Thursday, August 9, 2012

KOMITMEN ATM DENGAN PBB

KOMITMEN ATM TERSERLAH DI PERSADA GLOBAL
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)


Sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada kemanan sejagat telah terlakar dalam sejarah sejak penglibatan pertama sebelum penubuhan Malaysia dengan penghantaran tentera kita ke Congo di bawah United Nations in Congo (UNOC) iaiitu dari 1960 sehingga 1963.

Nama negara menjadi terserlah di arena keamanan sejagat dengan penglibatan tentera negara untuk berkhidmat di bawah panji-panji Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – United Nations dan pasukan kita telah menunjukkan prestasi dan dispilin yang cemerlang.

Setelah 28 tahun berlalu sejak misi di Congo, Malaysia telah terpanggil untuk menghantar pasukan pemerhati (MILOB) untuk terlibat di dalam United Nations Iran- Iraq Military Observer Group (UNIMOG) daripada 1988 sehingga 1991.

Penglibatan Malaysia bermula pada 20 Ogos 1988 apabila Iraq bersetuju untuk gencatan senjata ekoran peperangan yang berlaku di antara Iran dan Iraq selama lapan tahun sepanjang garisan sempadan sepanjang sejauh 1,200 kilometer yang melibatkan kedua-dua negara.

Ekoran daripada berakhirnya peperangan tersebut Malaysia telah ditugaskan untuk memantau dan mengendalikan garis gencatan senjata dan penguduran semua pasukan yang terlibat di dalam peperangan ke perbatasan yang dipersetujui sebelum proses damai sepenuhnya dapat dicapai.

Malaysia telah menghantar pasukan pemerhati yang dibahagikan kepada tiga kumpulan dari Ogos 1988 sehingga Februari 1991 dan mereka telah ditempatkan di Baghdad, Sulaimaniah, Bagubah dan Basrah dan mereka telah melakasanakan segala tugasan dengan cemerlang.

Dengan berakhirnya misi UNIMOG di Iraq pada Februari 1991, satu penempatan yang dikenali sebagai United Nations of the Secretary General in Iraq (UNOSGI) telah ditubuhkan yang diwakili oleh Zambia, Hungray dan Malaysia dan  wakil ATM adalah Mejar Norshahid Kamarudin, Mejar Ramly Samek da Lt Kol Kamal Omar sehingga Jun 1991.

ATM seterusnya terlibat dalam UN Transitional Assistance Group (UNTAG) in Namibia dari 1989 sehingga 1990) berikutan kemelut politik di Namibia yang dikawal oleh Afrika Selatan dan penglibatan PBB adalah bagi menentukan kelicinan proses kemerdekaan bagi Namibia.

Dalam misi di Namibia ATM telah menghantar 891 orang pegawai dan anggota yang terdiri daripada Grup Batalion 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai oleh Lt Kol Mislam Saiman dan kemudiannya diganti oleh Lt Kol Abdul Ghafir Abdul Hamid manakala Kompeni 21 RAMD diketuai oleh Mejar Hasni Abu Bakar.

Walaupun ATM tidak terlibat dalam Perang Teluk di antara Iraq dan Kuwait namun sesudah perang ia telah terlibat di dalam UN Iraq-Kuwait Observation Mission (UNIKOM) yang ditubuhkan pada April 1991 bagi memantau laluan air Khawr Abd Allah di antara Iraq dan Kuwait di DMZ dan melakukan tugas tinjaun sepanjang sempadan.

Pada Februari 1993 berikutan daripada beberapa kejadian pada Januari sebelumnya pihak PBB telah membuat keputusan untuk menambahkan bilangan anggota UNIKOM dan melanjutkan bidang kuasanya yang membenarkan penggunakan tindakan fizikal untuk mengelakkan pelanggaran DMZ dan persempadanan baru Iraq-Kuwait yang telah dipersetujui.

Untuk melaksanakan  tugas UNIKOM pihak ATM telah menghantar lapan pemerhati yang diketuai oleh Lt Kol Mohamad Azumi mulai 20 April 1991 dan ditugaskan di FORAN Commission bagi menyelia pemulangan harta benda  Iraq dan Kuwait dan penentuan undang-undang dipatuhi di kedua-dua pihak.

Sementara dalam UN Angola Verification Mission adalah ekoran permintaan Angola dan Cuba bagi menentukan pengunduaran tentera Cuba dari Angola  yang telah diusahakan oleh PBB pada 20 Disember 1988.

Berikutan dengan pengunduran tentera Cuba pada 25 Mei 1991, kerajaan Angola telah memohon campur tangan PBB untuk menentukan proses damai di antara kerajaan Angola dan Unicio Nacional para a Independencia Total de Angola (UNITA).

Malaysia terlibat dengan UNAVEM II dan pada 17 Julai 1991 seramai 16 pemerhati yang diketuai oleh Kol Hassan Samin telah dihantar ke Angola dan mereka telah ditempatkan di Luanda, Saarimo, Humabo, Mavinga, Cazombo, Muconda, Quilengues, Santa Clara dan Marimba.

Di teater Sahara Barat pula ATM terlibat dengan UN Observers For Western Sahara ekoran perjuangan golongan pembebasan Sahara Barat yang dikenali  sebagai POLISARIO  yang menentang kerajaan Moroko  kerana menduduki tanah mereka secara tidak sah.

Pihak PBB telah meminta Malaysia menghantar pasukan pemerhati untuk memantau proses gencatan senjata, memastikan kumpulan yang bertelagah berada di kawasan masing-masing, mengawal senjata dan peluru dan pengurangan anggota.

Pada  mulanya Malaysia hanya menghantar seorang pegawai iaitu Mejar Abdullah Ahmad pada Julai 1991 dan kemudiannya ditambah dengan empat lagi pegawai dan pada 19 Oktober 1993 Kol Mazlan Baharudin telah ditugaskan sebagai Chief of Staff MINURSO HQ.

Semasa konflik di Kemboja, Malaysia telah terlibat menghantar kontingennya untuk misi United Nations Transitional Authority  in Cambodia (UNTAC) dan komponen bantuan yang lain untuk mengawasi isu kemanusiaan, agensi pilihanraya, jabatan awam dan lain-lain.


Sebanyak 8 buah helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diberi tugas untuk membantu proses penyelarasan pilihanraya dan pasukan Kawalan Trafik Udara dan Bomba TUDM telah diberi tugas di menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Pocgentung dan juga di lokasi lain.

ATM juga terlibat dengan misi damai di Somalia dan TUDM telah diberi amanah untuk mengendalikan lapangan terbang antarabangsa Mogadishu pada 1994 dan dalam misi di negara bergolak itu pasukan kehilangan anggotanya yang yang terkorban dalam peristiwa Black Hawk Down

Protection Force In the Former Republic of Yugoslavia 1993 sekali lagi menonjolkan komitmen ATM dengan penglibatnnya dalam United Nations Protection Force (UNPROFOR) dan pada November 1993 Malaysia menghantar 1,489 anggota ke daerah yang bergolak untuk memenuhi tuntutan PBB.

Misi di Bosnia turut melibatkan juruterbang TUDM yang bertugas dengan NATO dan menjadi pegawai pemerhati di wilayah yang bergolak dan persis di Somalia  anggota kita ada yang terkorban di Bosnia yang merupakan salah satu risiko berada di daerah perang.

Kini ATM mempunyai anggotanya di Lubnan dan juga Afghanistan sebagai komiten yang bukan sahaja mengharumkan nama ATM bahkan sumbangan Malaysia menjadi sebutan di peringkat antarabangsa bagi menangani konflik dan sebagai pendamai global.

Friday, August 3, 2012

CORETAN X-NURIPILOT

CORETAN KENANGAN ZAMAN OPERASI MENENTANG KOMUNIS

Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Kelahiran buku CORETAN XNURIPILOT adalah tribut kepada seluruh juruterbang Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam operasi memerangi pengganas komunis dalam era Insurgensi Kedua dalam tahun 1970an sehingga Chin Peng mengisytiharkan diri menamatkan perjuangan senjata.

Buku coretan pengalaman dan juga rakan-rakan seperjuangan yang pernah  terlibat ketika negara menghadapi ancaman pengganas komunis dan menceritakan Ops Gubir secara terperinci termasuk insiden  penggangas komunis yang telah berjaya menembak sebuah helikopter Nuri yang telah mengorbankan 11 anggota keselamatan.

Sebagai penulis yang mengalami suka duka berada dalam operasi daripada perspektif seorang juruterbang tentera tentulah tulisannya berdasarkan pengalaman yang benar dan apa yang dirasakan dicoretkan bagi mewakili generasi juruterbang TUDM yang terlibat dalam tugas yang mencabar.
Desingan peluruh musuh yang diarahkan kepada pesawat yang dipandu dapat dirasakan dan semua juruterbang yang terlibat dalam setiap penerbangan kawasan operasi adalah rutin dan pulang ke pangkalan dengan bekas peluru di badan helikopter adalah perkara biasa.

Bab-bab awal buku yang dikarang oleh bekas juruterbang Nuri TUDM iaitu Mejar Nor Ibrahim Sulaiman (Bersara) menyingkap latarbelakang diri penulis sendiri semasa zaman persekolahannya dan semasa menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet.

Penulis telah dianugerahkan pingat PTU pada 1979 dan sejak  2009, telah memperjuangkan secara bersendirian, agar kerajaan turut memberi Elaun Kenangan kepada penerima-penerima JPP dan  PTU dan usaha beliau berjaya apabila Parlimen meluluskan  RM1,000  sebulan yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2011.

Bab-bab lainnya menyajikan liku-liku hidup penulis selaku juruterbang helikopter Nuri, bersama rakan-rakannya  dalam menjalankan tugas sebagai juruterbang TUDM yang sebelum itu adalah seorang pegawai Tentera Darat daripada cawangan Artileri.

Penulis menjalani latihan ketenteraan di Maktab Tentera Diraja  sebagai Pegawai Kadet kursus Tauliah Tetap yang ke-11 pada Mei 1967 dan ditauliahkan sebagai pegawai pada 12 April 1969 dan mendapat latihan penerbangan di SEA Helicopters Sdn. Bhd. di TUDM Kuala Lumpur pada Jun 1973.


Dalam karyanya juga  dirakamkan  pelbagai tugas kemasyarakatan dan kemanusiaan lain yang  pernah dijalankannya,  bermacam-macam maklumat teknikal berkaitan tugas dan teknologi ketenteraan dan latihan dalam perkhidmatan, rekod pengiktirafan pemerintah kepada anggota tentera, serta kisah kejayaan akademik dan perniagaan bekas seorang pegawai tentera yang kehilangan penglihatan justeru jerangkap samar pengganas komunis.

Secara tersurat dan tersirat telah diperlihatkan di dalam buku  ini kehebatan Nuri  yang bagaikan ditanggapi oleh penulis umpama satu simbol unggul, satu lambang kekuatan dan kegigihan TUDM dalam perjuangan menentang komunis dan ia adalah platform perjuangan para juruterbang yang menerbangkannya.


Sesuai dengan tujuan buku ini ditulis, MejarNor Ibrahim telah memberikan tumpuan khusus kepada penglibatan warga  TUDM, termasuk dirinya sendiri selaku juruterbang Nuri  dalam menentang keganasan komunis dan pelbagai operasi kritikal menentang dan menangani kegiatan komunis telah dipaparkan oleh penulis secara terperinci.


Tulisannya menonjolkan  episod-episod serang hendap komunis dan keganasan mereka terhadap masyarakat awam dan harta awam  sepatutnya dapat mencelikkan mata sesiapa sahaja betapa tingginya risiko perjuangan dan besarnya kesangsaraan yang ditanggung oleh pasukan keselamatan demi kedaulatan negara yangtercinta.

Coretan ini mengimbau keperitan yang dihadapi pejuang negara yang menghadapi pelbagai cabaran, kemalangan, kerosakan, kesakitan, jerangkap samar, serang hendap, tembakan, bom, putus anggota badan, hancur tulang, berkecai daging, hatta kematian dan ia tidak semudah mata memandang dan mendengar berita tetapi hanya mereka yang terlibat dengan operasi tentera yang memahaminya.

Rakyat mungkin sudah melupakan zaman mencabar tersebut dan  mungkin ada di kalangan kita yang tidak  menyedari betapa  sumbangan kita kepada negara tidak sama dengan perjuangan  pahit maung dan perit getir para pejuang kita yang menggadai nyawa demi keamanan rakyat.


Penulis meluahkan rasa melalui ungkapan; “.....kerana terlalu kecewa dengan pihak tertentu yang cuba melobi agar Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai ‘Chin Peng’, dibenarkan kembali menetap di Malaysia, memaksa saya untuk meluahkan perasaan yang terpendam.”

“Saya tidak nampak walau sekelumit  sekali pun bagaimana golongan tersebut mahukan beliau berinteraksi semula dengan rakyat Malaysia tercinta ini tanpa mengambil kira perasaan kami yang berkorban demi untuk mempertahankan kedaulatan negara.”



Buku ini turut menceritakan pengalaman yang dilalui oleh Tentera Darat yang menjadi pemain utama dalam memerangi pengganas komunis dan apa yang dilaksanakan dalam setiap operasi mereka turut melibatkan pesawat Nuri TUDM termasuk Alouette Gunship.

Operasi ke atas pengganas komunis adalah perang yang tidak diisytiharkan seperti darurat 1948-1960 namun sepanjang era insurgensi kebangkitan komunis kedua tetap mencatatkan sejarah hitam negara termasuk  pembunuhan pegawai tinggi polis.

Penulis pernah terlibat dalam Ops Selamat Sawadee, Kroh (Pangkalan Hulu, Perak), dan dalam operasi tersebut pesawat  Nuri yang diterbangkannya menjadi sasaran musuh sehingga mengakibatkan dua orang warga komando terkorban dalam pesawatnya.

Pesawat Nurinya pernah ditembak sebanyak dua  kali oleh musuh dengan M79 dan senjata kecil yang menyebabkan  AQM dan  seorang anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) tercedera.

Dalam operasi tersebut satu  tindakan seorang juruterbang Alouette gunship telah berjaya menyelamatkan anggota dalam konvoi yang diserang hendap oleh pengganas komunis di Jalan Baling - Kroh.

Penulis juga mencatatkan usaha  Lt Kol Dr Syed Othman (B)  seorang veteran RAMD yang telah membina sebuah tugu bagi memperingati wira-wira yang terkorban di kawasan Lasah dengan dibiayai sepenuhnya oleh beliau sendiri manakala  JKR pula membina tugu di lebuh Raya Timur-Barat.

Buku setebal 264 mukasurat ini agak santai dibaca dan sangat menarik seolah-olah kita berada di daerah perang dan untuk mendapatkannya boleh menghubungi  penulisnya iaitu Mejar Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM di talian  019-4744849 dan sebahagian tulisannya ada dalam blog beliau  xnuripilot.blogspot.com.

Ibarat ungkapan “From the horse’s mouth” membaca buku ini bermakna kita berhadapan dengan penulis yang sendiri terlibat di dalam buku karangannya, ia adalah satu cara untuk menanamkan semangat patriotisme dan membaca sejarah perjuangan negara

Sunday, July 29, 2012

INDIAN MILITARY ACADEMY

LEGASI PRODUK INDIAN MILITARY ACADEMY

Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Sejarah kewujudan Indian Military Academy (IMA) di Dehradun India bermula pada tahun 1932 sebagai institusi untuk melatih pegawai tentera India yang merupakan sebahagian daripada Tentera Darat Diraja British (Royal British Army) justeru India adalah tanah jajahan British pada ketika itu.

IMA telah melahirkan ramai pegawai tentera sesuai dengan motonya “Valor and Wisdom” dan ia turut melakarkan sejarah apabila dua orang tokoh pemimpin tentera dan awam negara ini pernah mendapat latihan di akademi berkenaan.

Perdana Menteri yang ketiga Allahyarham Tun Hussein Onn adalah produk IMA yang mendapat pendidikan awal di Telok Kurau Primary School Singapura dan English College Johor yang kemudiannya memasuki Johor Military Force pada 1940 dan kemudiannya dihantar ke IMA.

Selepas menamatkan latihan sebagai Pegawai Kadet (PK) di IMA, Hussein Onn telah diserapkan ke dalam Tentera Darat India dan dihantar bertugas di Timur Tengah semasa era Perang Dunia Kedua membara.

Selepas perang tamat berdasarkan pengalaman yang luas pihak British telah melantiknya sebagai jurulatih di Malayan Police Recruiting and Training Centre di Rawalpindi dan apabila beliau pulang ke Tanah Melayu pada 1945 beliau dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru.

Seorang tokoh tentera yang juga mendapat lathan di IMA ialah Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail yang menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera dari 1970 hingga 1977 dan beliau telah mencatatkan sejarah sebagai wira Melayu semasa Perang Dunia Kedua.

Seperti Allahyarham Tun Hussien Onn beliau juga memasuki Johor Military Force sebelum dihantar ke IMA pada 1941 untuk mengikuti latihan ketenteraan dan setersunya ditauliahkan sebagai pegawai tentera.

Semasa Jepun menduduki Tanah Melayu beliau dan beberapa anak Melayu di India telah memasuki Pasukan Force 136 yang ditaja oleh Tentera British di India untuk menyusup ke Tanah Melayu dan melawan pihak Jepun.

Kehadiran empat orang rakyat Malaysia pada 1972 untuk menjalani latihan ketenteraan di IMA adalah kumpulan kedua setelah kehadiran dua tokoh negara semasa zaman Perang Dunia Kedua dahulu.

Mereka yang dipilih untuk menjalani latihan di IMA ialah Pegawai Kadet Sabir Ahmad Badaruddin, PK Ibrahim Mahmud, PK Abu Kassim Jadi dan PK Hashim Hussein yang sebelum itu menjalani latihan di Pre-Officer Cadet Training Unit (PRE-OCTU) di Kem Sebatang Karah Port Dickson.

Kursus berlangsung selama dua tahun untuk Intake 54 Regular dari Disember 1972 hingga Disember 1974 untuk empat semester iaitu penggal pertama untuk Semester Musim Panas, penggal kedua untuk Musim Sejuk, penggal ketiga untuk Musim Panas dan penggal keempat untuk Musim Sejuk.

PK Abu Kassim Jadi ditempatkan di Cassino Company No 1 Battalion di Blok Collins, Hashim di Alamein Company manakala Ibrahim dan Sabir di cabang utama IMA dan mereka tidak mempunyai masalah untuk berinteraksi dengan PK yang majoriti terdiri daripada warga India.

Abu Kassim Jadi menceritakan kenangan manisnya di IMA adalah hadiah extra-drill di padang kawad yang diberi oleh Sahib (guru) kawad pada satu pagi yang sejuk dalam musim sejuk sebagai mukadimah latihan ketenteraan di seberang laut.

Kawad adalah prasyarat untuk mendisiplinkan tentera dan latihan tersebut diharungi sebagai rutin di mana-mana institusi latihan ketenteraan dan Abu Kassim bersama rakan seperjuangan Malaysia yang lain dengan cepat belajar asam garam dan karenah jurulatih IMA.

Latihan kawad itu dilalui dengan penuh semangat walaupun bayangan extra-drill menghantui mereka dan Sahib kawad itu memang sengaja mencari alasan bukan sahaja kepada tetamu dari Malaysia tetapi di kalangan warga India itu sendiri dan Abu Kassim bangga kerana menjadi PK yang pertama lulus ujian kawad mendahului PK India yang lain.

Makanan yang disediakan untuk PK di IMA adalah seimbang dengan pelbagai kategori menu seperti untuk vegiterian, telor-vegi, bukan Muslim dan Muslim dan di samping sarapan western, capati adalah menjadi makanan wajib dan tairu disediakan untuk setiap waktu makan.

Sejak 1948 Pegawai Kadet daripada negara-negara Afro-Asia telah dihantar menjalani latihan pegawai di IMA dan sehingga 1987 seramai 560 pelatih dari luar negara telah dilatih iaitu daripada Angola, Afghanistan, Bhutan, Burma, Sri lanka, Ghana, Iraq, Jamaica, Malaysia, Nepal. Nigeria, Filipina, Singapura, Tonga, Tanzania, Uganda, Yaman dan Zambia.

Aktiviti yang mencabar rutin latihan yang dijalankan di IMA dan ia menanamkan kesedaran matalamat arah tujuan dalam sesuatu misi, azam, semangat setia kawan untuk menjadikan pelatih individu yang beraspirasi sebagai pahlawan.

Pegawai Kadet IMA yang diberi jolokan Gentlemen Cadets ditanamkan semangat sikap untuk “adventure” melalui pelbagai aktiviti termasuk sukan yang diberi tumpuan yang penuh oleh IMA dengan kelengkapan sukan yang cukup dan jurulatih yang mantap.

Jika dibandungkan dengan latihan yang dilaksanakan di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi penekanan untuk latihan ketenteraan adalah menjurus kepada latihan Peperangan Gerila dan sedikit Peperangan Konvensional, apa yang diajarkan di IMA ia merangkumi Peperangan Padang Pasir dan Peperangan Daerah Pergunungan.

Di samping dua bentuk latihan peperangan aktiviti ekuestrian dan renang adalah wajib untuk semua pelatih dan setiap penggal mereka terlibat dengan eksesais yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental untuk mengharungi rupa muka bumi India Utara yang bergunung ganang dengan penuh cabaran.

Saat yang menggembirakan adalah perbarisan tamat latihan pada 12 Disember 1974 yang turut dihadiri oleh Kolonel Cyril Jospeh Marsh iaitu Attache Tentera Malaysia di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Walaupun kini menjalani hidup sebagai orang awam pengalaman oleh rakyat Malaysia untuk dilatih di IMA adalah satu pengalaman pegawai tentera Malaysia untuk dilatih di bumi asing dan ia mengingatkan kembali kepada tokoh negara yang pernah dilatih di tempat yang sama semasa Perang Dunia Kedua.