Wednesday, November 7, 2012

MAAF

MALAYAN AUXILIARY AIR FORCE 1950-1959
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Apabila Jepun menyerah kalah maka tamatlah Perang Dunia Kedua dan British datang semula ke Tanah Melayu dan memperkenalkan British Military Administration (BMA) pada 1945 dengan kehadiran pasukan semula angkatan tenteranya di Timur Jauh.


Pangkalan udara di Tanah Melayu dan Singapura dihidupkan semula dengan kehadiran pesawat-

pesawat Royal Air Force (RAF) yang beroperasi daripada Butterworth, Kuala Lumpur, Tengah, Seletar, Kallang, Changi dan Sembawang.

RAF juga membina pangkalan baru iaitu di Kuantan, Kuching dan Labuan dan meletakkan unit radar di Pelabuhan Klang, Western Hill Pulau Pinang dan Bukit Gombak Singapura yang kemudiannya dilengkapi dengan peluru berpandu Grayhound untuk menjaga pertahanan Tanah Melayu dan Singapura.

Dengan kehadiran British seluruh jentera pertahanan Tanah Melayu dan Singapura menjadi tanggungjawab Tentera British dan ketumbukan Angkatan Udaranya iaitu RAF dan British secara berangsur-angsur melatih anak tempatan untuk matlamat akhirnya menjadi tunggak pertahanan negaranya sendiri.

Mesyuarat untuk penubuhan dan latihan Malayan Auxiliary Air Force (MAAF) di Perseketuan Tanah Melayu telah dikendalikan oleh Air Vice Marshal A.C. Sanderson pada 11 Februari 1949.
Kertas cadangan untuk pembentukan MAAF telah dipersetujui pada dasarnya oleh Pesurhjaya Persekutuan Tanah Melayu pada 15 Februari 1949 yang bertujuan untuk mendidik anak tempatan dalam pertahanan udara bagi Tanah Melayu dan Singapura.

Kewujudan MAAF adalah untuk melatih sukarelawan bagi menerbangkan pesawat hingga tahap dikurniakan sayap penerbangan sebagai juruterbang yang berkelayakan dan diiktiraf untuk menerbangkan pesawat tentera.

Pada 15 Mei 1950 kerajaan Persekutuan dengan rasminya mengumumkan penubuhan MAAF dengan markas pertamanya di Jalan Peel Avenue Pulau Pinang dan diperuntukkan lima buah pesawat Tiger Moth dan kemudiannya dengan lima buah pesawat Harvard.

Satu-satunya jurulatih penerbang yang terdiri daripada anak tempatan MAAF Pulau Pinang ialah Flight Lieutenant Basil Leong di samping pegawai RAF lain yang menjadi nadi penggerak MAAF Pulau Pinang.
Sementara itu dua orang anak tempatan yang menganggotai MAAF telah menerima sayap penerbangan daripda Gabenur Pulau Pinang Raja Tun Uda pada November 1958 iaitu Pilot Officer Low Seng Hye dan Pilot Officer Ong Seng Hye.

Sementara itu pada bulan Julai 1951 MAAF Singapura memulakan operasi dengan empat buah pesawat Tiger Moth dan tiga buah pesawat Spitfire yang dikendalikan oleh RAF Tengah.
MAAF Kulaa Lumpur mengoperasikan beberapa buah pesawat yang dikendalikan oleh juruterban RAF bagi melatih anak tempatan menerbangkan pesawat dan seterusnya dianugerahkan sayap penerbangan.

Juruterbang tempatan telah mendapat sayap penerbangan daripada MAAF Kuala Lumpur pada 19 November 1955 dan anak watan yang pertama menerima sayap penerbangan ialah Pilot Officer Abdul Aziz bin Haji Mohamad Hassan daripada Ketua Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Di antara juruterbang MAAF yang mendapat sayap penerbangan dan kemudiannya di tukarkan kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan pada 1958 ialah Pilot Officer Jaswant Singh, Pilot Officer Mike Theisera dan Pilot Officer Chua Ban Hin.

Juruterbang yang mendapat sayap penerbangan di MAAF Kuala Lumpur melakukan latihan di pangkalan RAF Sungai Besi menerbangkan pesawat Tiger Moth dan Havard dengan latihan penerbangan rutin seperti penerbangan formasi dan pengendalian umum.

Pada tahun 1954 pula RAF menjalankan kempen untuk mengambil dan merekrut sukarelawan Singapura untuk berkhidmat dengan Fighter Control Unit sebagai Fighter Plotters dan Radar Operator bagi pertahanan udara pulau Singapura.

Kursus mingguan yang diadakan untuk anggota sukarela MAAF berlangsung di Markas MAAF Singapura di Beach Road dan latihan praktikal diadakan dengan menggunakan peralatan radar dan pesawat yang dkendalikan di RAF Tengah.

Semua sukarelawan berpeluang untuk berinteraksi dengan lain-lain anggota dalam latihan perkhemahan tahunan yang menggabungkan anggota MAAF Pulau Pinang, MAAF Kuala Lumpur dan MAAF Singapura.
RAF Tengah menjadi rumah dan pangkalan MAAF Singapura sejak 1950 dan latihan penerbangan dilaksanakan dengan bimbingan juruterbang RAF Tengah dengan menggunakan peswat RAF yang diperuntukkan untuk latihan MAAF.

Di antara anak Melayu pertama Singapura yang terpilih untuk mendapat sayap penerbangan ialah Pilot Officer Sulaiman Sujak oleh Gabenor Singapura Sir John Nicoll pada bulan November 1954 dan beliau kemudiannya dipilih memasuki RAF Cranwell di United Kindom.

Sulaiman Sujak merupakan produk MAAF yang terus melangkah jauh bersama RAF di Scotland dan pernah berkhidmat di Cyprus sebelum pulang ke Malaysia dan menjadi anak melayu pertama memegang jawatan Panglima Tentera Tentera Udara pada 1967.

Pada 22 September 1951 Singapura telah diisytiharkan sebagai City of British Commonwealth dan MAAF telah diberi tanggungjawab dan penghormatan untuk menyediakan ‘guards of honour” yang diperiksa oleh Gabenor Sir Franklin Charles Gimson.

Dengan penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan pada Jun 1958, operasi MAAF di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura telah diberhentikan ekoran pembubaran organisasi MAAF yang telah sekian lama di dokong oleh RAF pada 1959.

Walau bagaimanapun apabila Tentera Udara Diraja Persekutuan ditubuhkan sebahagian besar tenaga penggeraknya adalah terdiri daripada pegawai dan anggota RAF yang dipinjamkan kepada kerajaan Persekutuan dan juga bekas anggota Malayan Auxiliary Air Force.

No comments:

Post a Comment