CARIBOU DHC-4A 1966-1999
Oleh: Mejar (B) Ramli Abdul Rahim
Sejarah operasi pesawat Caribou DHC-4A Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditandai dengan penerbangan empat buah pesawat berkenaan berlepas daripada Trenton Canada pada 26 April 1966 dan mendarat di Kuala Lumpur pada 15 Mei 1966.
Pesawat tersebut dipandu oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Kanada (Royal Canadian Air Force) dan dibantu oleh juruterbang TUDM iaitu Squadron Leader Omar Saman, Flight Lieutenant Mohammed Yunus Tasi, Flying Officer Arthur Cheah dan Flying Officer Gopal Ramdas.
Caribou berupaya membawa sehingga 32 orang penumpang atau 26 orang askar payung terjun atau 20 pesakit dalam usungan atau kargo seberat 8,740 paun dan reka bentuknya yang mempunyai ruang kargo berbentuk kotak yang luas, pintu muatan kargo di bahagian belakang dan bahagian ekornya tinggi memudahkan kerja-kerja pemindahan muatan masuk atau keluar dari pesawat.
TUDM juga telah menggunakan pesawat Caribou secara meluas dalam operasinya di seluruh negara dan fleet Caribou pertama TUDM merupakan 4 buah pemberian kerajaan Canada dan telah dioperasikan oleh Skuadron 8 yang berpangkalan di TUDM Sungei Besi, Kuala Lumpur pada 1966.
Pesawat-pesawat ini telah diterbangkan pulang terus dari Stesen RCAF, Trenton, Canada pada 26 April 1966 dan selamat sampai di Kuala Lumpur pada 15 Mei 1966 dan setelah ditauliahkan beroperasi, Caribou Skuadron 8 telah dipindahkan ke Pangkalan TUDM Labuan.
Pada suatu ketika Caribou adalah nadi penyambung utama di antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) sebelum TUDM menerima pesawat C-130 'Charlie' .
Sebahagian dari Caribou TUDM juga dioperasikan oleh Skuadron 1 dan ditempatkan di bawah Markas Bantuan Udara yang berpangkalan di TUDM Kuching, Sarawak sehingga ditamatkan perkhidmatannya.
Keseluruhannya, TUDM mempunyai 18 buah Caribou yang telah dibeli di antara 1969 hingga 1973 dan Caribou digunakan untuk mengangkut anggota-anggota tentera, kargo ketenteraan dan kemanusiaan termasuk di kawasan-kawasan pedalaman.
Ia juga digunakan sebagai platform penerjunan anggota para serta membuat penerbangan-penerbangan ehsan membawa bantuan bencana alam dan pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera.
Di antara khidmat terakhir yang dilakukan oleh Caribou TUDM adalah tugas-tugas pembenihan hujan di serata tempat ketika seluruh negera sedang dilanda masalah jerebu pada 1997 dan krisis air pada 1998.
Satu perkara yang menarik di sini adalah salah satu dari Caribou TUDM merupakan unit terakhir yang dibina oleh DHC.
Setelah mengjangkau usia yang agak lanjut, pesawat-pesawat Caribou TUDM telah mula menunjukkan tanda-tanda 'fatigue' dan setelah terbabit dalam beberapa siri kemalangan terhempas, Caribou TUDM telah ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan oleh pesawat CN-235 buatan Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) dari Indonesia.
Seorang bekas anak kapal Caribou Kapt Mohyuddin Abd Rahman TUDM (B) menyatakan kenangannya semasa berkhidmat sebagai anak kapal pesawat memang cukup mencabar terutamanya pada zaman kebangkitan komunis kedua pada tahun 70an.
Beliau menyatakan pengalamannya memasuki No 1 Skuadron yang mengoperasikan pesawat Caribou pada penghujung 1973 dan setelah beliau mendapat ‘cat’ sebagai AQM Caribou dan skuadron turut terlibat dengan operasi semasa insiden Nuri TUDM ditembak komunis di Gubir.
Pesawat Caribou turut terlibat untuk menerbangkan anggota Regimen Gerak Khas daripada Melaka ke Butterworth sebelum anggota berkenaan diterbangkan ke kawasan operasi dengan menggunakan helikopter TUDM.
Dalam tahun 1975, tiga buah pesawat Caribou telah ditugaskan untuk menerbangkan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam masa 24 jam ke Betong dan pesawat tidak dibenarkan berhenti selepas mendarat.
Anggota PPH diarahkan melompat masuk ke dalam pesawat, ‘no trim sheet, load and take off” persis operasi gerak kilat semuanya berjalan dengan pantas di kawasan yang terkenal menjadi syurga pengganas komunis.
Dua buah pesawat berlegar di udara menunggu giliran untuk mendarat dan bau peluru masuk ke dalam hidung ditiup angin dan Mohyuddin pasti itu datangnya daripada laras senjata komunis.
Caribou juga terpaksa membuat penerbangan dalam cuaca yang tidak begitu baik untuk menggugurkan bekalan kepada anggota keselamatan di kawasan operasi justeru kegagalan menghantar bekalan akan diekspolitasi oleh komunis untuk mempengaruhi orang asli membantu mereka.
Perjuangan melawan komunis adalah perjuangan yang melibatkan operasi perang saraf ke atas penduduk yang sering menjadi sasaran dakyah komunis untuk mengikuti dan menyokong perjuangan mereka.
Semasa pengganas komunis meningkatkan aktiviti di seluruh negara pada awal 70an pesawat Caribou yang ditempatkan di TUDM Kuala Lumpur telah menjadi sasaran serangan roket daripada kawasan di luar lapangan terbang tetapi sasaran mereka tidak mengenai dengan tepat.
Ekoran daripada ancaman komunis pesawat Caribou telah terlibat dengan Projek Jantayu iaitu menjadikan Caribou sebagai pesawat Gunship iaitu dipersenjatai dengan mesin-gun namun projek berkenaan ditamatkan kerana ketidaksesuaian pesawat berkenaan.
Prestasi pesawat Caribou sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM memang tidak dapat dinafikan sebagai satu-satunya medium pengangkutan utama melebihi tiga dekad yang banyak berbakti di setiap kawasan operasi.
Ia dikendalikan oleh juruterbang, pambantu juruterbang dan kuatermaster dan dengan kekuatan dua enjin Pratt & Whitney R-200-7M Twin Wasp@1,081kW mempunyai kelajuan maksimum 348 km/jam pesawat ini adalah ideal untuk operasi jarak sederna.
Caribou menjadi kenangan nostalgia bagi anggota Tentera Darat (TD) maka tidak hairanlah salah sebuah daripada pesawat Caribou yang telah ditamatkan perkhidmatannya kini menghiasi ruang pameran Muzium Tentera Darat di Port Dickson Negeri Sembilan.
Bagi anggota 15 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Renjer Diraja yang terlibat denagn Ops Jaga di kawasan Miri Sarawak tentu masih ingat penerbangan mereka dengan pesawat Caribou TUDM.
Jasa Caribou akan sentiasa dikenang.
No comments:
Post a Comment