejak Sekolah Latihan Penerbangan di tubuhkan  dalam bulan Disember 1958.

Sebagai sebuah angkatan udara yang masih muda pada ketika itu jurulatih penerbangan adalah terdiri daripada juruterbang  Royal Air Force (RAF) yang dipinjamkan kepada kerajaan Persekutuan bagi mengendalikan latihan penerbangan dengan menggunakan pesawat latihan daripada jenis Chipmunk.
Dalam bulan Jun 1962 di bawah kepimpinan Squadron Leader L J Otley Sekolah Latihan Penerbangan telah mengalami perubahan dengan penggunaan pesawat baru Piston Provost T 51/53 untuk menggantikan pesawat Chipmunk yang digunakan sejak 1958.

Sekolah Latihan Penerbangan mencatatkan sejarah apabila pada bulan September 1963 seiring dengan pembetukan Malaysia buat pertama kalinya mempunyai jurulatih penerbangan yang terdiri daripada anak tempatan iaitu Flight Lieutenant S P Welch dan Flight Lieutenant Lawrence Phong.
Latihan penerbangan telah dipindahkan ke TUDM Alor Setar pada 1  Julai 1964 dan Sekolah Latihan Penerbangan telah dipimpin oleh pegawai pinjaman RAF iaitu Squadron Leader F J Woodard yang juga merupakan Pegawai Memerintah TUDM Alor Setar.

Kursus latihan penerbangan di Alor Setar pada 12 September 1964 dan Sekolah Latihan Penerbangan seterusnya mengendalikan latihan lanjutan penerbangan dengan kehadiran pesawat Dove bagi melatih juruterbang yang telah mendapat sayap penerbangan setelah melalui latihan penerbangan  dan lulus sebelum latihan peralihan kepada pesawat lain yang akan dikendalikan oleh skuadron penerbangan.

Pada bulan Jun 1972 pesawat Piston Provost yang telah digunakan untuk melatih 120 orang juruterbang TUDM sepanjang 10 tahun perkhdimatannya telah digantikan dengan pesawat Bulldog manakala pada tahun 1975 pesawat Dove telah digantikan perkhidmatannya dengan pesawat Cessna 402B untuk digunakan dalam latihan penerbangan lanjutan.

Untuk melatih juruterbang helikopter TUDM telah menghantar mereka ke Perancis bagi mengendalikan helikopter Alouette III yang telah dibeli pada tahun 1963 dan diantara juruterbang perintis helikopter tersebut ialah Pilot Officer Abdul Kadir, Pilot Officer Abdul Ghani Aziz, Pilot Officer Terry Loh dan Pilot Officer Derek Martin.

Sebelum TUDM mempunyai pusat latihan sendiri untuk melatih juruterbang helikopter ia telah menghantar pelatih juruterbang ke South East Asia Helicopter (SEA Helicopter) sebuah syarikat swasta pada 1970 sehingga 1975 iaitu selama lima tahun dan mereka mengendalikan pesawat Bell sebelum menjalani latihan peralihan pesawat Alouette III atau helicopter Nuri.

Sebagai persefahaman dan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia, pada 1970 pelatih juruterbang TUDM telah dihantar ke Madiun, Indoensia untuk menjalani latihan penerbangan dan mereka yang menjadi perintis menjadi anak didik Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) ialah Pilot Officer Anwar Aman, Pilot Officer Ridzwan Salleh, Pilot Officer Abdul Mansor Manan, Pilot Officer Adnan dan Pilot Officer Taha Ridhuan.

Bagi latihan jururulatih penerbang TUDM pada mulanya menghantar juruterbangnya untuk mendapat latihan di luar negeri seperti di United Kingdom, India, Australia dan Indonesia sebelum ia mempunyai pusat latihannya untuk melatih jurulatih penerbangnya sendiri.

Pada 1966 TUDM juga menghantar juruterbangnya ke luar negeri apabila ia mendapat pesawat baru di dalam inventorinya seperti apabila ia membeli pesawat Caribou daripada Canada maka juruterbang perintisnya di hantar ke negara berkenaan iaitu Squadron Leader Omar Saman, Flight Lieutenant Arthur Cheah, Flight Lieutenant Gopal Ramdas dan Flying Officer Peter Lai bagi menjalani latihan pengendalian pesawat berkenaan.

Apabila TUDM mendapat pesawat jet pemintas Sabre pada 1969 hadiah daripada kerajaan Australia juruterbang perintis pesawat berkenaan telah dilatih oleh juruterbang Royal Australian Air Force (RAAF) yang berpangkalan di Butterworth iaitu Pilot Officer Amirul Ghani, Pilot Officer Jaafar Ismail, Pilot Officer Cheng Tiam Bow, Pilot Officer Low Kok Yee dan Pilot Officer Chow Yoon Seng.

Apabila TUDM membeli pesawat MiG-29N,  pada 1995 ia telah menghantar juruterbang perintisnya ke Rusia iaitu Lt Kol Rodzali, Mej Achbal Samad, Mej Affendy dan Mej Gary Stewart dan ke India pula Mej Ahmad Najhan, Mej Kamaruzaman, Lt Kol Ansar Majeth dan Mej Halim Othman sebelum pesawat yang dibeli daripada Russia tiba di Malaysia.

Untuk latihan mengendalikan pesawat CN235 yang dibeli daripada Indonesia ia dilengkapkan dengan kelengkapan simulator untuk juruterbang pesawat berkenaan menjalani latihan sebelum menerbangkan pesawat sebenar.

Simulator merupakan sebahagaian daripada pakej latihan kerana ia akan menjimatkan kos latihan penerbangan sebenar di samping pengukuhan fasa darat (ground school) dan ia dilakukan juga untuk menerbangkan pesawat pejuang seperti pengunaan simulator pesawat Hawk.

Latihan asas yang diberikan pada fasa darat (ground school) adalah pendedahan bakal juruterbang kepada subjek yang bersangkut paut dengan pengenalan pesawat, aerodinamik, kejuruteraan, teori penerbangan, kaji cuaca, airmanship, navigasi sebelum latihan penerbangan dapat dijalankan.

Pelatih juruterbang mestilah mempunyai ketahanan mental dan fizikal justeru mengendalikan pesawat tentera berbeza dengan mengendalikan pesawat awam walaupun teorinya adalah sama  tetapi daerah operasi mereka adalah berbeza kerana menjadi juruterbang tentera bererti menjadi juruterbang perang.

Pelatih akan didedahkan dengan pergerakan dan operasi yang mencabar dan penerbangan ketenteraan bukan sahaja bermakna penerbangan daripada point A ke point B tetapi penerbangan ketenteraan akan melakukan lebih daripada kondisi biasa apatah lagi jika penerbangan melalui ruang angkasa daerah konflik yang mengundang risiko.

TUDM telah melalui pelbagai sejarah baik semasa di awal usianya ketika Darurat melanda negara sebelum merdeka, zaman Konfrantasi, zaman insurgensi komunis kedua dan juga penglibatan TUDM di peringkat global telah mematangkan TUDM baik pada masa aman atau ketika negara dilanda ujian daripada unsur luaran.

Ketrampilan juruterbang TUDM yang mendapat latihan yang mantap sejak ia ditubuhkan pada 1958 memang tidak dapat dinafikan dan pengalaman juruterbang TUDM turut dimanfaatkan oleh industri penerbangan awam setelah mereka menamatkan perkhidmatan mereka dengan TUDM.

Jika pada awal usianya para juruterbang hanya mempunyai kelulusan minimum kini juruterbang terbang TUDM terdiri daripada mereka yang mempunyai diploma atau ijazah daripada institusi pengajian tempatan atau luar negeri dan kini produk institusi latihan Angkatan Tentera Malaysia seperti Univerisiti Pertahanan Nasional Malaysia kini mengeluarkan produk yang boleh mengisi kerjaya juruterbang TUDM.

Kolej Tentera Udara itu sendiri melahirkan graduan ijazah dan produknya adalah bakal menjadi juruterbang TUDM sebagai aspirasi untuk melahirkan generasi juruterbang yang menjadi penerus penggerak organisasi pertahanan sebagai benteng kedaulatan negara.

No comments:

Post a Comment