Thursday, April 19, 2012

SABRE

NOSTALGIA PESAWAT SABRE TUDM
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (Bersara)


Ruang udara Malaysia pada suatu ketika pernah digegarkan oleh pesawat jet pemintas CAC Avon Sabre F-86 dan ia adalah kemegahan dan simbol pertahanan udara yan g dikendalikan oleh No. 11 Skuadron, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Butterworth.

Kini perkhidmatan pesawat pertama yang khusus untuk tugas pertahanan udara hanya tinggal kenangan dan penerbangan lintas terakhir dilakukankan oleh juruterbang skuadron sebagai ucapan selamat tinggal pesawat tersebut kepada TUDM pada 31 Ogos 1975.

Sejarah No. 11 Skuadron bermula dengan penerimaan 10 buah pesawat Sabre hadiah daripada kerajaan Australia pada bulan September 1969 dengan kekuatan 12 orang pegawai dan 50 orang anggota. Menteri Pertahanan Dato Abdul Razak telah merasmikan penubuhan No. 11 Skuadron di TUDM Butterworth pada 1 Oktober 1969 dan kumpulan juruterbang pertama seramai 6 orang telah menjalani latihan menerbangkan pesawat Sabre dengan bimbingan Royal Australian Air Force –RAAF (Tentera Udara Diraja Australia) yang berpangkalan di pangkalan udara Butterworth.

Ketua Skuadron yang pertama memimpin No 11 Skuadron ialah Squadron Leader Quek Seng Kew dan juruterbang skuadron lain yang menjadi perintis operasi skuadron berkenaan ialah Pilot Officer Amirul Ghani, Pilot Officer Jaafar Ismail, Pilot Officer Cheng Tiom Bow, Pilot Officer Loke Kok Yee dan Pilot Officer Chow Yoon Seng. Kumpulan kedua juruterbang yang dilatih untuk mengendalikan pesawat Sabre No 11 Skuadron ialah Pilot Officer Lau Kon Cheng, Pilot Officer Lee Hock Siew, Pilot Officer Tan Keng Hoe, Pilot Officer Aziz Ramli, Pilot Officer Nasir dan Pilot Officer Yap Ah Toa.

Mereka adalah juruterbang yang bertanggungjawab untuk menjadi nulkias kewujudan No. 11 Skuadron yang berfungsi sebagai skuadron barisan hadapan untuk tujuan pertahanan udara negara. Sebagai pesawat perintis pertama yang digunakan untuk tugas pertahanan di Pangkalan Udara Butterworth, Sabre dilengkapi dengan meriam kembar 30mm Aden dan juga kemampuan untuk dipersenjatai dengan Sidewinder dan ia digerakkan dengan enjin Mk26 Avon yang mampu memberikan dorongan kuasa maksimum enjin sebanyak 75, 000 Ibs.

 Ini adalah sebuah nostalgia manusia dan mesin di sebalik ketrampilan pesawat yang pernah mengukir sejarah semasa perang Korea pada 1950 dan versi Sabre yang dihasilkan oleh kilang di Australia adalah adaptasi pesawat pejuang Sabre-F86 buatan Amerika. Pesawat F-86 Sabre yang dihasilkan oleh Amerika Utara Aviation Corporation telah terlibat dalam perang Korea iaitu 51 FIW di Suwon (pangkalan udara K-13) dan FIW 4 di Kimpo (K-14) berhampiran Seoul dan kedua-dua sayap terlibat untuk melawan MiG-15 buatan Rusia yang merupakan pesawat saingan hebat pada era berkenaan.

Pesawat Sabre buatan Australia adalah versi yang dibina di bawah lesen oleh Commonwealth Aircraft Corporation dan ia telah dirancang sejak 1950 justeru Australia telah membuat rancangan untuk memperoleh jet pejuang sejak awal lagi dengan memilih pesawat Hawker P.1081 buatan Britain namun akhirnya memilih Sabre untuk projek pembinaan pesawat pejuangnya sendiri.

Memang diakui pesawat Sabre yang dipunyai oleh TUDM telah lama digunakan oleh RAAF, tetapi sebagai langkah awal untuk TUDM mempunyai pesawat barisan hadapan yang mempunyai kemampuan untuk terlibat dalam peperangan udara, kehadiran Sabre adalah sebuah transisi sebelum TUDM sendiri mempunyai pesawatnya yang canggih.

Bagi Flying Officer Loh Lee Aik mungkin beliau tidak akan lupa sepanjang hayatnya kerana akibat kerosakan pesawat Sabre yang diterangbangkannya beliau terpaksa menggunkaan kerusi injal untuk menyelamatkan dan itu merupakan satu-satunya kemalangan pesawat Sabre sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM daripada 1969 sehingga 1975.

Satu lagi aksi yang mungkin masih dalam ingatan penduduk Kuala Langat adalah semasa perasmian TUDM Bukit Jugra pada 21 Disember 1972, Flight Lieutenant Zainuddin Che Din telah memperagakan aksinya dalam satu pertunjukkan aerobtik sehingga beliau terpaksa menanggalkan tangki minyak pesawat berkenaan justeru terbang terlalu rendah.

Kebolehan dan ketrampilan juruterbang memang tidak dapat dinafikan, walaupun juruterbang bertukar ganti, aset pertama pesawat pemintas udara terus dimanfaatkan apatah lagi dengan penubuhan Pusat Pertahanan Udara di TUDM Buttterworth yang dilengkapi dengan radar. Sistem pertahanan udara secanggih mana tidak akan memberi apa-apa makna jika ia tidak dilengkapkan dengan pesawat yang mampu unutk mempertahankan ruang udara negara dan kehadiran pesawat Sabre adalah mukadimah kepada satu sistem yang lengkap melengkapi antara satu sama lain.

 Radar akan mengesan pesawat musuh dan pesawat pejuang akan diterbangkan untuk menggempur pesawat musuh atau menghalaunya daripada memasuki ruang udara negara yang berdaulat. Selama 6 tahun pesawat Sabe telah terlibat dalam ADEX (Latihan Pertahanan Udara) yang dikendalikan oleh Headquaters Integrated Air Defence System (HQIADS) yang melibatkan tentera udara lima buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Britain, Australia dan New Zealand iaitu di bawah perjanjian sebelum penguduran sepenuhnya Tentera Udara Diraja British –RAF daripada Timu Jauh pada 1972.

RAAF terus mengekalkan ketumbukan pesawat Mirage di Butterworth sebagai pengkalan hadapan di rantau ini sebelum ia berundur pulang ke tanahairnya Australia. Selama 6 tahun pesawat Sabre menjadi benteng pertahanan negara dan juruterbang Sabre silih berganti dan akhirnya khidmat pesawat hadiah daripada kerajaan Australia itu ditamatkan pada 1975.

Sebanyak 4 buah pesawat sabre telah dihadiahkan kepada kerajaan Indonesia pada 1976 dan tugas untuk menerbangkan pesawat Sabre ke Indonesia telah dilakukan oleh bekas juruterbang No.11 Skuadron yang telah dibubarkan iaitu Kapt Abdullah Ahmad, Kapt Lui, Lt basher Abu Bakar dan Lt Victor Emmanuel.

Sebuah daripada pesawat berkenaan telah diserahkan kepada No. 75 Squadron RAAF yang berpangkalan di Butterworth pada ketika itu dan ia digunakan sebagai pesawat sampingan bersama pesawat pejuang Mirage yang beroperasi di Malaysia pada ketika itu.

Pesawat Sabre yang telah tidak digunakan itu telah dipamerkan di bandar Pekan, Muzium Taiping dan TUDM Bukit Jugra untuk pameran statik sebagai lambang perkhidmatannya yang menjadi kebanggan TUDM sebelum ia mempunyai keupayaan pesawat supersonik F-5E yang lebih canggih menggantikan Sabre F-86 yang terkenal semasa era Perang Korea 1950. Sabre akan terus menjadi bahan nostalgia TUDM terutamanya para juruterbang yang menerbangkannya dan kebanyakannya kini menjalani kehidupan awam.

No comments:

Post a Comment