Saturday, November 24, 2012

CARIBOU

CARIBOU DHC-4A 1966-1999
Oleh: Mejar (B) Ramli Abdul Rahim
Sejarah operasi pesawat Caribou DHC-4A Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditandai dengan penerbangan empat buah pesawat berkenaan berlepas daripada Trenton Canada pada 26 April 1966 dan mendarat di Kuala Lumpur pada 15 Mei 1966.


Pesawat tersebut dipandu oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Kanada (Royal Canadian Air Force) dan dibantu oleh juruterbang TUDM iaitu Squadron Leader Omar Saman, Flight Lieutenant Mohammed Yunus Tasi, Flying Officer Arthur Cheah dan Flying Officer Gopal Ramdas.

Caribou berupaya membawa sehingga 32 orang penumpang atau 26 orang askar payung terjun atau 20 pesakit dalam usungan atau kargo seberat 8,740 paun dan reka bentuknya yang mempunyai ruang kargo berbentuk kotak yang luas, pintu muatan kargo di bahagian belakang dan bahagian ekornya tinggi memudahkan kerja-kerja pemindahan muatan masuk atau keluar dari pesawat.

TUDM juga telah menggunakan pesawat Caribou secara meluas dalam operasinya di seluruh negara dan fleet Caribou pertama TUDM merupakan 4 buah pemberian kerajaan Canada dan telah dioperasikan oleh Skuadron 8 yang berpangkalan di TUDM Sungei Besi, Kuala Lumpur pada 1966.

Pesawat-pesawat ini telah diterbangkan pulang terus dari Stesen RCAF, Trenton, Canada pada 26 April 1966 dan selamat sampai di Kuala Lumpur pada 15 Mei 1966 dan setelah ditauliahkan beroperasi, Caribou Skuadron 8 telah dipindahkan ke Pangkalan TUDM Labuan.

Pada suatu ketika Caribou adalah nadi penyambung utama di antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) sebelum TUDM menerima pesawat C-130 'Charlie' .

Sebahagian dari Caribou TUDM juga dioperasikan oleh Skuadron 1 dan ditempatkan di bawah Markas Bantuan Udara yang berpangkalan di TUDM Kuching, Sarawak sehingga ditamatkan perkhidmatannya.
Keseluruhannya, TUDM mempunyai 18 buah Caribou yang telah dibeli di antara 1969 hingga 1973 dan Caribou digunakan untuk mengangkut anggota-anggota tentera, kargo ketenteraan dan kemanusiaan termasuk di kawasan-kawasan pedalaman.

Ia juga digunakan sebagai platform penerjunan anggota para serta membuat penerbangan-penerbangan ehsan membawa bantuan bencana alam dan pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera.
Di antara khidmat terakhir yang dilakukan oleh Caribou TUDM adalah tugas-tugas pembenihan hujan di serata tempat ketika seluruh negera sedang dilanda masalah jerebu pada 1997 dan krisis air pada 1998.
Satu perkara yang menarik di sini adalah salah satu dari Caribou TUDM merupakan unit terakhir yang dibina oleh DHC.

Setelah mengjangkau usia yang agak lanjut, pesawat-pesawat Caribou TUDM telah mula menunjukkan tanda-tanda 'fatigue' dan setelah terbabit dalam beberapa siri kemalangan terhempas, Caribou TUDM telah ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan oleh pesawat CN-235 buatan Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) dari Indonesia.

Seorang bekas anak kapal Caribou Kapt Mohyuddin Abd Rahman TUDM (B) menyatakan kenangannya semasa berkhidmat sebagai anak kapal pesawat memang cukup mencabar terutamanya pada zaman kebangkitan komunis kedua pada tahun 70an.

Beliau menyatakan pengalamannya memasuki No 1 Skuadron yang mengoperasikan pesawat Caribou pada penghujung 1973 dan setelah beliau mendapat ‘cat’ sebagai AQM Caribou dan skuadron turut terlibat dengan operasi semasa insiden Nuri TUDM ditembak komunis di Gubir.

Pesawat Caribou turut terlibat untuk menerbangkan anggota Regimen Gerak Khas daripada Melaka ke Butterworth sebelum anggota berkenaan diterbangkan ke kawasan operasi dengan menggunakan helikopter TUDM.

Dalam tahun 1975, tiga buah pesawat Caribou telah ditugaskan untuk menerbangkan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam masa 24 jam ke Betong dan pesawat tidak dibenarkan berhenti selepas mendarat.
Anggota PPH diarahkan melompat masuk ke dalam pesawat, ‘no trim sheet, load and take off” persis operasi gerak kilat semuanya berjalan dengan pantas di kawasan yang terkenal menjadi syurga pengganas komunis.

Dua buah pesawat berlegar di udara menunggu giliran untuk mendarat dan bau peluru masuk ke dalam hidung ditiup angin dan Mohyuddin pasti itu datangnya daripada laras senjata komunis.

Caribou juga terpaksa membuat penerbangan dalam cuaca yang tidak begitu baik untuk menggugurkan bekalan kepada anggota keselamatan di kawasan operasi justeru kegagalan menghantar bekalan akan diekspolitasi oleh komunis untuk mempengaruhi orang asli membantu mereka.

Perjuangan melawan komunis adalah perjuangan yang melibatkan operasi perang saraf ke atas penduduk yang sering menjadi sasaran dakyah komunis untuk mengikuti dan menyokong perjuangan mereka.
Semasa pengganas komunis meningkatkan aktiviti di seluruh negara pada awal 70an pesawat Caribou yang ditempatkan di TUDM Kuala Lumpur telah menjadi sasaran serangan roket daripada kawasan di luar lapangan terbang tetapi sasaran mereka tidak mengenai dengan tepat.

Ekoran daripada ancaman komunis pesawat Caribou telah terlibat dengan Projek Jantayu iaitu menjadikan Caribou sebagai pesawat Gunship iaitu dipersenjatai dengan mesin-gun namun projek berkenaan ditamatkan kerana ketidaksesuaian pesawat berkenaan.

Prestasi pesawat Caribou sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM memang tidak dapat dinafikan sebagai satu-satunya medium pengangkutan utama melebihi tiga dekad yang banyak berbakti di setiap kawasan operasi.

Ia dikendalikan oleh juruterbang, pambantu juruterbang dan kuatermaster dan dengan kekuatan dua enjin Pratt & Whitney R-200-7M Twin Wasp@1,081kW mempunyai kelajuan maksimum 348 km/jam pesawat ini adalah ideal untuk operasi jarak sederna.

Caribou menjadi kenangan nostalgia bagi anggota Tentera Darat (TD) maka tidak hairanlah salah sebuah daripada pesawat Caribou yang telah ditamatkan perkhidmatannya kini menghiasi ruang pameran Muzium Tentera Darat di Port Dickson Negeri Sembilan.

Bagi anggota 15 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Renjer Diraja yang terlibat denagn Ops Jaga di kawasan Miri Sarawak tentu masih ingat penerbangan mereka dengan pesawat Caribou TUDM.
Jasa Caribou akan sentiasa dikenang.

KANANG ANAK LANGKAU

KANANG ANAK LANGKAU WIRA KEBANGGAAN NEGARA
Oleh:Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Wira Negara semasa zaman kebangkitan komunis dalam tahun 70-80an, Kanang Anak Langkau menyifatkan penganugerahan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak 'Panglima Gemilang Bintang Kenyalang' (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk

kepadanya September lalu  merupakan pengiktirafan terhadap pasukan keselamatan negara.
Beliau yang  menerima P.G.B.K dalam satu majlis penganugerahan sempena ulang tahun ke-90 Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Baru, Petra Jaya menerima anugerah tersebut dengan hati yang terbuka.

Penulis novel Kanang Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (Bersara) Maznan Noordin yang menulis riwayat hidup beliau menyifatkan Kanang sebagai wirawan contoh yang mengukir namanya dengan darah dan air mata dan tidak ada lagi Kanang sesudah ini kecuali berlaku lagi perang di negara ini.

Novel yang berdasarkan kisah benar  ini mengisahkan kehidupan seorang perajurit, iaitu Kanang anak Langkau  yang berbangsa Iban dan beragama Pagan dilahirkan pada 2 Mac 1945 di Karangan Manok Nanga Meluan, Sarawak dan merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik.

Ketika kecil, ibu bapanya berpisah dan beliau telah  dipelihara oleh datuk dan neneknya dan  Kanang bersekolah hingga Darjah Tiga di “Local Authority” sebelum  melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, penoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.

Pada 21 April 1960 Kanang telah berjaya dalam temu duga dan diterima menjadi tentera sebagai Iban Tracker dan berkahwin dengan Helen Latai anak Intie dan dikurniai enam orang anak  dan meneruskan khidmatnya dengan Rejimen Ranger dan seterusnya dilantik sebagai eskot.

Pada 1 Januari 1966, beliau dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal dan pada bulan Mac 1973  berpindah ke kem Terentak Melaka untuk  berkhidmat dalam Batalian Kelapan Rejimen Ranger serta  dinaikkan ke pangkat Sarjan  sebagai Ketua Seksyen.

Ketika menyertai Operasi Pukat, di Hutan Tanah Hitam Perak, beliau  telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis yang mengakibatkannya tidak sedarkan diri dan terlantar di wad selama setahun.

Banyak orang yang menyangka bahawa Kanang tidak akan hidup lama tetapi umurnya masih panjang dan pada  tahun 1980, Kanang telah dianugerahkan  pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis.

Pada tahun 1981 Kanang dianugerahkan  bintang keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkusa (SP) dan beliau  meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda.
Pada 1 Mei 1981, Kanang  telah dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuatermaster Sarjan dan pada 1 Oktober 1980, beliau  dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan sebagai Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985.

Kanang bersara pada 30 Mei 1986 dan  selepas bersara belaiu dianugerahkan  ‘Bintara Bintang Sarawak’ oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasa-jasanya sebagai anak Sarawak yang telah banyak berbakti mengharumkan bumi kelahirannya.

Sebagai sebuah novel yang berlatarbelakangkan dunia tentera penulis Maznan Noordin memberi fokus kepada keberanian dan semangat kental dalam perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan Negara dan semangat cinta akan Negara di kalangan anggota tentera.

Sebagai tulisan yang berasaskan kisah benar Maznan memberi sentuhan rasa apatah lagi penulis sendiri adalah bekas pegawa tentera yang bisa memahami perjuangan  Kanang dan rakan-rakannya yang berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis.

Mereka sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan Negara dan  Kanang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh dan ini digambarka dalam  Operasi Pukat dan  Kanang berjuang habis-habisan menentang penggacas komunis.

Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun beliau meinta  rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang pengganas komunis.

Semangat setia kawan dan berpasukan yang kuat dan  saling membantu antara sesama anggota tentera adalah senario nyata dalam kehidupan tentera dan ia digambarkan dengan keazaman  Kanang dan anggota tentera yang lain memberi bantuan kepada anggota tentera yang cedera dalam pertempuran dengan pengganas komunis dalam operasi Gerakan Setia 8179.

Kanang juga ialah seorang yang berani dan  selalu menjadi peninjau pertama sewaktu melakukan operasi dan dalam pertempuran dan  beliau dia bertindak berani dan menembak musuh tanpa mempedulikan nyawanya di samping patuh kepada semua arahan.

Kanang pernah ditugaskan dalam operasi untuk mencari anggota 1st Loyal New Zealand Army yang hilang dan prestasi dan dedikasinya terserlah sepanjang perkhidmatan dan pernah berjuang menentang tentera Indonesia semasa zaman Konfrantasi dan turut menyertai beberapa pertempuran dengan pengganas komunis di pelbagai kawasan operasi.

Kanang berkhidmat  dalam tentera sehingga bersara pada 30 Mei 1986 dengan pangkat Pegawai Wanran I  dengan kehidupan yang sederhana dan selepas bersara beliau  hidup sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Walaupun kehidupan Kanang agak perit selepas bersara, namun beliau  bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan kepada negara untuk menjadikan rakyat berada dalam keadaan aman sejahtera.

Kanang adalah manusia contoh yang boleh dijadi ikon patriotisme  rasa tanggungjawab, berani, keyakinan kepada diri sendiri, mengambil berat kepada orang lain terutamam rakan seperjuangannya ketika di daerah operasi.

Disiplin yang menjadi teras perjuangan tentera menjadi amalan Kanang dan sebagai manusia biasa beliau juga mencernakan keluarganya untuk dididik dengan sifat-sifat yang positif dan kesabaran isterinya menghadapi suami yang koma selama setahun adalah satu yang patut dipuji.

Rejimen Renjer Diraja yang mempunyai motto AGI HIDUP AGI  NGELABAN iaitu ungkapan daripada bahasa Iban yang bermaksud “Selagi Hidup Selagi Berjuang” menepati komitmen perjuangan pasukan infantri yang menjadi kebanggaan Angkatan Tentera Malaysia sesudah Rejimen Askar Melayu Diraja.

Perjuangan Kanang Anak Langkau akan terus dikenang sebagai wirawan yang tidak pernah undur daripada daerah perjuangan.

Wednesday, November 7, 2012

MAAF

MALAYAN AUXILIARY AIR FORCE 1950-1959
Oleh: Mejar Ramli Abdul Rahim (B)

Apabila Jepun menyerah kalah maka tamatlah Perang Dunia Kedua dan British datang semula ke Tanah Melayu dan memperkenalkan British Military Administration (BMA) pada 1945 dengan kehadiran pasukan semula angkatan tenteranya di Timur Jauh.


Pangkalan udara di Tanah Melayu dan Singapura dihidupkan semula dengan kehadiran pesawat-

pesawat Royal Air Force (RAF) yang beroperasi daripada Butterworth, Kuala Lumpur, Tengah, Seletar, Kallang, Changi dan Sembawang.

RAF juga membina pangkalan baru iaitu di Kuantan, Kuching dan Labuan dan meletakkan unit radar di Pelabuhan Klang, Western Hill Pulau Pinang dan Bukit Gombak Singapura yang kemudiannya dilengkapi dengan peluru berpandu Grayhound untuk menjaga pertahanan Tanah Melayu dan Singapura.

Dengan kehadiran British seluruh jentera pertahanan Tanah Melayu dan Singapura menjadi tanggungjawab Tentera British dan ketumbukan Angkatan Udaranya iaitu RAF dan British secara berangsur-angsur melatih anak tempatan untuk matlamat akhirnya menjadi tunggak pertahanan negaranya sendiri.

Mesyuarat untuk penubuhan dan latihan Malayan Auxiliary Air Force (MAAF) di Perseketuan Tanah Melayu telah dikendalikan oleh Air Vice Marshal A.C. Sanderson pada 11 Februari 1949.
Kertas cadangan untuk pembentukan MAAF telah dipersetujui pada dasarnya oleh Pesurhjaya Persekutuan Tanah Melayu pada 15 Februari 1949 yang bertujuan untuk mendidik anak tempatan dalam pertahanan udara bagi Tanah Melayu dan Singapura.

Kewujudan MAAF adalah untuk melatih sukarelawan bagi menerbangkan pesawat hingga tahap dikurniakan sayap penerbangan sebagai juruterbang yang berkelayakan dan diiktiraf untuk menerbangkan pesawat tentera.

Pada 15 Mei 1950 kerajaan Persekutuan dengan rasminya mengumumkan penubuhan MAAF dengan markas pertamanya di Jalan Peel Avenue Pulau Pinang dan diperuntukkan lima buah pesawat Tiger Moth dan kemudiannya dengan lima buah pesawat Harvard.

Satu-satunya jurulatih penerbang yang terdiri daripada anak tempatan MAAF Pulau Pinang ialah Flight Lieutenant Basil Leong di samping pegawai RAF lain yang menjadi nadi penggerak MAAF Pulau Pinang.
Sementara itu dua orang anak tempatan yang menganggotai MAAF telah menerima sayap penerbangan daripda Gabenur Pulau Pinang Raja Tun Uda pada November 1958 iaitu Pilot Officer Low Seng Hye dan Pilot Officer Ong Seng Hye.

Sementara itu pada bulan Julai 1951 MAAF Singapura memulakan operasi dengan empat buah pesawat Tiger Moth dan tiga buah pesawat Spitfire yang dikendalikan oleh RAF Tengah.
MAAF Kulaa Lumpur mengoperasikan beberapa buah pesawat yang dikendalikan oleh juruterban RAF bagi melatih anak tempatan menerbangkan pesawat dan seterusnya dianugerahkan sayap penerbangan.

Juruterbang tempatan telah mendapat sayap penerbangan daripada MAAF Kuala Lumpur pada 19 November 1955 dan anak watan yang pertama menerima sayap penerbangan ialah Pilot Officer Abdul Aziz bin Haji Mohamad Hassan daripada Ketua Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Di antara juruterbang MAAF yang mendapat sayap penerbangan dan kemudiannya di tukarkan kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan pada 1958 ialah Pilot Officer Jaswant Singh, Pilot Officer Mike Theisera dan Pilot Officer Chua Ban Hin.

Juruterbang yang mendapat sayap penerbangan di MAAF Kuala Lumpur melakukan latihan di pangkalan RAF Sungai Besi menerbangkan pesawat Tiger Moth dan Havard dengan latihan penerbangan rutin seperti penerbangan formasi dan pengendalian umum.

Pada tahun 1954 pula RAF menjalankan kempen untuk mengambil dan merekrut sukarelawan Singapura untuk berkhidmat dengan Fighter Control Unit sebagai Fighter Plotters dan Radar Operator bagi pertahanan udara pulau Singapura.

Kursus mingguan yang diadakan untuk anggota sukarela MAAF berlangsung di Markas MAAF Singapura di Beach Road dan latihan praktikal diadakan dengan menggunakan peralatan radar dan pesawat yang dkendalikan di RAF Tengah.

Semua sukarelawan berpeluang untuk berinteraksi dengan lain-lain anggota dalam latihan perkhemahan tahunan yang menggabungkan anggota MAAF Pulau Pinang, MAAF Kuala Lumpur dan MAAF Singapura.
RAF Tengah menjadi rumah dan pangkalan MAAF Singapura sejak 1950 dan latihan penerbangan dilaksanakan dengan bimbingan juruterbang RAF Tengah dengan menggunakan peswat RAF yang diperuntukkan untuk latihan MAAF.

Di antara anak Melayu pertama Singapura yang terpilih untuk mendapat sayap penerbangan ialah Pilot Officer Sulaiman Sujak oleh Gabenor Singapura Sir John Nicoll pada bulan November 1954 dan beliau kemudiannya dipilih memasuki RAF Cranwell di United Kindom.

Sulaiman Sujak merupakan produk MAAF yang terus melangkah jauh bersama RAF di Scotland dan pernah berkhidmat di Cyprus sebelum pulang ke Malaysia dan menjadi anak melayu pertama memegang jawatan Panglima Tentera Tentera Udara pada 1967.

Pada 22 September 1951 Singapura telah diisytiharkan sebagai City of British Commonwealth dan MAAF telah diberi tanggungjawab dan penghormatan untuk menyediakan ‘guards of honour” yang diperiksa oleh Gabenor Sir Franklin Charles Gimson.

Dengan penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan pada Jun 1958, operasi MAAF di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura telah diberhentikan ekoran pembubaran organisasi MAAF yang telah sekian lama di dokong oleh RAF pada 1959.

Walau bagaimanapun apabila Tentera Udara Diraja Persekutuan ditubuhkan sebahagian besar tenaga penggeraknya adalah terdiri daripada pegawai dan anggota RAF yang dipinjamkan kepada kerajaan Persekutuan dan juga bekas anggota Malayan Auxiliary Air Force.