Friday, August 3, 2012

CORETAN X-NURIPILOT

CORETAN KENANGAN ZAMAN OPERASI MENENTANG KOMUNIS

Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Kelahiran buku CORETAN XNURIPILOT adalah tribut kepada seluruh juruterbang Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam operasi memerangi pengganas komunis dalam era Insurgensi Kedua dalam tahun 1970an sehingga Chin Peng mengisytiharkan diri menamatkan perjuangan senjata.

Buku coretan pengalaman dan juga rakan-rakan seperjuangan yang pernah  terlibat ketika negara menghadapi ancaman pengganas komunis dan menceritakan Ops Gubir secara terperinci termasuk insiden  penggangas komunis yang telah berjaya menembak sebuah helikopter Nuri yang telah mengorbankan 11 anggota keselamatan.

Sebagai penulis yang mengalami suka duka berada dalam operasi daripada perspektif seorang juruterbang tentera tentulah tulisannya berdasarkan pengalaman yang benar dan apa yang dirasakan dicoretkan bagi mewakili generasi juruterbang TUDM yang terlibat dalam tugas yang mencabar.
Desingan peluruh musuh yang diarahkan kepada pesawat yang dipandu dapat dirasakan dan semua juruterbang yang terlibat dalam setiap penerbangan kawasan operasi adalah rutin dan pulang ke pangkalan dengan bekas peluru di badan helikopter adalah perkara biasa.

Bab-bab awal buku yang dikarang oleh bekas juruterbang Nuri TUDM iaitu Mejar Nor Ibrahim Sulaiman (Bersara) menyingkap latarbelakang diri penulis sendiri semasa zaman persekolahannya dan semasa menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet.

Penulis telah dianugerahkan pingat PTU pada 1979 dan sejak  2009, telah memperjuangkan secara bersendirian, agar kerajaan turut memberi Elaun Kenangan kepada penerima-penerima JPP dan  PTU dan usaha beliau berjaya apabila Parlimen meluluskan  RM1,000  sebulan yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2011.

Bab-bab lainnya menyajikan liku-liku hidup penulis selaku juruterbang helikopter Nuri, bersama rakan-rakannya  dalam menjalankan tugas sebagai juruterbang TUDM yang sebelum itu adalah seorang pegawai Tentera Darat daripada cawangan Artileri.

Penulis menjalani latihan ketenteraan di Maktab Tentera Diraja  sebagai Pegawai Kadet kursus Tauliah Tetap yang ke-11 pada Mei 1967 dan ditauliahkan sebagai pegawai pada 12 April 1969 dan mendapat latihan penerbangan di SEA Helicopters Sdn. Bhd. di TUDM Kuala Lumpur pada Jun 1973.


Dalam karyanya juga  dirakamkan  pelbagai tugas kemasyarakatan dan kemanusiaan lain yang  pernah dijalankannya,  bermacam-macam maklumat teknikal berkaitan tugas dan teknologi ketenteraan dan latihan dalam perkhidmatan, rekod pengiktirafan pemerintah kepada anggota tentera, serta kisah kejayaan akademik dan perniagaan bekas seorang pegawai tentera yang kehilangan penglihatan justeru jerangkap samar pengganas komunis.

Secara tersurat dan tersirat telah diperlihatkan di dalam buku  ini kehebatan Nuri  yang bagaikan ditanggapi oleh penulis umpama satu simbol unggul, satu lambang kekuatan dan kegigihan TUDM dalam perjuangan menentang komunis dan ia adalah platform perjuangan para juruterbang yang menerbangkannya.


Sesuai dengan tujuan buku ini ditulis, MejarNor Ibrahim telah memberikan tumpuan khusus kepada penglibatan warga  TUDM, termasuk dirinya sendiri selaku juruterbang Nuri  dalam menentang keganasan komunis dan pelbagai operasi kritikal menentang dan menangani kegiatan komunis telah dipaparkan oleh penulis secara terperinci.


Tulisannya menonjolkan  episod-episod serang hendap komunis dan keganasan mereka terhadap masyarakat awam dan harta awam  sepatutnya dapat mencelikkan mata sesiapa sahaja betapa tingginya risiko perjuangan dan besarnya kesangsaraan yang ditanggung oleh pasukan keselamatan demi kedaulatan negara yangtercinta.

Coretan ini mengimbau keperitan yang dihadapi pejuang negara yang menghadapi pelbagai cabaran, kemalangan, kerosakan, kesakitan, jerangkap samar, serang hendap, tembakan, bom, putus anggota badan, hancur tulang, berkecai daging, hatta kematian dan ia tidak semudah mata memandang dan mendengar berita tetapi hanya mereka yang terlibat dengan operasi tentera yang memahaminya.

Rakyat mungkin sudah melupakan zaman mencabar tersebut dan  mungkin ada di kalangan kita yang tidak  menyedari betapa  sumbangan kita kepada negara tidak sama dengan perjuangan  pahit maung dan perit getir para pejuang kita yang menggadai nyawa demi keamanan rakyat.


Penulis meluahkan rasa melalui ungkapan; “.....kerana terlalu kecewa dengan pihak tertentu yang cuba melobi agar Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai ‘Chin Peng’, dibenarkan kembali menetap di Malaysia, memaksa saya untuk meluahkan perasaan yang terpendam.”

“Saya tidak nampak walau sekelumit  sekali pun bagaimana golongan tersebut mahukan beliau berinteraksi semula dengan rakyat Malaysia tercinta ini tanpa mengambil kira perasaan kami yang berkorban demi untuk mempertahankan kedaulatan negara.”



Buku ini turut menceritakan pengalaman yang dilalui oleh Tentera Darat yang menjadi pemain utama dalam memerangi pengganas komunis dan apa yang dilaksanakan dalam setiap operasi mereka turut melibatkan pesawat Nuri TUDM termasuk Alouette Gunship.

Operasi ke atas pengganas komunis adalah perang yang tidak diisytiharkan seperti darurat 1948-1960 namun sepanjang era insurgensi kebangkitan komunis kedua tetap mencatatkan sejarah hitam negara termasuk  pembunuhan pegawai tinggi polis.

Penulis pernah terlibat dalam Ops Selamat Sawadee, Kroh (Pangkalan Hulu, Perak), dan dalam operasi tersebut pesawat  Nuri yang diterbangkannya menjadi sasaran musuh sehingga mengakibatkan dua orang warga komando terkorban dalam pesawatnya.

Pesawat Nurinya pernah ditembak sebanyak dua  kali oleh musuh dengan M79 dan senjata kecil yang menyebabkan  AQM dan  seorang anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) tercedera.

Dalam operasi tersebut satu  tindakan seorang juruterbang Alouette gunship telah berjaya menyelamatkan anggota dalam konvoi yang diserang hendap oleh pengganas komunis di Jalan Baling - Kroh.

Penulis juga mencatatkan usaha  Lt Kol Dr Syed Othman (B)  seorang veteran RAMD yang telah membina sebuah tugu bagi memperingati wira-wira yang terkorban di kawasan Lasah dengan dibiayai sepenuhnya oleh beliau sendiri manakala  JKR pula membina tugu di lebuh Raya Timur-Barat.

Buku setebal 264 mukasurat ini agak santai dibaca dan sangat menarik seolah-olah kita berada di daerah perang dan untuk mendapatkannya boleh menghubungi  penulisnya iaitu Mejar Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM di talian  019-4744849 dan sebahagian tulisannya ada dalam blog beliau  xnuripilot.blogspot.com.

Ibarat ungkapan “From the horse’s mouth” membaca buku ini bermakna kita berhadapan dengan penulis yang sendiri terlibat di dalam buku karangannya, ia adalah satu cara untuk menanamkan semangat patriotisme dan membaca sejarah perjuangan negara

2 comments:

  1. Saya tertarik untuk membaca buku ini. Saya mahu beli tetapi tiada.

    ReplyDelete
  2. Masih ada lg kah buku ni.. Saya nk beli dan mcm mn cara pembelian

    ReplyDelete