Friday, March 2, 2012

WADAH KOMUNIKASI TUDM

BERITA UDARA WADAH KOMUNIKSI TUDM
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)


Edisi Januari 2012 Majalah Berita Udara yang diterbitkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)lagi telah melakar sejarah apabila berjaya menerbitkan majalah Berita Udara berwajah baru dan penerbitan berkenaan telah disediakan oleh Sekretariat Markas Tentera Udara yang diketuai oleh Brig Jen Dato’ Jamal bin Abu Bakar TUDM.

Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM, telah diberi penghormatan untuk menjadi pembaca pertama edisi baru penerbitan berkenaan bersama isteri beliau , Puan Sri Datin Sri Asnah binti Din selaku Pengerusi BAKAT Udara.

Menyingkap sejarah penerbitan yang telah berusia lebih 40 tahun tersebut, mereka yang bertanggungjawab untuk menerbitkan majalah berita yang yang menjadi sumber maklumat dalamamn organisasi TUDM adalah terdiri daripada anggota Tentera Udara British (Royal Air Force –RAF) yang dipinjamkan kepada TUDM.
Warrant Officer R.D. Hicks adalah anggota RAF bertanggungjawab menjadi perintis dan merupakan editor pertama majalah Berita Udara yang mula diterbitkan pada bulan Mac 1966 yang menjadi sumber berita organisasi TUDM pada ketika itu.

Majalah bulanan berita yang menjadi wadah komunikasi dan sumber maklumat itu dijual dengan harga 20 sen dan memuatkan berita-berita aktiviti TUDM dan ia menjadi bacaan santai di samping menjadi sumber berita ia juga menjadi wadah untuk semua warga TUDM berinterakasi antara satu sama lain.

Oleh sebab dalam era tahun 60-an ramai anggota RAF yang dipinjamkan kepada TUDM maka tidak hairanlah mereka menjadi tenaga penggerak TUDM di samping anak watan yang menganggotai organisasi yang dalam proses pembangunan setelah ditubuhkan pada tahun 1958.

Mereka yang menjadi perintis di samping Warrant Officer R.D. Hicks ialah Sgt R. Clarey, CH/TCH Bignell dan Sgt Blythe dan mereka mengendalikan Berita Udara dari bulan 1966 sehingga Februari 1967 dan Berita Udara pada awal usianya kandungannya hampir 95 % di dalam Bahasa Inggeris.

Lt Onn Bhoy Abbasbhoy iaitu pegawai Tentera Darat daripada Kor Pelajaran yang bertugas di TUDM Kuala Lumpur telah mengambil alih jawatan editor Berita Udara pada Mac 1967 dan penerbitan Berita Udara terhenti pada hujung 1968.

Setelah Berita Udara terkubur selama 10 tahun ia telah dihidupkan semula pada 1977 oleh Mej (U) Abas Mokmin (bersara Mejar Jeneral) dan tugas itu disambung oleh Mej(U) Mathew Chandy dan sekali lagi Berita Udara terhenti penerbitannya pada pertengahan 1978.

Penerbitan Berita Udara sejak 1981 berjalan lancar dan sejak itu sehingga kini Berita Udara terus menjadi bacaan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh warga TUDM untuk mengikuti perkembangan yang berlaku di dalam organisasi.

Berita Udara menjadi wadah komunikasi dan apabila diterbitkan semula pada 1981 ia telah menjadi premis untuk warga TUDM meluahkan apa yang difikirkan positif dan ia menjadi maklum balas kepada seluruh hirarki dalam TUDM.

Ruangan “Forum” dan “Surat Kepada Editor” menjadi minat pembaca TUDM di samping rencana yang formal berbentuk ketenteraan dan motivasi untuk dikongsi seluruh anggota untuk menjadikan TUDM sebuah pasukan tentera yang kredibel.

Banyak tulisan yang kontroversial turut dimuatkan di dalam Berita Udara sekitan 1980-an adalah bahan kritikan yang boleh dijadikan bahan renungan kerana penulisan tersebut adalah bersifat membina yang perlu dijadikan iktibar dan muhasabah.

Respon dan minat pembaca majalah dalam organisasi ini amat memberangsangkan dan mereka membaca dengan dada terbuka demi kesinambungan organisasi benteng pertahanan negara yang disayangi.

Dengan penerbitan yang semakin canggih jika dibandingkan dengan zaman gambar-gambar hitam putih dalam tahun 1960-an, kehadiran Berita Udara 2012 dengan wajah yang anggun dan grafik yang tersusun menarik menjadikan penerbitan TUDM ini sebagai penerbitan yang menggamit selera audien.

Berita Udara diedarkan ke seluruh pangkalan TUDM di samping kakitangan kedutaan Malaysia di luar negara yang menempatkan atase pertahanan dan juga institusi pengajian tinggi di dalam negara untuk memperkenalkan sumbangan dan pernan yang dimainkan oleh TUDM dalam bidang pertahanan.

Berita Udara turut diedarkan ke daerah perang yang menempatkan anggota TUDM yang berkhidmat di bawah panji-panji Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti di Namibia, Kemboja, Somalia dan Bosnia-Hezergovina. Sebagai sumber maklumat untuk seluruh anggota TUDM, ia melaporkan aktiviti yang dilakukan oleh warga TUDM yang berkhidmat di seluruh daerah konflik alami yang menjadi keprihatinan TUDM sebagai salah satu cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat global.

Membaca Berita Udara bermakna membaca sejarah TUDM kerana setiap peristiwa yang berlaku di dalam organisasi akan dicatakan dan banyak perkembangan yang telah berlaku sepanjang penerbitannya sejak 1981. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku baik daripada segi keanggotaan dan aset yang terus dipertingkatkan sepanjang empat dekad dilaporkan dan ia menjadi sumber rujukan di Muzium TUDM dan Perpustakaan Negara.

Sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan zaman internet Berita Udara juga turut diterbitkan melalui edisi internet yang boleh dilayari dan ia menjadi sumber maklumat yang bukan sehaja kaepada warga TUDM sahaja bahkan masyarakat dunia tentera juga dapat menghayati mengetahui apa yang dilakukan oleh TUDM untuk pembangunan negara.

Aktiviti-aktiviti kebajikan dan juga jiwa murni dan juga tugas komuniti seperti penerbangan ihsan untuk membawa pesakit dengan menggunakan pesawat TUDM diberi liputan sebagai sumbang bakti yang dilakukan oleh TUDM untuk maslahat rakyat.

Berita Udara akan terus menjadi saluran maklumat kepada warga TUDM dan ia juga dimanfaatkan untuk sumber rujukan generasi akan datang mengetahui sumbangan TUDM yang bukan sahaja sebagai benteng pertahanan udara tetapi juga kepada sebagai organisasi yang prihatin dengan masyarakat awam.

Ia akan terus menjadi saluran bagi pihak kepimpinan menyalurkan amanat kepada seluruh warga TUDM dan ia akan terus menjadi wadah komuniaksi dengan aspirasi menjadikan TUDM sebagai angkatan yang unggul di dalam ATM.

No comments:

Post a Comment