Thursday, September 27, 2012
Sunday, September 23, 2012
OPERASI NURI
OPERASI
NURI ZAMAN AMAN DAN DARURAT KEDUA
Oleh:
Mejar Ramli Abdul Rahim (B)
Kehadiran
pesawat Nuri (Sikorsky S61A-4) sejak 1968 dalam inventori Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) telah memainkan peranan yang penting dalam operasi helikopter
yang dilaksanakan oleh skuadron yang bertanggungjawab menerbangkan mesin
berkenaan iaitu No 3 Skuadron, No 5 Skuadron, No 7 Skuadron dan No 10 Skuadron.
Ketibaan
helikopter Nuri di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) pada 1968 merupakan detik
yang bersejarah dalam operasi helikopter TUDM kerana ia menandakan peningkatan
kerupayaan pesawat daripada yang sedia ada iaitu daripada jenis helikopter
Alouette yang memasuki inventori TUDM pada 1963.
Oleh kerana
keperluan yang mendesak pada awal 60an, pegawai Tentera Darat (TD) telah diberi tawaran untuk mengikuti
kursus mengendalikan helikopter Nuri di
Amerika Syarikat dan seterusnya diserapkan ke dalam TUDM.
Sebelum
tertubuhnya ‘Skauadron Komposit’ pada awal 1977, skuadron yang mengendalikan
pesawat Nuri adalah No 7 Skaudron di TUDM Kuching yang bertanggungjawab memberi
sebarang keperluan udara di Sabah dan
Sarawak sementara bagi keperluan Semenanjung disediakan oleh No 10 Skuadron
TUDM Kuantan.
Apabila wujud
Skaudron Komposit maka Alouette dan Nuri diagihkan kepada semua skuadron
helikopter iaitu No 3, No 5, No 7 dan No 10 Skuadron untuk digunakan dalam
setiap misi yang melibatkan helikopter TUDM.
Di antara
1970 sehingga 1976 No 3 Skuadron telah
menjadi Skuadron Komposit yang mengendalikan helikopter Alouette dan
Nuri apabila terlibat dengan operasi melawan pengganas komunis di perbatasan
Malaysia-Thai iaitu semasa era insurgensi atau darurat kedua sebelum Chin Peng
menamatkan perjuangan bersenjata.
Helikopter
Nuri yang digabungkan daripada No 10 Skuadron menambah keupayaan skuadron yang
ditugaskan untuk membuat penerbangan trup TD dan menerbangkan kelengkapan
senjata seperti meriam ke kawasan
operasi seperti Operasi Daoyai-Musnah, Cahaya Bena dan Selamat Sawadi.
Sepanjang era
insurgensi kedua cerita Nuri dan Alouette menjadi sasaran tembakan senajata
pengganas komunis adalah senario biasa dan setiap penerbangan ke daerah operasi
adalah penerbangan yang berisiko dan ia merupakan operasi hidup atau mati.
Anak-anak
kapal yang telah biasa dengan desingan peluru musuh sentiasa berwaspada dan
mencari jalan untuk menyelamatkan pesawat untuk kesinambungan dan kejayaan operasi melawan musuh negara.
Juruterbang
TUDM telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang era operasi melawan
komunis dan keberanian mereka seperti yang ditunjukan oleh Mej (U) Chong Keng
Ley yang menjadi sasaran komunis dan salah seorang anggota TD telah terkorban
di dalam pesawat Nuri yang dipandunya.
Chong telah
berjaya keluar daripada kawasan komunis yang menyerang pesawatnya dan di atas
keberanian itu beliau telah dianugerahkan Pingat Panglima Tentera Udara.
Juruterbang
Nuri yang lain yang turut mendapat anugerah pingat keberanian ialah Mej(U) Nor
Ibrahim Sulaiman, Lt (U) Zainal Piee dan Lt (U) Mohd Som di atas khidmat mereka
menangani ancaman serangan komunis yang tidak mengenal kasihan terhadapan
pasukan keselamatan.
Untuk
menambah keupayaan skuadron komposit sehingga 1979 sebanyak 12 buah helikopter
Nuri dan 7 buah helikopter Alouette yang dipersenjatai dengan misin gan telah
dioperasikan oleh No 3 Skuadron bagi menampung operasi bersama TD di kawasan
perbatasan Malaysia-Thai.
Pada 1980
Ipoh telah dijadikan pangkalan hadapan dan dengan kekuatan 2 buah pesawat Nuri
dan 2 buah pesawat Alouette dan detasmen ini pada mulanya diketuai oleh Mej(U)
Senin Jantan untuk melaksanakan operasi luar daripada pangkalan asal di TUDM
Butterworth.
Pada 1978 No
5 Skuadron yang beroperasi dari Pangkalan TUDM Labuan yang mengendalikan
helikopter Alouette telah menerima pesawat Nuri yang pertama untuk dioperasikan
skuadron berkenaan untuk meneruskan baktinya bagi operasi helikopter di negeri
Sabah secara menyeluruh.
No 7 Skuadron
yang berpangkalan di Kuching mula berfungsi pada 29 Februari 1968 yang
diperlengkapkan dengan helikopter Nuri dan Ketua Skuadronya yang pertama ialah
Squadron Leader Mohamad Ngah Said yang kemudiannya memegang jawatan Panglima
Tentera Udara dan bersara berpangkat Lt Jeneral Udara.
Dengan kewujudan No 7 Skuadron di TUDM Kuching banyak
perkhidmatan penerbangan ke kawasan pendalaman untuk operasi TD, Polis dan
bantuan untuk jabatan awam telah dilakukan oleh helikopter Nuri.
Skuadron juga terlibat untuk membawa orang-orang kenamaan ke
kawasan pendalaman yang susah untuk dihubungi dengan jalan darat di negeri
Sarawak dan ia juga juga terlibat dengan penerbangan kecemasan untuk pesakit
seperti MEDIVAC dan CASEVAC juga penerbangan mencari dan menyelamat.
Nuri juga turut digunakan untuk kerja kemanusiaan menolong
rakyat ketika Sarawak mengalami kemarau dan juga banjir dan pada 1975 skuadron
ini menjadi komposit dengan kehadiran helikopter Alouette untuk melaksanakan
operasi dengan dua jenis pesawat.
Skuadron juga mempunyai penerbangan rutin yang dilakukan oleh
Nuri ke Pontianak di Indonesia yang menempatkan kakitangan konsulat di
Pontianak sebagai penyambung persahabatan diplomatik dua negara iaitu Malaysia
dan Indonesia.
TUDM terlibat membantu usaha Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
membanteras aktiviti negatif bagi menangani penyeludupan di kawasan perairan
Malaysia yang bersempadankan Kalimantan Utara.
Manakala No 10 Skuadron yang mengendalikan pesawat Nuri
menjadi tulang belakang untuk menjayakan operasi tentera di Semenjung
ditubuhkan pada 1968 dengan kekuatan asal 33 orang kakitangan yang diketuai
oleh Squadron Leader Benjamin Lee.
Selain daripada tugas operasi skuadron terlibat dengan
penerbangan untuk latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penerbangan Jabatan
Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), penerbangan ihsan, latihan payung terjun dan
penerbangan untuk jabatan awam.
Rekod khidmat Nuri yang memberi bantuan kemanusiaan
termasuklah semasa banji di Pantau Timur pada 1975 dan 1980, serta pemindahan
penduduk yang terpaksa dipindahkan kerana pembinaan Empangan Temenggor pada
1976 ke kawasan penempatan Air Ganda di Perak.
Khidmat Nuri semasa aman dan juga zaman insurgensi menghadapi
ancaman komunis telah mencatat sejarah suka dan duka namun meski komunis bukan
lagi menjadi ancaman, sejarah yang dilakarkan untuk kedua era akan terus
bermain di minda bekas juruterabang yang pernah menggadai nyawa demi cinta
kepada negara.
SANDHURST MILITARY ACADEMY
AKADEMI TENTERA SANDHURST KEBANGGAAN PEGAWAI KADET MALAYSIA
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim
Akademi Tentera Sandhurst (Royal Military Academy Sandhusrt)
yang terletak di Surrey terkenal seluruh
dunia sebagai institusi latihan tentera yang tertua di dunia dan banyak adat dan tradisi tentera di
negara-negara Commonwealth berakar umbi daripada Sandhurst.
Sandhurst telah terserlah lebih dua abad yang lampau dan
sejarahnya bermula pada 1741 apabila Royal Military Academy ditubuhkan di
Woolwich untuk melatih Pegawai Kadet (Officer Cadet) yang akan ditauliahkan di
dalam Royal Artillery, Royal Engineers dan Royal Signals.
Keterlibatan warga negara Malaysia bermula pada tahun 1950
apabila Pegawai Kadet Abdul Manan Abas
diterima menjadi pelatih pertama Sandhurst untuk mengikuti kursus Pegawai Kadet
sebelum ditauliahkan sebagai pegawai dan beliau berkhidmat dalam Tentera Darat (TD)
sehingga berpangkat Mejar.
Jeneral Tan Sri Dato Sany bin Abdul Ghaffar merupakan Panglima Angkatan Tentera yang
pertama mendapat latihan di Sandhurst daripada Intake 9 iaitu daripada 7
September 1950 sehingga 7 Ogos 1951 dan seterusnya ditauliahkan sebagai pegawat
TD.
Sejarah gemilang Akademi Tentera seterusnya melakar sejarah
apabila pada penghujung abad ke-18, Colonel Le Marchant menggariskan pelan
untuk melatih pegawai daripada cawangan lain di dalam Tentera Darat British dan
atas cadangan Duke of York sebuah sekolah staf untuk pegawai muda telah ditubuhkan
di High Wycombe pada 1799.
Pada 1801 sekolah tersebut menjadi departmen yang tertua
dalam Royal Military College dan pada tahun berikutnya sebuah departmen
ditubuhkan untuk melatih Pegawai Kadet daripada Cavalary dan Infantry
ditubuhkan di Marlow.
Pada 1947 Royal Military Academy dan Royal Military College telah digabungkan
dan dikenali sebagai Royal Military Academy Sandhurst dan pegawai yang menjadi
Komandan yang pertama ialah Major General F R G Mathews yang aktif dan terlibat
dalam Perang Dunia Kedua di Eropah.
Sehingga ini Sandhurst telah melatih 30,000 Pegawai Kadet
termasuk peserta kursus daripada luar negara terutamanya daripada negara-negara
Commonwealth yang merupakan bekas tanah jajahan British dari seluruh pelusuk
alam.
Di antara keluarga diraja dan pembesar negara yang pernah
mendapat latihan di Sandhhurst ialah Sultan Brunei, King Husin Jordan, King
Abdullah Jordan, Sultan Qabus Oman, Tuanku Sirajudin Tuanku Syed Putra
Jamalulail Sultan Perlis, Sultan Mizan Zainal Abidin Trengganu dan Tengku
Abdullah Pahang.
Sandhurst telah melatih Pegawai Kadet daripada luar negeri
lebih daripada 100 tahun iaitu daripada New Zealand, China, India, Afrika dan
negara-negara daripada Timur Tengah dan PK Prince Ibrahim Hilmy daripada Mesir
merupakan peserta kursus pertama luar negeri iaitu pada tahun 1880 di Woolwich.
Dengan penubuhan Askar Melayu pada 1933 yang didokong oleh
Tentera British di Tanah Melayu banyak latihan ketenteraan yang disador
daripada latihan yang berasaskan doktrin ketenteraan Tentera British dan
setelah tamat Perang Dunia Kedua pegawai Tentera Darat sebahagian besar mendapat
latihan di Sandhurst.
Pegawai Kadet Abdul Manan Yusof dan Sukor bin Chik yang
menjadi perintis warga Sandhurst dari Tanah Melayu pada 1950 adalah anggota NCO
Rejimen Askar Melayu yang dipilih untuk dilatih sebagai pegawai di Sandhurst
tetapi Kapten Sukor telah terkorban semasa darurat diserang hendap oleh
pengganas komunis pada 26 Disember 1950 di Manchis Pahang.
Sejarah mencatatkan seramai 40 orang bakal Pegawai Kadet dan
NCO daripada Rejimen Askar Melayu telah belayar di atas kapal HMS Empire Orwell
daripada Singapura pada 19 Mac 1953 dan tiba di England pada 3 April 1953 untuk
mengikuti kursus Pegawai Kadet di Eaton Hall di Chester.
Oleh kerana kerajaan British hanya memberi 24 tempat untuk
Akademi Sandhurst pada masa itu maka 16 anggota telah pulang ke Tanah Melayu
untuk membentuk battalion pertama Pasukan Persekutuan yang terdiri daripada
pelbagai kaum pada penghujung 1954.
Latihan yang diikuti oleh Pegawai Kadet daripada Tanah
Melayu sama sebagaimana yang diikuti oleh warga
Tentera British dan mereka bercampur dengan peserta kursus yang lain
tanpa membezakan asal usul mereka termasuk daripada peserta negara lain.
Oleh kerana penubuhan Federation Military College (FMC)
menjadi realiti pada 1952, maka jumlah
Pegawai Kadet yang dihantar ke Sandhurst bertambah iaitu sebelum kita mempunyai kolej
yang tersendiri untuk melatih Pegawai Kadet dan kita terus menghantar anggoat
ke Sandhurst walaupun FMC telah tertubuh di Port Dickson.
Sehingga 1957 semua Pegawai Kadet yang akan menghadiri
kursus di Sandhurst mesti menjalani latihan Pre-OCTU di FMC Port Dickson dan
kemudiannya ke Eaton Hall di Chester atau Mons di Aldershot, England sebagai
persiapan untuk mengikuti kursus sepenuhnya di Sandhurst.
Moto Sandhurst “ Serve To Lead” juga digunakan oleh FMC dalam
tahun 1952 di Port Dickson dan apabila ia bertukar menjadi RMC (Royal Military
College) iaitu Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi moto berkenaan masih
dikekalkan dan “Serve To Lead” adalah lambang kepimpinan yang dicerna oleh
Sandhurst.
Akademi Sandhurst membuat perubahan dalam struktur latihan
Pegawai Kadet pada 1972 yang melibatkan latihan ketenteraan yang intensif
selama enam bulan sebagai kriteria Standard Military Course sebelum mereka
ditauliahkan sebagai pegawai dan dikehendaki membuat latihan lanjutan Regular
Career Course (RCC).
Selepas perubahan 1972 Pegawai Kadet mencatatkan sejarah
iaitu OC Mohd Daud bin Zakaria menjadi Pegawai Kadet Malaysia mengikuti program
SMC 1 dan OC Cadet Soheimi bin Abas menjadi penerima pertama Cane Of Honour
untuk pelajar luar negara daripada SMC 3 dan warga Malaysia pertama menerima
anugerah berkenaan.
Sejak 1947 kurikulum kursus tidak berubah sehingga 1955
apabila jumlah kursus selama lapan bulan bulan telah diubah kepada dua tahun untuk
memberi ruang kepada kursus akademik dan Sandhurst itu dicerna untuk menjadi persis
sebuah universiti.
Meski banyak perubahan yang telah berlaku sejak Sandhurst
ditubuhkan, ia akan terus menjadi pusat latihan tentera yang berpristej dan ia
dikenali di seluruh dunia sebagai wadah untuk mewujudkan kepimpinan ketenteraan
yang berwibawa.
Kepada alumni Sandhurst di Malaysia mereka cukup berbangga kerana
menjadi anak didik sebuah institusi yang memantapkan syahsiah dan ilmu
ketenteraan yang boleh diaplikasikan di negara sendiri walaupun setting latihan
adalah berdasarkan teori ketenteraan yang telah teruji di mana-mana medan
perang.
Sandhurst adalah kebanggaan Tentera Darat British dan
Pegawai Kadet Malaysia yang pernah merasa sentuhan latihan di sana.
Subscribe to:
Posts (Atom)