Saturday, December 8, 2012

Pesawat EC725 untuk TUDM



Mingguan Siasah  07 -13 Dis 2012

Pesawat EC 725 Baru Untuk TUDM
Oleh Mej (B) Ramli Abdul Rahim

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakarkan sejarah penambahan aset dalam inventorinya dengan ketibaan dua buah pesawat baru EC 725 yang bakal dioperasikannya yang tiba di pangkalan udara Subang dengan menggunakan pesawat Antonov-124 pada 29 November lalu.

Pesawat buatan firma Eurocopter dari Perancis ini telah diterbangkan dari Marignanc, Perancis dan mengambil masa lebih kurang 13 jam penerbangan sebelum tiba di Terminal Skypark, Subang tepat pada jam 2.20 petang waktu tempatan.

Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, baki 10 lagi pesawat dijadual tiba di negara ini secara berperingkat sehingga 2014 dan  TUDM juga akan menerima simulator untuk kegunaan latihan pesawat EC725 yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, juruterbang TUDM yang diketuai oleh Kol Tuan Mustapha sudah dihantar ke Perancis untuk menjalani latihan menggunakan pesawat baru itu sebelum ia di bawa balik ke Malaysia.
Buat permulaan, sebanyak dua buah daripada 12 helikopter jenis itu akan beroperasi di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang sebagai pesawat latihan untuk dikendalikan oleh juruterbang yang akan menjalani latihan tempatan.

Kesemua pesawat itu akan dihantar secara berperingkat-peringkat dengan pesawat terakhir masih lagi di pasang di Perancis dan  TUDM sedang dalam perancangan untuk menggantikan pesawat yang digunakan untuk latihan dengan pesawat baru yang dilengkapi teknologi terkini.

Pesawat yang baru dibeli tersebut  sesuai untuk pelbagai misi iaitu  pengangkutan taktikal, operasi khas, mencari dan menyelamat, carian tempur dan menyelamat, pengawasan maritim, sokongan logistik kemanusiaan, sokongan darat, pemindahan perubatan dan operasi daripada kapal.

Eurocopter EC 725 yang juga dikenali sebagai Super Cougar adalah sebuah helikopter pengangkut taktikal jarak jauh yang dibangunkan daripada keluarga Super Puma/Cougar untuk kegunaan ketenteraan dan ia adalah pesawat enjin bekembar dan boleh membawa sehingga 29 orang penumpang bersam dua orang anak kapal bergantung kepada konfigurasi permintaan pelanggan.

EC 725 telah dibangunkan untik memenuhi keperluan Tentera Udara Perancis untuk tujuan Mencari dan Menyelamat dan misi operasi kombat selepas model 532 A2 Cougar ditolak untuk tujuan tersebut setelah percubaan dilakukan antara 1996 sehingga 1999.

Helikopter EC 725 yang dibangunkan kemudannya membuat penerbangan sulungnya di Marignane pada 27 November 2000 dan pesawat berkenaan membuat persembahan pertama pada 15 Januari 2001.

Tentera Udara  Perancis telah mengerakkan pesawat  ke dalam perkhidmatan aktif dengan tiga helikopter EC 725 yang digunakan untuk memindahkan penduduk dari Lubnan semasa operasi Baliste  di musim panas tahun 2006 dan pada 2007, tiga helikopter  Tentera Udara Perancis telah dikerahkan untuk peperangan di Afghanistan untuk menyokong pasukan gabungan di ibu kota Kabul,

Helikopter perintis menyelesaikan penerbangan pertamanya pada bulan November 2000 dan kini perkhidmatannya terebar di sepuluh buah negara di seluruh dunia dan Tentera Udara Perancis sebagai pelanggan utama telah memesan enam EC 725.

Tentera Udara Perancis sebagai pelanggan utama telah memesan EC 725 untuk tugas mencari dan menyelamat dan misi tempur dan tempahan pertama telah dipenuhi pada Februari 2005.

Peawat EC 725 Tentera Udara Perancis pernah dikerahkan pada tahun 2006 di Lubnan untuk membantu pemindahan kakitangannya di Lubnan dan dua buah helikopter daripda jenis yang sama telah ditempatkan di Kabul bagi membantu misi tentera NATO pada awal tahun 2007 di Afgansitan.

Sebagai helikopter pengangkut taktikal ia boleh membawa 19 anggota dengan kebolehan beroperasi pada jejari  250 batu nautika dan tugasan mencari dan menyelamat EC 725 boleh menyelamatkan krew di perairan sejauh 290 batu nautika daripada pangkalan.

EC 725  boleh dilengkapi dengan peralatan tentera dan senjata seperti 2 × 7.62 mm FN MAG  machine gun, 2 × 68 mm (2.75")  Thales Brandt atau Forges Zeebrugge  rocket launchers,  2 × 20 mm pod-mounted GIAT cannon, Dassault Electronique EWR-99 FRUIT RWR radar warning receiver dan Alkan ELIPS multi-purpose chaff/flare dispenser.

Pada bulan September 2008 Malaysia telah mengumumkan pemilihan EC 725 bagi mendapatkan suatu perintah awal pembelian 12 buah pesawat tetapi justeru kekangan kewangan pembelian tersebut telah ditangguhkan.

Eurocopter kemudiannya menandatangani kontrak kerjasama dengan Kementerian Pertahanan Malaysia di pertunjukan udara Paris 49 pada bulan Jun 2011 untuk mendapatkan 12 buah helikopter EC 725 untuk kegunaan TUDM.

Pembelian helikopter daripada Perancis ini merupakan pembelian kedua setelah TUDM membeli helikopter Alouette III pada bulan September 1963 bagi memulakan operasi helikopter dalam TUDM untuk beroperasi di kawasan yang tidak mempunyai landasan kapal terbang.

Alouette masih digunakan sehingga kini dan pernah di gunakan oleh Pasukan   Udara Tentera Darat untuk melatih juruterbang Tentera Darat dan kini helikopter tersebut  digunakan untuk latihan juruterbang helikopter TUDM.

Sikorsky S-61A-4 Nuri yang merupakan versi terbitan helikopter  SH- 3 Sea King yang diberi penambahbaikkan adalah helikopter utiliti / SAR yang dioperasikan oleh TUDM sejak 1968 sehingga kini masih digunakan dan fleet berkenaan telah menabur jasa  semasa zaman memerangi komunis sekitar 1970 hingga 1990.

Dengan kehadiran EC 725 di dalam inventori TUDM sepenuhnya nanti,  besar kemungkinan  khidmat Nuri akan ditamatkan setelah ia berjasa sekian lama untuk pengangkutan pasukan keselamatan  sepanjang lebih tiga dekad yang lalu.

Saturday, November 24, 2012

CARIBOU

CARIBOU DHC-4A 1966-1999
Oleh: Mejar (B) Ramli Abdul Rahim
Sejarah operasi pesawat Caribou DHC-4A Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditandai dengan penerbangan empat buah pesawat berkenaan berlepas daripada Trenton Canada pada 26 April 1966 dan mendarat di Kuala Lumpur pada 15 Mei 1966.


Pesawat tersebut dipandu oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Kanada (Royal Canadian Air Force) dan dibantu oleh juruterbang TUDM iaitu Squadron Leader Omar Saman, Flight Lieutenant Mohammed Yunus Tasi, Flying Officer Arthur Cheah dan Flying Officer Gopal Ramdas.

Caribou berupaya membawa sehingga 32 orang penumpang atau 26 orang askar payung terjun atau 20 pesakit dalam usungan atau kargo seberat 8,740 paun dan reka bentuknya yang mempunyai ruang kargo berbentuk kotak yang luas, pintu muatan kargo di bahagian belakang dan bahagian ekornya tinggi memudahkan kerja-kerja pemindahan muatan masuk atau keluar dari pesawat.

TUDM juga telah menggunakan pesawat Caribou secara meluas dalam operasinya di seluruh negara dan fleet Caribou pertama TUDM merupakan 4 buah pemberian kerajaan Canada dan telah dioperasikan oleh Skuadron 8 yang berpangkalan di TUDM Sungei Besi, Kuala Lumpur pada 1966.

Pesawat-pesawat ini telah diterbangkan pulang terus dari Stesen RCAF, Trenton, Canada pada 26 April 1966 dan selamat sampai di Kuala Lumpur pada 15 Mei 1966 dan setelah ditauliahkan beroperasi, Caribou Skuadron 8 telah dipindahkan ke Pangkalan TUDM Labuan.

Pada suatu ketika Caribou adalah nadi penyambung utama di antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) sebelum TUDM menerima pesawat C-130 'Charlie' .

Sebahagian dari Caribou TUDM juga dioperasikan oleh Skuadron 1 dan ditempatkan di bawah Markas Bantuan Udara yang berpangkalan di TUDM Kuching, Sarawak sehingga ditamatkan perkhidmatannya.
Keseluruhannya, TUDM mempunyai 18 buah Caribou yang telah dibeli di antara 1969 hingga 1973 dan Caribou digunakan untuk mengangkut anggota-anggota tentera, kargo ketenteraan dan kemanusiaan termasuk di kawasan-kawasan pedalaman.

Ia juga digunakan sebagai platform penerjunan anggota para serta membuat penerbangan-penerbangan ehsan membawa bantuan bencana alam dan pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera.
Di antara khidmat terakhir yang dilakukan oleh Caribou TUDM adalah tugas-tugas pembenihan hujan di serata tempat ketika seluruh negera sedang dilanda masalah jerebu pada 1997 dan krisis air pada 1998.
Satu perkara yang menarik di sini adalah salah satu dari Caribou TUDM merupakan unit terakhir yang dibina oleh DHC.

Setelah mengjangkau usia yang agak lanjut, pesawat-pesawat Caribou TUDM telah mula menunjukkan tanda-tanda 'fatigue' dan setelah terbabit dalam beberapa siri kemalangan terhempas, Caribou TUDM telah ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan oleh pesawat CN-235 buatan Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) dari Indonesia.

Seorang bekas anak kapal Caribou Kapt Mohyuddin Abd Rahman TUDM (B) menyatakan kenangannya semasa berkhidmat sebagai anak kapal pesawat memang cukup mencabar terutamanya pada zaman kebangkitan komunis kedua pada tahun 70an.

Beliau menyatakan pengalamannya memasuki No 1 Skuadron yang mengoperasikan pesawat Caribou pada penghujung 1973 dan setelah beliau mendapat ‘cat’ sebagai AQM Caribou dan skuadron turut terlibat dengan operasi semasa insiden Nuri TUDM ditembak komunis di Gubir.

Pesawat Caribou turut terlibat untuk menerbangkan anggota Regimen Gerak Khas daripada Melaka ke Butterworth sebelum anggota berkenaan diterbangkan ke kawasan operasi dengan menggunakan helikopter TUDM.

Dalam tahun 1975, tiga buah pesawat Caribou telah ditugaskan untuk menerbangkan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam masa 24 jam ke Betong dan pesawat tidak dibenarkan berhenti selepas mendarat.
Anggota PPH diarahkan melompat masuk ke dalam pesawat, ‘no trim sheet, load and take off” persis operasi gerak kilat semuanya berjalan dengan pantas di kawasan yang terkenal menjadi syurga pengganas komunis.

Dua buah pesawat berlegar di udara menunggu giliran untuk mendarat dan bau peluru masuk ke dalam hidung ditiup angin dan Mohyuddin pasti itu datangnya daripada laras senjata komunis.

Caribou juga terpaksa membuat penerbangan dalam cuaca yang tidak begitu baik untuk menggugurkan bekalan kepada anggota keselamatan di kawasan operasi justeru kegagalan menghantar bekalan akan diekspolitasi oleh komunis untuk mempengaruhi orang asli membantu mereka.

Perjuangan melawan komunis adalah perjuangan yang melibatkan operasi perang saraf ke atas penduduk yang sering menjadi sasaran dakyah komunis untuk mengikuti dan menyokong perjuangan mereka.
Semasa pengganas komunis meningkatkan aktiviti di seluruh negara pada awal 70an pesawat Caribou yang ditempatkan di TUDM Kuala Lumpur telah menjadi sasaran serangan roket daripada kawasan di luar lapangan terbang tetapi sasaran mereka tidak mengenai dengan tepat.

Ekoran daripada ancaman komunis pesawat Caribou telah terlibat dengan Projek Jantayu iaitu menjadikan Caribou sebagai pesawat Gunship iaitu dipersenjatai dengan mesin-gun namun projek berkenaan ditamatkan kerana ketidaksesuaian pesawat berkenaan.

Prestasi pesawat Caribou sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM memang tidak dapat dinafikan sebagai satu-satunya medium pengangkutan utama melebihi tiga dekad yang banyak berbakti di setiap kawasan operasi.

Ia dikendalikan oleh juruterbang, pambantu juruterbang dan kuatermaster dan dengan kekuatan dua enjin Pratt & Whitney R-200-7M Twin Wasp@1,081kW mempunyai kelajuan maksimum 348 km/jam pesawat ini adalah ideal untuk operasi jarak sederna.

Caribou menjadi kenangan nostalgia bagi anggota Tentera Darat (TD) maka tidak hairanlah salah sebuah daripada pesawat Caribou yang telah ditamatkan perkhidmatannya kini menghiasi ruang pameran Muzium Tentera Darat di Port Dickson Negeri Sembilan.

Bagi anggota 15 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Renjer Diraja yang terlibat denagn Ops Jaga di kawasan Miri Sarawak tentu masih ingat penerbangan mereka dengan pesawat Caribou TUDM.
Jasa Caribou akan sentiasa dikenang.

KANANG ANAK LANGKAU

KANANG ANAK LANGKAU WIRA KEBANGGAAN NEGARA
Oleh:Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Wira Negara semasa zaman kebangkitan komunis dalam tahun 70-80an, Kanang Anak Langkau menyifatkan penganugerahan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak 'Panglima Gemilang Bintang Kenyalang' (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk

kepadanya September lalu  merupakan pengiktirafan terhadap pasukan keselamatan negara.
Beliau yang  menerima P.G.B.K dalam satu majlis penganugerahan sempena ulang tahun ke-90 Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Baru, Petra Jaya menerima anugerah tersebut dengan hati yang terbuka.

Penulis novel Kanang Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (Bersara) Maznan Noordin yang menulis riwayat hidup beliau menyifatkan Kanang sebagai wirawan contoh yang mengukir namanya dengan darah dan air mata dan tidak ada lagi Kanang sesudah ini kecuali berlaku lagi perang di negara ini.

Novel yang berdasarkan kisah benar  ini mengisahkan kehidupan seorang perajurit, iaitu Kanang anak Langkau  yang berbangsa Iban dan beragama Pagan dilahirkan pada 2 Mac 1945 di Karangan Manok Nanga Meluan, Sarawak dan merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik.

Ketika kecil, ibu bapanya berpisah dan beliau telah  dipelihara oleh datuk dan neneknya dan  Kanang bersekolah hingga Darjah Tiga di “Local Authority” sebelum  melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, penoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.

Pada 21 April 1960 Kanang telah berjaya dalam temu duga dan diterima menjadi tentera sebagai Iban Tracker dan berkahwin dengan Helen Latai anak Intie dan dikurniai enam orang anak  dan meneruskan khidmatnya dengan Rejimen Ranger dan seterusnya dilantik sebagai eskot.

Pada 1 Januari 1966, beliau dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal dan pada bulan Mac 1973  berpindah ke kem Terentak Melaka untuk  berkhidmat dalam Batalian Kelapan Rejimen Ranger serta  dinaikkan ke pangkat Sarjan  sebagai Ketua Seksyen.

Ketika menyertai Operasi Pukat, di Hutan Tanah Hitam Perak, beliau  telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis yang mengakibatkannya tidak sedarkan diri dan terlantar di wad selama setahun.

Banyak orang yang menyangka bahawa Kanang tidak akan hidup lama tetapi umurnya masih panjang dan pada  tahun 1980, Kanang telah dianugerahkan  pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis.

Pada tahun 1981 Kanang dianugerahkan  bintang keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkusa (SP) dan beliau  meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda.
Pada 1 Mei 1981, Kanang  telah dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuatermaster Sarjan dan pada 1 Oktober 1980, beliau  dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan sebagai Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985.

Kanang bersara pada 30 Mei 1986 dan  selepas bersara belaiu dianugerahkan  ‘Bintara Bintang Sarawak’ oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasa-jasanya sebagai anak Sarawak yang telah banyak berbakti mengharumkan bumi kelahirannya.

Sebagai sebuah novel yang berlatarbelakangkan dunia tentera penulis Maznan Noordin memberi fokus kepada keberanian dan semangat kental dalam perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan Negara dan semangat cinta akan Negara di kalangan anggota tentera.

Sebagai tulisan yang berasaskan kisah benar Maznan memberi sentuhan rasa apatah lagi penulis sendiri adalah bekas pegawa tentera yang bisa memahami perjuangan  Kanang dan rakan-rakannya yang berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis.

Mereka sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan Negara dan  Kanang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh dan ini digambarka dalam  Operasi Pukat dan  Kanang berjuang habis-habisan menentang penggacas komunis.

Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun beliau meinta  rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang pengganas komunis.

Semangat setia kawan dan berpasukan yang kuat dan  saling membantu antara sesama anggota tentera adalah senario nyata dalam kehidupan tentera dan ia digambarkan dengan keazaman  Kanang dan anggota tentera yang lain memberi bantuan kepada anggota tentera yang cedera dalam pertempuran dengan pengganas komunis dalam operasi Gerakan Setia 8179.

Kanang juga ialah seorang yang berani dan  selalu menjadi peninjau pertama sewaktu melakukan operasi dan dalam pertempuran dan  beliau dia bertindak berani dan menembak musuh tanpa mempedulikan nyawanya di samping patuh kepada semua arahan.

Kanang pernah ditugaskan dalam operasi untuk mencari anggota 1st Loyal New Zealand Army yang hilang dan prestasi dan dedikasinya terserlah sepanjang perkhidmatan dan pernah berjuang menentang tentera Indonesia semasa zaman Konfrantasi dan turut menyertai beberapa pertempuran dengan pengganas komunis di pelbagai kawasan operasi.

Kanang berkhidmat  dalam tentera sehingga bersara pada 30 Mei 1986 dengan pangkat Pegawai Wanran I  dengan kehidupan yang sederhana dan selepas bersara beliau  hidup sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Walaupun kehidupan Kanang agak perit selepas bersara, namun beliau  bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan kepada negara untuk menjadikan rakyat berada dalam keadaan aman sejahtera.

Kanang adalah manusia contoh yang boleh dijadi ikon patriotisme  rasa tanggungjawab, berani, keyakinan kepada diri sendiri, mengambil berat kepada orang lain terutamam rakan seperjuangannya ketika di daerah operasi.

Disiplin yang menjadi teras perjuangan tentera menjadi amalan Kanang dan sebagai manusia biasa beliau juga mencernakan keluarganya untuk dididik dengan sifat-sifat yang positif dan kesabaran isterinya menghadapi suami yang koma selama setahun adalah satu yang patut dipuji.

Rejimen Renjer Diraja yang mempunyai motto AGI HIDUP AGI  NGELABAN iaitu ungkapan daripada bahasa Iban yang bermaksud “Selagi Hidup Selagi Berjuang” menepati komitmen perjuangan pasukan infantri yang menjadi kebanggaan Angkatan Tentera Malaysia sesudah Rejimen Askar Melayu Diraja.

Perjuangan Kanang Anak Langkau akan terus dikenang sebagai wirawan yang tidak pernah undur daripada daerah perjuangan.