Friday, January 20, 2012

MTAT menambah ilmu pegawai tentera


Siasah 20-26 Januari 2012

Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) atau Armed Forces Staff College dan dikenali sebagai Haigate iaitu sempena nama Higate Camp menggunakan lokasi awal Markas Divisyen Infantri Malaysia yang diambil alih oleh MTAT bagi  memulakan kursus staf untuk pegawai ketiga-tiga cawangan Angkatan Tentera Malaysia iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1972.
MTAT ditubuhkan dengan tujuan untuk melatih pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlatih dalam bidang turus yang diperlukan justeru perkembangan yang pesat sejak negara mencapai kemerdekaan.
Latihan untuk pegawai turus dalam ATM sepanjang akhir tahun 60an menjadi permasalahan disebabkan pengurangan pegawai yang dipinjamkan daripda Tentera British dan Commonwealth yang bertugas di bahagian turus terutamanya di Kementerian Pertahanan dan unit-unit tentera di pelbagai lokasi di seluruh Negara.
Adalah dianggarkan kira-kira 20 peratus daripada jawatan turus yang dipegang oleh pegawai yang terlatih mendapat latihan turus dan kebanyakan pegawai berkenaan mendapat latihan turus di luar negeri .
Perancangan untuk menubuhkan Maktab Turus di dalam negeri telah diutarakan pada 1967 ekoran lawatan Perdana Menteri Tun Razak semasa lawatannya ke Maktab Turus Burma tetapi oleh sebab keadaan kewangan rancangan itu terbengkalai dan pegawai ATM masih dihantar ke luar negeri.
Walau bagaimanapun pada 1970 pihak Kementerian Pertahanan telah diberi petanda bahawa ura-ura untuk ATM mempunyai Maktab Turus  sendiri akan menjadi kenyataan berdasarkaan keperluan yang mendesak bagi mengurangkan kebergantungan kepada kursus di luar negeri yang seterusnya akan mengurangkan kos operasi ATM.
Pada persidangan Majlis Angkatan Tentera yang ke-123  pada 27 Oktober 1970 cadangan untuk menubuhkan MTAT telah dipersetujui untuk ketiga cabang ATM kerana untuk setiap perkhidmatan mempunyai maktab turus yang tersendiri akan membebankan dan memerlukan peruntukan yang berlebihan.
Semasa awal kewujudannya kursus yang diadakan di MTAT dikhususkan kepada pegawai Tentera Darat dan kursus direka yang berorientasikan keperluan operasi Tentera Darat sahaja.
Walau bagaimanapun memandangkan wawasan sebenar MTAT adalah untuk melatih ketiga-tiga cabang ATM maka persiapan untuk memasukkan sukatan pelajaran untuk pegawai TLDM dan TUDM turut diambil kira semasa Fasa Persediaan prasarana MTAT daripada 1 Januari hingga 31 Disember 1971.
Kursus yang pertama berlangsung pada Januari 1972 dan seramai 30 pelajar pertama yang terdiri dari pegawai Tentera Darat telah diambil dan kursus yang mengambi masa selama satu tahun itu melayakan graduan MTAT menerima taitel “psc” (Passed Staff College).
Sebelum MTAT memulakan kursus yang pertama, jurulatih MTAT (Directing Staff) telah dihantar untuk menimba pengetahuan di Maktab Turus lain di luar negeri seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan New Zealand untuk mendapatkan idea yang boleh dimasukkan dalam kurikulum kursus.
Pada 1974 sejarah MTAT mencatatkan penglibatan pelajar daripada luar negeri dengan pengambilan lima orang pegawai daripada Australia, Indonesia, New Zealand, Thailand dan United Kingdom merupakan mercu tanda perkembangan maktab yang baru setahun jagung itu.
MTAT sekali lagi melakar sejarah apabila memperkenakan modul Kajian Strategik dan Petahanan dengan Universiti Malaya (UM) pada 1995 dengan program berkembar yang melayakkan pelajar menerima Diploma daripada universiti berkenaan dan pada masa yang sama menerima diploma daripada MTAT itu sendiri.
Semasa kursus modul  UM dijalankan, pensyarah daripada UM datang ke MTAT  untuk menyampaikan kuliah mereka tetapi untuk merasakan aura pendidikan di menara gading, pelajar MTAT menghadiri kuliah di UM setiap hari Jumaat dan Sabtu justeru banyak rujukan yang perlu dibuat oleh pelajar MTAT di perpustakaan UM.
Enam mata pelajaran yang diambil oleh pelajar MTAT semasa modul UM ialah Metodologi Kajian, Pendidikan Sejarah Malaysia dan Komunikasi, Perhubungan Antarabangsa, KESBAN, Kajian Wilayah dan Strategi Pertahanan.
MTAT juga telah mengambil pelajar daripada kalangan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengikuti kursus pegawai turus walaupun tidak ada mata pelajaran kepolisian yang diajar namun kehadiran mereka boleh dimafaatkan bagi pihak PDRM memahami dunia tentera di Negara ini.
Dalam bidang ketenteraan ilmu yang diajar di MTAT  adalah merangkumi teori taktik peperangan, sejarah ketententeraan dan buku-buku awal yang menjadi rujukan adalah “The War Against Japan (Woodburn Kirby), The Fall of Singapore (Masanobu Tsuji), The Fall of Malaya (Noel Barber), The War of the Running Dogs (Noel Barber), The Long War (Richard Clutterbuck) dan  The Jungle is Neutral (Spencer Chapman).
Para pegawai yang mengikuti kursus staf perlu membuat persediaan akademik sebelum memasuki MTAT dan peluang berinterkasi dengan pelajar luar negeri akan menambahkan maklumat dan paradigma minda untuk memahami sesuatu isu terutamanya dalam konflik ketenteraan dan politik di peringkat antarabangsa.
Apirasi MTAT adalah untuk melahirkan kepimpinan yang kuat bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi berilmu sesuai dengan moto MTAT iaitu “Ilmu, Hikmat, Gagah” yang akan menjadikan mereka mempunyai keyakinan, keberanian di medan perjuangan.
MTAT mempunyai hubungan yang baik dengan Singapore Command and Staff College dan sering mengadakan program latihan bersama untuk pertukaran maklumat professional umpamanya dengan  latihan perancangan peta ( Map Planning Exercise) yang diadakan sama ada di Singapura ataupun di Malaysia.
Untuk memberi pendedahan di peringkat serantau, pelajar MTAT membuat lawatan ke Negara-negara ASEAN seperi Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina dan destinasi utama lawatan adalah maktab turus di Negara-negara berkenaan.
Lawatan oleh pelajar Tentera Darat, TLDM dan TUDM di dalam negeri melibatkan lawatan ke markas dan unit Tentera Darat manakala pelajar TLDM akan ke pangkalan TLDM Lumut sementara pelajar  TUDM akan melawat pangkalan TUDM yang dipilih bagi menghayati operasi setiap unit yang dilawati.
Dari segi latihan untuk pelajar TLDM dan TUDM mereka mempunyai modul tersendiri apabila mereka akan mengikuti kuliah tersendiri iaitu modul TLDM dan modul TUDM yang dijalankan oleh jurulatih masing-masing dan Tentera Darat dengan modulnya yang berdasarkan operasi darat.
Para isteri peserta kursus MTAT juga turut terlibat dengan kursus selama seminggu yang mendedahkan mereka dengan milieu dunia tentera dengan program “Kaya Budi” atau ‘Wives Enrichment Programme” dan peluang tersebut adalah saat yang bersejarah kerana para isteri pegawai dapat berinteraksi dengan isteri pegawai lain baik dari dalam negeri mahupuin luar negeri.
Prestasi MTAT terus terserlah sejak ia ditubuhkan pada 1972 dan ia akan terus menjadi pemangkin ilmu dalam dunia ketenteraan dan melahirkan pegawai yang berketrampilan dengan pengisian ilmu yang didapati di MTAT dan juga daripada program berkembar dengan UM yang memberi pendedahan dalam bidang strategik dan peperangan.

Saturday, January 14, 2012

Tebuan - pesawat perjuang pertama TUDM

13-19 Januari 2012


Pesawat pejuang tentera  direka terutamanya untuk pertempuran udara-ke-udara dengan pesawat lain, dengan kelajuan dan  gerakan yang licik untuk berhadapan dengan musuh merupakan ciri utama sebuah angkata udara.
Apabila Tentera Udara Diraja Malaysia  (TUDM) ditubuhkan pada 1958 semasa negara baru mencapai kemerdekaan, ia tidak dikengkapkan dengan pesawat pejuang dan konsep tentera udara kita pada masa itu adalah sebagai “Non-Fighting Force” dan ia hanya mempunyai pesawat pengangkut dan helikopter sahaja. 
Pengenalan pesawat jet pejuang CL-41G Tebuan  menandakan berakhirnya konsep "Non-Fighting Force" TUDM  dan ketibaan pesawat berkenaan pada bulan Ogos 1967 di pangkalan TUDM Kuala Lumur merupakan mukadimah kepada operasi pesawat pejuang dalam TUDM. 
Tebuan adalah  versi taktik Canadair CL-41 jenis pelatih jet Tutor yang digunakan oleh Royal Canadian Air Force (RCAF) dan  TUDM adalah satu-satunya pengendali versi 'G' di dunia  dengan 20 pesawat yang  diubahsuai lebih berkuasa dengan enjin General Electric J85-J4  turbojet  dan TUDM berjaya mengekalkan pesawat terbang selama lebih daripada 20 tahun.
Juruterbang yang diamanahkan untuk memimpin skuadron perintis jet pejuang TUDM ialah Squadron Leader Lawrence Phong dan operasi awal bermula di TUDM Kuala Lumpur dengan latihan peralihan jurulatih dan eksekutif skuadron dan pesawat Tebuan telah menunjukkan aksinya semasa sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1967.
Skuadron Keenam yang dilengkapkan dengan pesawat Tebuan ini kemudiannya di pindahkan ke TUDM Kuantan pada bulan Mac 1968 dan pada 2 September 1969 sebuah lagi skuadron Tebuan diwujudkan  iaitu Skuadron Kesembilan di TUDM Kuantan untuk melatih juruterbang jet pejuang TUDM.
Latihan bersama yang pertama melibatkan pesawat Tebuan Skuadron Kenam berlangsung di ruang udara Lapangsasar Asahan Melaka iaitu bersama pesawat pejuang Tentera Udara Diraja British (Royal Air Force), Tentera Udara Diraja Australia (Royal Australian Air Force) dan Tentera Udara Diraja New Zealand( Royal New Zealand Air Force). 
Pada September 1969, Kursus Asas Peralihan dilakukan oleh Skuadron Kesembilan tetapi pada 1974 Skuadon Keenam telah menerima kembali tanggungjawab untuk melatih juruterbang  dalam bidang taktikal dan skuadron pada masa yang sama terlibat dalam operasi udara.
Pada 16 April 1976 Skuadron Keenam  telah terlibat dengan operasi iaitu OPS KOTA GUBIR untuk membuat serangan udara ke atas sasaran pengganas komunis yang telah dikenalpasti oleh pasukan Tentera Darat di sekitar sempadan Malaysia-Thailand dan ia merupakan operasi terbesar yang melibatkan pesawat Tebuan.
Semua pesawat telah dilengkapkan dengan mini-gun dan roket manakala sebahagian daripada fleet dilengkapkan dengan bom 500 Ib untuk digugurkan di kawasan musuh  dan dalam misi berkenaan helikopter Alouette di terbangkan ke kawasan musuh yang bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk memberi panduan kepada pesawat pejuang untuk membuat serangan.
Serangan bersepadu itu melibatkan pesawat pejuang F5-E, helikopter Nuri untuk mengangkut pasukan Tentera Darat ke barisan hadapan dan semua pergerakan dibuat begitu rapi mengikut jadual dan dengan cuaca yang baik sepanjang masa operasi pesawat Tebuan yang kecil dapat menyelinap dengan pantas ke kawasan musuh dan memulakan serangan dan pengeboman.
Serangan pertama pesawat Tebuan didapati tidak memberi banyak kesan untuk memberi tamparan kepada musuh kerana keadaan hutan yang tebal memberi masalah untuk memuntahkan semua senjata yang dibawa oleh pesawat pejuang Tebuan dan serangan tersebut merupakan pengalaman operasi terbesar pesawat Tebuan.
Serangan bertubi-tubi terus dilakukan  dengan pertolongan helikopter Alouette yang terbang rendah memberi panduan arah serangan yang patut dilaksanakan  dan laporan yang diterima pada keesokan harinya menunjukkan terdapat kesan darah tetapi pengganas komunis telah lari meninggalkan Malaysia. 
Operasi pengeboman ke atas kawasan yang disyaki menjadi persembunyian pengganas komunis diteruskan oleh pesawat Tebuan pada 17 April 1976 dan hasil daripada serangan daripada udara telah memberi semangat kepada pasukan Tentera Darat untuk bergerak ke lokasi musuh dan menawan kawasan perkhemahan yang telah ditinggalkan.
Banyak lagi operasi yang dilaksanakan oleh skuadron Tebuan semasa era insurgensi komunis kali kedua iaitu setelah darurat pertama 1948-1960 berakhir itu dengan penglibatan dalam OPS INDRA, OPS CABUT, OPS NESAN, OPS BANTU SEGERA, OPS DOAYAI MUSNAH, OPS CAHAYA BENA dan OSP SELAMAT SAWADEE.
Apabila melayari sejarah Skuadron Kesembilan pula, kewujudannya di TUDM Kuantan diwarnai dengan juruterbang pinjaman iaitu Squadron Leader Hall sebagai ketua sakudaron dengan  dua orang jurulatih skuadron iaitu Flight Lieutenant Ahmad Nazri dan Flight Lieutenant Winstantly.
Pada 1970 Skuadron Kesembilan memulakan kursus taktikal sebagai kesinambungan kursus asas menerbangkan pesawat pejuang  termasuk kursus ‘Fighter Weapon Instruction”  yang diadakan pada 8 Jun 1970  bagi menambah ketrampilan juruterbang jet pejuang Tebuan.
Lapang Sasar Penor telah dibuka pada 23 Jun 1970 untuk digunakan oleh pesawat Tebuan melakukan latihan menembak roket daripada udara dan infrastruktur tersebut kemudiannya turut digunakan oleh pesawat pejuang yang lain sesudah Tebuan bagi memberi kemahiran juruterbang pejuang mengasah kemahiaran mereka mengendalikan senjata.
Skuadron Kesembilan juga mengadakan kursus peralihan staf, kursus ulangan (refresher course), dan kursus peninjauan foto (photo recce) bagi menambahkan pengetahuan operasi pesawat pejuang yang dilaksanakan agar juruterbang pejuang mendapat pengetahuan yang cukup untuk mengoperasikan pesawat di dalam inventori TUDM.
Di antara  latihan yang disertai oleh Skuadron Kesembilan ialah latihan “Bersedia Lima’ (22 Novemver 1972), Latihan Agong Pertama (9 Mei 1974), Latihan Helang Malindo 1 (Oktober 1975), Latiahan Helang Malindo III (Oktober 1977) dan siri-siri Latihan Pertahanan Udara yang dilakukan setiap tahun sebanyak tiga kali iaitu ADEX.
Pesawat Tebuan adalah pesawat tempur pertama digunakan oleh TUDM, kerana sebelum itu TUDM hanya mempunyai pesawat-pesawat bukan tempur dan peranan TUDM ditumpukan kepada perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan sahaja dan TUDM menggunakan Tebuan sehingga tahun 1986 apabila perkhidmatan Tebuan diambil alih pesawat Aermacchi MB-339A.
Pesawat Tebuan menggunakan enjin  2,950-pound thrust General Electric J85-J4 turbojet  dengan berat kosong 5,296 lbs, berat maksimum semasa berlepas : 11,288 lbs. dengan kederasan maksiumum 480 batu/jam, ketinggianmaksimum 42,200 kaki dan jarak operasi  1,240 batu.

Sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM pesawat Tebuan telah menjadi platform pertama perang untuk melawan kegiatan komunis sepanjang era insurgensi komunis kedua sebelum Chin Peng mengakhiri perjuangan senjata ekoran persidangan dengan kerajaan Malaysia di Thailand.

Beberapa buah pesawat telah terlibat dalam kemalangan udara dan mengorbankan juruterbang semasa pesawat Tebuan menjalani latihan namun ia tidak mematahkan semangat para juruterbang yang telah menerbangkan pesawat Tebuan yang menjadi mukadimah kepada operasi pesawat pejuang TUDM.


Friday, January 6, 2012

TUDM - Sentiasa di angkasa raya

06-12 Januari 2012

Perancangan dan persiapan untuk Persekutuan Tanah Melayu mempunyai tentera udaranya sendiri telah digerakkan sebelum negera mencapai kemerdekaan daripada kerajaan British pada 1956 dengan inisiatif Tengku Abdul Rahman menjemput Air Commodore A V R Johnstone sebagai penasihat udara di Kementerian Pertahanan.

Kerajaan British yang memerintah Tanah Melayu pada masa itu bersetuju untuk membiayai menubuhkan Tentera Udara Diraja Persekutuan dengan peruntukan sebanyak 15 juta ringgit pada awal penubuhannya tidak termasuk pembelian pesawat pertamanya iaitu daripada jenis Twin Pioneer.

Rang undang-undang yang dikenali sebagai The Air Force Ordince 1958 telah diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang menandakan kewujudan sebuah angkatan udara bagi sebuah negara yang merdeka pada hari Isnin 2 Jun 1958.

Anggota yang pertama seramai 12 orang telah diserapkan daripada Tentera Udara Diraja British (Royal Air Force -RAF) pada hari Jumaat 21 November 1958 iaitu Cpl Razi Osman, M Ismail, Cpl Wan Said Wan Ahmad, SAC Surindran, Cpl J.P.Pasley, SAC Zainal Abidin Md Hashim, SAC Muhammad Hussain, JT Ismail Ariffin, SAC Mohd Noor, SAC Mohd Desa, Sjn Subramaniam dan Cpl Shahadevan.

Apabila Tentera Udara kita memulakan operasinya pada 1958, ia hanya mempunyai sebuah pesawat yang dikendalikan oleh kakitangan yang dipinjamkan daripada RAF dan paradigma operasinya adalah untuk memberi bantuan taktikal pasukan keselamatan menjalankan Counter Insurgency Operations (COIN) iaitu untuk menangani ancaman pengganas komunis.

Tugas utama yang sepatutnya menjadi banteng pertahanan ruang angkasa tidak dapat dilaksanakan kerana ia tidak mempunyai aset pertahanan udara seperti unit radar untuk pertahanan atau skuadron jet pejuang dan pertahanan Tanah Melayu dan Singapura pada masa itu adalah di tangan RAF yang berpangkalan di Singapura.

Apabila Indonesia melancarkan Konfrantasi ekoran penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, krisis kedua buah negara itu menjadi tanggungjawab tentera Commonwealth dan pertahanan negara didokong oleh tentera British, Gurkha dan Tentera Udara Diraja Australia (Royal Australian Air Force –RAAF) dan tentera Udara Diraja New Zealand- RNZAF) menempatkan pesawat mereka di Butterworth dan Labuan. Tentera Udara Malaysia yang masih muda pada zaman negara menghadapi cabaran dan tidak tamat dengan era darurat yang pertama 1948-1960, tetapi terus mengalami perubahan dan perkembangan dengan penambahan aset dan anggota iaitu melalui pembelian pesawat baru.

Juruterbang mula dilatih sendiri di dalam negeri dan sejarah Sekolah Latihan Penerbangan telah melahirkan graduan yang pertama dengan penyampaian sayap penerbangan oleh Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak kepada Pilot Officer Arthur Cheah, Pilot Officer Gopal Ramdas, Pilot Officer Ahmad Idris dan Pilot Officer Cheah Nee Wah pada 14 November 1961 di pangkalan TUDM Kuala Lumpur. Operasi helikopter pula bermula dengan pembelian Alouette Mark III daripada Perancis dan sebanyak 8 buah helikopter berkenaan tiba di TUDM Kuala Lumpur pada bulan September 1963 untuk di gunakan oleh No. 3 Skuadron.

Di antara pegawai RAF yang telah dipinjamkam untuk menerbangkan helikopter TUDM ialah Flight Lieutenant Brawley, Flight Lieutenant Moffat dan Flight Lieutenant Tony Raley dan ketua skuodron helikopter tersebut diamanahkan kepada Flight Lieutenant Tony Raley.

Anak-anak tempatan yang menjadi perintis juruterbang Alouette ialah Pilot Officer Mohd Ngah Said dan Pilot Officer Jim Lim Theam dan jumlahnya bertambah dengan juruterbang yang dilatih di Perancis seperti Pilot Officer Chuah Ban Hin, Pilot Officer Benjamin Lee Kiong, Pilot Officer Abdul Kadir, Pilot Officer Abdul Ghani Aziz, Pilot Officer Terry Loh dan Pilot Officer Derek Martin. Ketibaan pesawat sebuah pesawat Twin Pioneer dan dua buah Single Pioneer pada 8 Februari 1959 menambah lagi aset TUDM dan pesawat Chipmunk yang digunakan untuk melatih juruterbang semasa awal usianya telah digantikan dengan pesawat Piston Provost pada awal 1961.

Keupayaan TUDM dipertingkatkan dengan penambahan pesawat dalam inventori iaitu dua buah pesawat Heron dan sebuah pesawat Cessna 310F yang diberi nama Serindit pada 12 Oktober 1963 dan seterusnya ketibaan pesawat pengangkutan jarak sederhana Dart Herald pada penghukung 1963.

Keperluan kepada juruteknik yang terlatih untuk menyelenggarakan pesawat yang dimiliki oleh TUDM memerlukan proses latihan yang berterusan dan latihan juruteknik pesawat yang dimulakan di TUDM Kuala Lumpur telah dipindahkan ke Sekolah Latihan Kejuruteraan Kapal Terbang di TUDM Kinrara pada Ogos 1963.

Bermula dengan beroperasi di pangkalan udara British di Sungai Besi yang diserahkan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1960, TUDM mula mengembangkan sayap operasi di pangkalan keduanya di pangkalan TUDM Alor Setar yang setersunya menjadi pusat melatih juruterbang TUDM sehingga hari ini. Operasi TUDM bermula di Labuan, Sabah dengan No 5 Skuadron 1965 dengan kekuatan awal seramai 14 orang pegawai, 7 orang Pegawai Tak Bertauliah (PTB) dan 48 orang anggota lain-lain pangkat bagi mengoperasikan 10 buah helikopter Nuri detasmen Alouette.

TUDM yang pada mulanya dianggap sebagai ‘Non-Fighting Force’ kerana tugasnnya menjadi pasukan yang member bantuan kepada Tentera Darat telah bertukar dalam paradigm operasinya apabila ia dilengkapan denga pesawat pejuang yang pertama iaitu pada 1967 dengan pembelian pesawat CL-41 G yang diberi nama Tebuan daripada Canada.

TUDM juga telah dilengkapkan dengan pesawat Caribou di samping pesawat Dart Herald dan juruterbang perintis Caribou telah dihantar ke Canada untuk menjalani latihan mengendalikan pesawat berkenaan iaitu Squadron Leader Omar Saman, Flight Lieutenant Arthur Cheah, Flight Lieutenant Gopal Ramdas dan Flying Officer Peter Lai pada 1966.

Pada 1969 kerajaan Australia telah menghadiahkan pesawat pejuang pemintas Sabre yang telah digunakan oleh RAAF untuk dioperasikan oleh No 11 Skuadron di TUDM Butterworth sebagai langkah awal operasi pertahanan udara yang memerlukan pesawat pemintas (interceptor aircraft).

Pertahanan udara memerlukan radar kerana ia menjadi mata kepada pesawat pejuang untuk kawalan daripada bawah ( Ground-controlled interception (GCI), maka TUDM telah diperlengkapkan dengan system pertahananan udara pembelian alat radar daripada jenis Marconi S-600 pada 1971 dan beroperasi daripada Butterworth, Bukit Jugra Banting dan Kuantan.

Pada 1975 TUDM menjadi Negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai persawat pejuang supersonik yang pertama dengan dengan pembelian pesawat F-5E daripada Amerika Syarikat dan pesawat berkenaan digunakan untuk peranan pesawat pertahanan udara menggantikan pesawat Sabre dan ia merupakan pesawat yang tercanggih pada tahun 70-an.

TUDM terus berkembang dan mengoperasikan angkatan udara yang bebas, dengan sokongan kendiri dan bersedia untuk menyerlahkan kuasa udara demi mempertahankan kepentingan nasional dengan objektif kekuatan pertahanan udara bagi mempertahankan kedaulatan ruang angkasa, mengembangkan kekuatan defensif dan ofensif serta keupayaan mempertahankan sumber maritim.

Wawasannya merangkumi operasi pertahanan defensive, operasi tinjauan maritim, bantuan serangan udara, tinjauan udara merangkumi fotografi, elektronik, armed reconnaissance, pengangkutan strategic dan taktikal, peperangan elektronik, Combat Search and Rescue dan operasi khas.

TUDM akan sentiasa di angkasa raya sebagai benteng pertahanan dan kedaulatan Negara dan kini ia mempunyai sejumlah besar aset yang canggih untuk dioperasikan sebilang waktu dalam keadaan siap siaga.