Siasah 20-26 Januari 2012
Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) atau Armed Forces Staff College dan dikenali sebagai Haigate iaitu sempena nama Higate Camp menggunakan lokasi awal Markas Divisyen Infantri Malaysia yang diambil alih oleh MTAT bagi memulakan kursus staf untuk pegawai ketiga-tiga cawangan Angkatan Tentera Malaysia iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1972.
MTAT ditubuhkan dengan tujuan untuk melatih pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlatih dalam bidang turus yang diperlukan justeru perkembangan yang pesat sejak negara mencapai kemerdekaan.
Latihan untuk pegawai turus dalam ATM sepanjang akhir tahun 60an menjadi permasalahan disebabkan pengurangan pegawai yang dipinjamkan daripda Tentera British dan Commonwealth yang bertugas di bahagian turus terutamanya di Kementerian Pertahanan dan unit-unit tentera di pelbagai lokasi di seluruh Negara.
Adalah dianggarkan kira-kira 20 peratus daripada jawatan turus yang dipegang oleh pegawai yang terlatih mendapat latihan turus dan kebanyakan pegawai berkenaan mendapat latihan turus di luar negeri .
Perancangan untuk menubuhkan Maktab Turus di dalam negeri telah diutarakan pada 1967 ekoran lawatan Perdana Menteri Tun Razak semasa lawatannya ke Maktab Turus Burma tetapi oleh sebab keadaan kewangan rancangan itu terbengkalai dan pegawai ATM masih dihantar ke luar negeri.
Walau bagaimanapun pada 1970 pihak Kementerian Pertahanan telah diberi petanda bahawa ura-ura untuk ATM mempunyai Maktab Turus sendiri akan menjadi kenyataan berdasarkaan keperluan yang mendesak bagi mengurangkan kebergantungan kepada kursus di luar negeri yang seterusnya akan mengurangkan kos operasi ATM.
Pada persidangan Majlis Angkatan Tentera yang ke-123 pada 27 Oktober 1970 cadangan untuk menubuhkan MTAT telah dipersetujui untuk ketiga cabang ATM kerana untuk setiap perkhidmatan mempunyai maktab turus yang tersendiri akan membebankan dan memerlukan peruntukan yang berlebihan.
Semasa awal kewujudannya kursus yang diadakan di MTAT dikhususkan kepada pegawai Tentera Darat dan kursus direka yang berorientasikan keperluan operasi Tentera Darat sahaja.
Walau bagaimanapun memandangkan wawasan sebenar MTAT adalah untuk melatih ketiga-tiga cabang ATM maka persiapan untuk memasukkan sukatan pelajaran untuk pegawai TLDM dan TUDM turut diambil kira semasa Fasa Persediaan prasarana MTAT daripada 1 Januari hingga 31 Disember 1971.
Kursus yang pertama berlangsung pada Januari 1972 dan seramai 30 pelajar pertama yang terdiri dari pegawai Tentera Darat telah diambil dan kursus yang mengambi masa selama satu tahun itu melayakan graduan MTAT menerima taitel “psc” (Passed Staff College).
Sebelum MTAT memulakan kursus yang pertama, jurulatih MTAT (Directing Staff) telah dihantar untuk menimba pengetahuan di Maktab Turus lain di luar negeri seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan New Zealand untuk mendapatkan idea yang boleh dimasukkan dalam kurikulum kursus.
Pada 1974 sejarah MTAT mencatatkan penglibatan pelajar daripada luar negeri dengan pengambilan lima orang pegawai daripada Australia, Indonesia, New Zealand, Thailand dan United Kingdom merupakan mercu tanda perkembangan maktab yang baru setahun jagung itu.
MTAT sekali lagi melakar sejarah apabila memperkenakan modul Kajian Strategik dan Petahanan dengan Universiti Malaya (UM) pada 1995 dengan program berkembar yang melayakkan pelajar menerima Diploma daripada universiti berkenaan dan pada masa yang sama menerima diploma daripada MTAT itu sendiri.
Semasa kursus modul UM dijalankan, pensyarah daripada UM datang ke MTAT untuk menyampaikan kuliah mereka tetapi untuk merasakan aura pendidikan di menara gading, pelajar MTAT menghadiri kuliah di UM setiap hari Jumaat dan Sabtu justeru banyak rujukan yang perlu dibuat oleh pelajar MTAT di perpustakaan UM.
Enam mata pelajaran yang diambil oleh pelajar MTAT semasa modul UM ialah Metodologi Kajian, Pendidikan Sejarah Malaysia dan Komunikasi, Perhubungan Antarabangsa, KESBAN, Kajian Wilayah dan Strategi Pertahanan.
MTAT juga telah mengambil pelajar daripada kalangan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengikuti kursus pegawai turus walaupun tidak ada mata pelajaran kepolisian yang diajar namun kehadiran mereka boleh dimafaatkan bagi pihak PDRM memahami dunia tentera di Negara ini.
Dalam bidang ketenteraan ilmu yang diajar di MTAT adalah merangkumi teori taktik peperangan, sejarah ketententeraan dan buku-buku awal yang menjadi rujukan adalah “The War Against Japan (Woodburn Kirby), The Fall of Singapore (Masanobu Tsuji), The Fall of Malaya (Noel Barber), The War of the Running Dogs (Noel Barber), The Long War (Richard Clutterbuck) dan The Jungle is Neutral (Spencer Chapman).
Para pegawai yang mengikuti kursus staf perlu membuat persediaan akademik sebelum memasuki MTAT dan peluang berinterkasi dengan pelajar luar negeri akan menambahkan maklumat dan paradigma minda untuk memahami sesuatu isu terutamanya dalam konflik ketenteraan dan politik di peringkat antarabangsa.
Apirasi MTAT adalah untuk melahirkan kepimpinan yang kuat bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi berilmu sesuai dengan moto MTAT iaitu “Ilmu, Hikmat, Gagah” yang akan menjadikan mereka mempunyai keyakinan, keberanian di medan perjuangan.
MTAT mempunyai hubungan yang baik dengan Singapore Command and Staff College dan sering mengadakan program latihan bersama untuk pertukaran maklumat professional umpamanya dengan latihan perancangan peta ( Map Planning Exercise) yang diadakan sama ada di Singapura ataupun di Malaysia.
Untuk memberi pendedahan di peringkat serantau, pelajar MTAT membuat lawatan ke Negara-negara ASEAN seperi Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina dan destinasi utama lawatan adalah maktab turus di Negara-negara berkenaan.
Lawatan oleh pelajar Tentera Darat, TLDM dan TUDM di dalam negeri melibatkan lawatan ke markas dan unit Tentera Darat manakala pelajar TLDM akan ke pangkalan TLDM Lumut sementara pelajar TUDM akan melawat pangkalan TUDM yang dipilih bagi menghayati operasi setiap unit yang dilawati.
Dari segi latihan untuk pelajar TLDM dan TUDM mereka mempunyai modul tersendiri apabila mereka akan mengikuti kuliah tersendiri iaitu modul TLDM dan modul TUDM yang dijalankan oleh jurulatih masing-masing dan Tentera Darat dengan modulnya yang berdasarkan operasi darat.
Para isteri peserta kursus MTAT juga turut terlibat dengan kursus selama seminggu yang mendedahkan mereka dengan milieu dunia tentera dengan program “Kaya Budi” atau ‘Wives Enrichment Programme” dan peluang tersebut adalah saat yang bersejarah kerana para isteri pegawai dapat berinteraksi dengan isteri pegawai lain baik dari dalam negeri mahupuin luar negeri.
Prestasi MTAT terus terserlah sejak ia ditubuhkan pada 1972 dan ia akan terus menjadi pemangkin ilmu dalam dunia ketenteraan dan melahirkan pegawai yang berketrampilan dengan pengisian ilmu yang didapati di MTAT dan juga daripada program berkembar dengan UM yang memberi pendedahan dalam bidang strategik dan peperangan.