Friday, March 16, 2012

MALAYA DARURAT1948-1960

Mingguan Siasah 16-22 Mac 2012

DARURAT MALAYA 1948-1960
Bahan Renungan
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Kerajaan British telah mengisytiharkan Darurat di Tanah Melayu pada 16 Jun 1948  ekoran  pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput Perak oleh pengganas komunis dan tempoh Darurat itu berlangsung selama 12 tahun iaitu daripda 1948-1960 merupakan titik hitam dalam sejarah Negara yang perlu dijadikan bahan renungan generasi terkini.
Zaman Darurat adalah zaman perjuangan yang mencabar bagi rakyat yang masih di bawah pemerintahan penjajah British untuk mengharungi saat getir menghadapi ancaman pengganas komunis iaitu tidak berapa lama setelah Tanah Melayu dijajah Jepun yang turut menyedarkan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Ancaman komunis di negara ini yang bermula pada tahun 1948 hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) pada 2 Disember 1989 dengan
perjanjian bersejarah itu ditandatangani antara Parti Komunis Malaya (PKM), kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand walaupun ia diisytiharkan tamat pada 1960.
Tahun 1948 hingga 1960 adalah  zaman yang sukar bagi  penduduk Tanah Melayu justeru darurat yang berlaku sepanjang tempoh 12 tahun itu berlaku akibat persengketaan antara PKM dengan kerajaan British dan PKM diharamkan sebulan selepas pengisytiharan darurat tersebut.

Sepanjang tempoh darurat tersebut, banyak pertempuran berlaku antara tentera British yang  dibantu beberapa rejimen Askar Melayu dan tentera serta angkatan udara Commonwealth seperti tentera Gurkha, Fiji dan Rhodesia sebuah Negara di Afrika Selatan, Tentera Udara Diraja  New Zealand (RNZAF) dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF)  bagi  menghapuskan anasir komunis .
Pelbagai langkah diambil pihak berkuasa sepanjang tempoh darurat  termasuk  operasi 'Gerak Perang Saraf' (Psychological Warfare) yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu "memenangi hati dan minda rakyat" (Hearts and Minds)  dan "melemahkan segala usaha yang dilaksanakan musuh".

Kematian Pesuruhjaya Tinggi  Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 semasa dalam perjalanan  ke Bukit Fraser  adalah satu tamparan hebat  dan berita yang mengejutkan kepada seluruh dunia itu merupakan tragedi yang melukakan penjajah dan rakyat dan ia sebaliknya  menjadi perangsang kepada perjuangan komunis di Tanah Melayu.
Gerakan komunis bermula selepas  pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945 dan semangat Nasionalisme penduduk Tanah Melayu adalah hasil daripada  pengaruh Jepun semasa penjajahannya yang telah mendorong penduduk Tanah Melayu untuk bekerajaan sendiri.


Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong akan terus terus menjadi kenangan  kekejaman pengganas komunis semasa zaman darurat yang melakukan serangan terhadap  balai polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang dilakukan  oleh segerombolan 180 orang pengganas komunis yang bermula sekitar jam 5.00 pagi.

Dalam kejadian tersebut,  17 orang anggota terkorban dan para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur dan dua  orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Pada masa awal darurat 1948, Min Yuen (Gerakan Rakyat) yang ditubuhkan oleh PKM  telah menyokong pemberontakan yang dilakukan oleh komunis dan sebahagian besarnya dianggotai oleh orang Cina dan tujuannny adalah  untuk memberi maklumat dan membekalkan makanan serta ubat-ubatan kepada komunis.

Pergerakan mereka berpusat di bandar-bandar, kampung-kampung dan kawasan
berhampiran hutan dan bukan  semua orang Cina menyertai Min Yuen secara sukarela tetapi terpaksa berbuat demikian kerana takut ancaman maut dan mereka merasa serba salahkerana kalau mereka menyokong kerajaan, mereka akan dibunuh oleh pengganas komunis.

Kegiatan Min Yuen sukar dikesan kerana mereka menjalankan operasinya pada sebelah malam dan untuk melumpuhkan pergerakan Min Yuen, satu pelan tindakan yang dikenali sebagai Rancangan Briggs telah dijalankan bagi memindahkan penduduk Cina dipinggir-pinggir hutan ke kawasan penempatan baru yang dikawal.


Untuk menunjukkan simpati PKM memulakan dengan mogok bersama dengan kesatuan sekerja, serta penubuhan Persatuan Buruh Baru (New Democratic Youth League),  namun pemogokan itu telah gagal dengan undang-undang yang baru dibuat oleh British untuk melemahkan PKM dan seterusnya PKM menggunakan serangan bersenjata sebagai modus operandi mereka untuk mencapai matlamat mendapatkan kuasa.

Kawasan Putih dan Hitam telah diperkenalkan supaya British boleh memudahkan proses mereka dalam membanteras komunis dan perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan yang disyaki menjadi laluan PKM.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan di antara PKM dan  Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu  dan  Rundingan Baling telah dibuat pada 28-29 Disember 1955 di Sekolah Rendah Baling, Baling , Kedah Darul Aman tanpa menghasilkan natijah yang konkrit.

Kerajaan  menawarkan pengampunan dengan syarat Parti Komunis Malaya dibubarkan, tetapi Chin Peng pula meminta Parti Komunis Malaya dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah dan pihak kerajaan tidak akur dengan permintaan Chin Peng.

Sejak 1948 elemen bukan tentera yang berperanan untuk membuat sekatan jalan raya dan kawalan kampung telah dibuat oleh Home Guards iaitu di kawasan yang mungkin sebagai kawasan yang mempunyai pengaruh komunis, dengan itu, mereka boleh menyemak sesiapa sahaja dan juga berhak merampas barang yang mereka ada.

Undang-undang Darurat yang diperkenalkan British menekankan setiap politik yang bersifat radikal akan diharamkan, sesiapa yang disyaki dengan kegiatan komunis akan ditangkap, serta dibuang negeri dan hukuman bunuh dibuat untuk sesiapa yang dianggap bersuhabat dengan komunis.

Undang-undang darurat telah ditamatkan pada 31 Julai 1960 dan dalam tempoh 12 tahun perintah darurat dikuatkuasakan seramai  kira-kira 11,000 nyawa telah terkorban terkorban termasuk 2500 orang awam yang tidak tiadk terlibat dengan konflik dengan anggota PKM.

Selama 12 tahun British menggunakan aset pesawat Royal Air Force (RAF) yang berpangkalan di Singapura untuk melakukan operasi pengeboman ke atas sarang komunis di Tanah Melayu termasuk operasi menggugurkan risalah dari udara menyeru anggota PKM menyerah diri.



Perjuangan menghadapi komunis adalah kombinasi perjuangan rakyat dan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu, Sir Henry Gurney telah mengadakan kempen ‘Bulan Penduduk Tanah Melayu Menentang Komunis’ yang melibatkan 500, 000 orang dan dalam kempen tersebut  mereka membawa sepanduk mengutuk keganasan komunis dan membakar patung-patung komunis serta mengadakan rapat umum.

Darurat Malaya menawarkan banyak pelajaran yang menarik sebahagian besar yang telah diabaikan oleh Amerika Syarikat dalam konflik di Vietnam 1965-1975 justeru  Malaya berjaya menghalau pemberontakan komunis yang dianjurkan terutamanya disebabkan oleh pihak berkuasa yang komited dan pengaruh  orang-orang seperti Briggs dan Templer dan komunis berfikir mereka boleh menang dengan cara ketenteraan.

Bagi rakyat Malaysia hari ini, kita harus menghargai pengorbanan generasi silam yang bertungkus lumus untuk menjadikan negara ini aman damai sebagai bumi tumpah  darah kita yang sewajarnya dipertahankan bersama dengan apa cara juga sekalipun demi kesinambungan generasi sebuah negara yang tercinta.

Dengan pengharaman PKM oleh kerajaan British yang ditanggapi  sebagai parti politik yang radikal ia  telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan  kebanyakan ahli dalam PKM kerana jasa mereka telah dilupakan oleh British semasa mereka di dalam ‘The Malayan Peoples Anti-Japanese Army’  (MPAJA) menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment